Tahukah anda berapakah kadar pemilikan kediaman sendiri di negara kita? Mengikut kajian yang telah dijalankan, kadar pemilikan sendiri kediaman di negara kita berada pada kadar 72 ke 74% daripada jumlah keseluruhan populasi kita.

Angka ini sebenarnya lebih tinggi berbanding banyak negara lebih besar seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom namun sepatutnya boleh dipertingkatkan lagi. Pelbagai skim dan insentif telah pun dianjurkan bagi membantu memudahkan pembeli memiliki kediaman sendiri yang diharapkan dapat meningkatkan lagi peratusan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di negara manakah yang mempunyai kadar pemilikan kediaman tertinggi di dunia? Berikut adalah lima negara yang mempunyai peratusan pemilik rumah sendiri paling besar. Kenapa sebahagian besar daripada negara dalam senarai - amat akrab dengan agenda komunisme ya?

5. Cuba

bandar tertinggi rumah kediaman persendirian

Negara Cuba ketika ini masih lagi sedang membuka pasaran hartanah mereka agar lebih seiring dengan trend ekonomi dunia. Bagaimanapun, di negara itu - mereka masih lagi tidak membenarkan sebarang bentuk pemilikan kediaman oleh warga asing. Apa yang lebih mengejutkan - hanya pada tahun 2018 mereka membenarkan aktiviti jualan dan belian hartanah secara hak milik individu dilakukan.

Jadi bagaimana transaksi perumahan berlaku sebelum ini? Melalui sistem tukar suka sama suka yang dinamakan sebagai 'permuta' di sana. Apabila seseorang ingin berpindah ke satu kawasan baru, mereka perlu mencari kediaman yang dimiliki individu lain sebelum kedua-duanya setuju untuk melakukan permohonan pertukaran dengan kerajaan.

Oleh kerana prosesnya berjalan agak perlahan, perkahwinan secara kontrak banyak berlaku di Cuba; dengan banyak pasangan bertindak mendaftarkan perkahwinan yang diatur, menukarkan nama pemilik seterusnya memfailkan proses perceraian selepas semuanya selesai. Lagi cepat kata mereka.

Atas sebab itulah, projek-projek pembangunan di Cuba agak kurang dilakukan kerana pemaju tidak nampak sebarang kepentingan untuk membangunkan hartanah baru, menyebabkan masalah kediaman kurang selesa berlaku di negara itu. Walau bagaimanapun, kadar pemilikan hartanah di sana sangat tinggilah - mencecah 90% daripada jumlah keseluruhan populasi.

4. China

negara paling tinggi jumlah pemilik rumah

Walaupun hidup dalam banyak kekangan termasuklah dalam bab internet, kebebasan bersuara serta jumlah anak yang boleh dilahirkan (sebelum ini), kadar pemilikan rumah di China pula agak tinggi menandakan kemampuan mereka dalam memiliki kediaman masing-masing.

Dengan kadar 90% pemilikan rumah sendiri, China berada pada kedudukan ke empat dalam dunia. Apa yang lebih mengejutkan, tren ini nampaknya akan terus kekal selepas kajian yang dijalankan oleh HSBC menjangkakan golongan anak muda di China di antara usia 19 ke 36 tahun - 70% daripada mereka sudahpun memiliki kediaman sendiri pada usia tersebut.

Antara faktor utama pemilikan kediaman yang sangat tinggi di kalangan anak muda China adalah disebabkan kemampuan kewangan keluarga mereka yang lebih baik, disebabkan oleh setiap keluarga hanya dibenarkan mempunyai seorang anak. Jadi ibu bapa mereka boleh melaburkan dana memfokuskan hanya pada anak manja mereka, tanpa perlu memikirkan anak yang lain.

3. Slovakia

kediaman di slovakia

Tahun 1990 sehingga tahun 2001 menjadi detik perubahan yang besar dalam kadar pemilikan perumahan di negara Slovakia, selepas berlakunya kenaikan mendadak kadar pemilikan kediaman sendiri seiring dengan penurunan kadar jumlah kediaman berstatus sewaan.

Skim perumahan awam yang diwujudkan oleh pihak pemerintah Slovakia pada era tersebut meletakkan syarat penyewa hanya boleh mendiami unit mereka, selama 3 tahun. Tempoh ini dilihat sebagai satu durasi yang kurang munasabah dan telah menyebabkan penduduk Slovakia berbondong-bondong mula berusaha memiliki kediaman sendiri.

Selain itu, kekurangan jumlah unit yang disewakan secara swasta sama ada individu atau syarikat, dilihat menjadi faktor utama kenapa kadar pemilikan rumah di Slovakia terus kekal tinggi pada kadar 90.2% bagi tahun 2018. (Social housing in Slovakia)

2. Singapura

apartment hdb di singapura

Jika dibandingkan dengan semua negara Asia, skim perumahan yang dijalankan kerajaan Singapura nampak berjaya meningkatkan kadar pemilikan rumah di negara itu melalui sistem HDB yang kerap diperkatakan.

Diperkenalkan pada tahun 1960, program pembinaan yang khusus selama 5 tahun berlaku bagi membina kediaman-kediaman awam untuk diduduki penduduk negara itu yang kurang berkemampuan, agar mereka dapat berpindah daripada kawasan-kawasan setinggan yang mahu dibangunkan.

Sehingga kini, 80% daripada penduduk Singapura tinggal dalam kediaman yang dibangunkan oleh skim HDB, menyumbang kepada 90.7% kadar pemilikan rumah bagi rakyat negara itu dengan kontrak pemilikan sementara bertempoh 99 tahun.

1. Romania

rumah di romania

Di antara semua negara, Romania mendahului negara-negara lain dalam kadar pemilikan rumah milik individu dengan 96.4% rakyat di negara mereka, mampu tinggal dalam kediaman yang mereka miliki sendiri.

Semuanya bermula sekitar era 1990-an, semasa Romania masih lagi diperintah oleh kerajaan komunis. Pada ketika itu, lebih 70% kediaman berbentuk apartment di sana dimiliki oleh kerajaan sebelum kerajaan Romania menjual unit-unit ini pada harga yang rendah - disebabkan oleh kejatuhan nilai matawang mereka dan kadar inflasi yang tinggi memaksa jualan murah dilakukan.

Pada ketika itu, keluarga berebut-rebut membeli kediaman yang ditawarkan kerajaan, kerana jualan sedemikian rupa sangat jarang berlaku. Satu unit apartment ketika itu dijual sama harganya dengan sebuah televisyen.




Hakcipta iluminasi.com (2017)