Oleh pada 25 Nov 2021 kategori

Amerika Syarikat bukanlah lagi negara paling kaya di dunia. Gelaran itu kini telah dirampas oleh negara China. Perkara ini pertama kali dilaporkan oleh Bloomberg berdasarkan laporan yang dikeluarkan firma perunding pengurusan global McKinsey & Co.

Laporan itu mendedahkan nilai kekayaan China melonjak daripada RM 29.4 trilion pada tahun 2000 kepada RM 505 trilion pada tahun 2020.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tempoh yang sama, nilai kekayaan Amerika Syarikat juga melonjak kepada RM 378.8 dan berada di tempat kedua selepas China.

Jumlah peningkatan nilai kekayaan China selama 20 tahun itu telah menyumbang hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pertumbuhan kekayaan global.

Jumlah kekayaan global pada tahun 2000 adalah sebanyak RM 656.7 trilion dan jumlah itu telah melonjak kepada RM 2.163 quadrilion (2163 trilion) pada tahun 2020.

Punca peningkatan ketara

Peningkatan ekonomi China yang berkembang begitu pesat dipercayai berlaku selepas negara itu menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation).

duit china

WTO adalah sebuah organisasi yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Organisasi itu kini mempunyai sebanyak 164 ahli yang berdaftar secara rasmi.

Negara-negara yang menjadi ahli WTO mendapat manfaat kerana pertubuhan itu membantu sesebuah kerajaan dalam mewujudkan, menyemak dan menguatkuasakan peraturan yang mengawal perdagangan antarabangsa.

Ekonomi China dilihat berkembang pesat selepas negara itu menyertai WTO secara rasminya pada penghujung tahun 2011.

Potensi menjadi negara "Superpower"

Sebelum menyertai WTO lagi, China mula dilihat sebagai satu kuasa besar setanding Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat apabila mereka membuat perjanjian perdagangan dan pelaburan besar-besaran dengan Amerika Latin dan Afrika. 

presiden china

Peningkatan pengaruh China juga dapat dilihat melalui perdagangannya yang melonjak naik dalam keluaran dalam negara kasar (GDP). Selain itu, "gaya" rundingan China membolahkannya mengembangkan hubungan politik dan ekonomi dengan banyak negara termasuklah negara yang dilihat Amerika sebagai "penyangak".

Dengan hubungan perniagaan dan pelaburan yang pesat dan baik, tidak hairanlah jika empat institusi perbankan terkaya dunia yang dikenali sebagai "Big 4" kesemuanya adalah milik China.

Pakar ekonomi menyatakan bahawa pelaburan modal berskala besar (domestik atau asing) dan pertumbuhan produktiviti pesat yang berjalan seiring adalah dua faktor utama peningkatan ekonomi negara China.

Kekayaan 10%

Walaupun China dan Amerika merupakan ekonomi terbesar dunia, lebih daripada dua pertiga daripada kekayaan negara itu dimiliki oleh 10% golongan terkaya.

nilai kekayaan global

Malah, peratusan kekayaan yang dimiliki mereka juga dilihat semakin meningkat dari masa ke masa berbanding 90% rakyat lain di kedua-dua negara itu.

Berdasarkan kiraan McKinsey & Co., 68% daripada nilai kekayaan global adalah di dalam bidang hartanah. Selebihnya adalah dalam bidang infrastruktur, permesinan dan peralatan serta bidang yang lebih rendah seperti harta intelek dan paten.

Kemajuan China akan menjadi penanda aras bagi tahun-tahun mendatang. Walau negara itu berada pada tahap paling kaya dalam sejarah, terdapat corak tertentu dalam peningkatan nilai bersih ini yang boleh menjadikan sesuatu negara itu terdedah kepada keruntuhan ekonomi.

Risiko keruntuhan ekonomi

Keruntuhan ekonomi ini pernah berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2008 yang dicetuskan oleh keruntuhan ekonomi perumahan. Housing Crisis yang berlaku di Amerika Syarikat menyaksikan nilai hartanah naik mendadak apabila permintaan semakin tinggi.

Ini menyebabkan ramai yang tidak mampu membayar pinjaman balik sekali gus merencatkan atau lebih teruk lagi melumpuhkan aktiviti ekonomi sesebuah negara.

krisis kewangan 204

Dengan trend kos hartanah yang semakin meningkat di China, mereka juga mungkin akan mengalami krisis kewangan sama yang dihadapi Amerika Syarikat pada 2008.

Evergrande iaitu pemaju hartanah yang berpangkalan di Shenzhen misalnya sudahpun menghadapi masalah hutang berjumlah USD 300 bilion sehingga memaksa pengerusinya menjual aset peribadi.

Menurut McKinsey & Co., kejatuhan ekonomi China akan menyebabkan berlakunya kejatuhan ekonomi dunia dan dianggarkan berlaku penurunan nilai global sebanyak 33%.

Bagi mengelakkan berlakunya senario sedemikian, pelaburan yang produktif dan mampan perlu berterusan agar menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.




Hakcipta iluminasi.com (2017)