japan black company buraku penindasan pekerja

Sekiranya anda pernah mendengar terma "Black Company", anda mungkin membayangkan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan secara haram. Dalam bahasa Jepun, "Black Company" dipanggil "buraku kigyō" dan terma ini sebenarnya digunakan untuk merujuk kepada syarikat yang mengamalkan sistem pekerjaan yang menindas dan mengeksploitasi pekerja mereka.

Apabila memperkatakan tentang sistem pekerjaan yang mengeksploitasi pekerja, mungkin anda akan terbayangkan kilang-kilang di China yang memerah keringat pekerja mereka habis-habisan sehingga ada antara pekerja yang membunuh diri akibat daripada tekanan di tempat kerja.

Walau bagaimanapun, ianya tidak tepat. Istilah "buraku kigyō" ini biasanya dikaitkan dengan syarikat kolar putih dan bukannya syarikat kolar biru. Istilah ini dicetuskan oleh sekumpulan pekerja muda dalam bidang IT pada awal tahun 2000 sebelum ianya turut digunakan sebagai meme bagi para pekerja dalam bidang lain.

Ciri-ciri organisasi "Black Company"

stress ditempat kerja 688

Walau persekitaran tempat kerja setiap syarikat adalah berlainan, syarikat "Black Company" ini dapat dikenalpasti daripada beberapa ciri antaranya mengambil pekerja dalam jumlah yang ramai dan memaksa mereka melakukan kerja lebih masa (overtime) tanpa membayar sebarang elaun tambahan kepada mereka.

Kondisi di tempat kerja juga sangat "bertoksik" dan sudah menjadi kebiasaan para pekerja diherdik dan dimarahi oleh orang atasan mereka di hadapan rakan-rakan yang lain. Para pekerja pula hanya menyiapkan tugasan yang diberikan atas rasa takut, bukannya atas rasa tanggungjawab dan hormat pada syarikat dan bos mereka.

Selain itu, bagi mengelakkan seseorang pekerja sewenang-wenangnya meletakkan jawatan, mereka akan diugut tidak akan diberikan sebarang rekomendasi sekiranya pekerja tersebut cuba memohon pekerjaan di tempat lain.

Filem mengenai "Black Company"

Peningkatan populariti terma ini menyebabkan masalah "Black Company" ini telah mendapat perhatian ramai pihak. Pada 2009, sebuah drama bertajuk "A man on the verge at a BLACK company" telah ditayangkan.

Ianya berdasarkan kisah sebenar yang telah diceritakan oleh seorang pengguna forum mengenai tempat kerjanya yang mengeksploitasi para pekerjanya. Persekitaran kerja kejam dan tidak beretika syarikat ini telah dilakonkan semula dalam filem ini seperti yang dipaparkan dalam klip video di atas.

Seperti yang dapat dilihat daripada klip video di atas, para pekerja syarikat tersebut telah dipaksa bekerja keras sehingga mencapai had dan kemampuan mereka. Jelas sekali para pekerja kelihatan sangat stress dan mental mereka tidak berada dalam keadaan yang baik.

Dapatkah anda membayangkan jika anda berada dalam situasi tersebut? Apa yang dipaparkan dalam video tersebut bukan sekadar lakonan semata-mata tetapi ianya adalah realiti sebenar yang berlaku. Syarikat teruk sebegini sememangnya wujud dan para pekerja mula mencetuskan gerakan agar syarikat sebegini dapat dibawa ke muka pengadilan.

Anugerah untuk organisasi "Black Company"

black corporation award

Pada tahun 2012, sekumpulan individu yang terdiri daripada aktivis, wartawan dan pensyarah universiti telah menubuhkan sebuah jawatankuasa istimewa untuk menganjurkan majlis anugerah "Black Corporations Award" dimana orang awam boleh mengundi untuk syarikat yang paling "jahat" terhadap pekerja mereka. 

Walaupun majlis ini dianggap sesetengah pihak sekadar parodi ataupun bahan gurauan, jawatan kuasa penganjur majlis ini mengatakan mereka sangat serius dan mempunyai objektif yang khusus untuk penganjuran majlis sebegini.

Penganjuran majlis sebegini sebenarnya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pekerja mengenai hak mereka di tempat pekerja serta mendedahkan syarikat-syarikat yang suka mengeksploitasi dan mengambil kesempatan terhadap pekerja mereka. Majlis anugerah ini kini dianjurkan setiap tahun.

Terdapat beberapa ciri-ciri yang dilihat untuk membuat undian dan pencalonan terhadap syarikat atau organisasi yang layak menerima anugerah "Black Corporations Award" ini. Antara aspek yang dilihat adalah:

  1. Rekod awam atau bekas pekerja yang pernah bekerja di syarikat tersebut
  2. Tempoh waktu bekerja yang terlalu lama
  3. Gaji rendah
  4. Pelanggaran pematuhan undang-undang
  5. Kekurangan dalam sistem seperti kekurangan cuti penjagaan anak atau cuti bersalin
  6. Diskriminasi terhadap pekerja sementara
  7. Tiada elaun lebih bekerja masa (walaupun dalam iklan carian kerja dinyatakan)

Kes popular membabitkan "Black Company" 

penindasan pekerja jepun 131

Pada tahun 2008, Mina Mori, 26 tahun, pekerja wanita di syarikat Watami (syarikat rangkaian makanan) telah membunuh diri setelah dikatakan bekerja lebih masa selama 141 jam dalam sebulan. Perkara ini berlaku hanya selepas 2 bulan wanita malang itu menyertai syarikat tersebut.

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap membunuh diri adalah pilihan individu itu sendiri dan sesebuah syarikat tidak boleh dipertanggungjawabkan. Walau bagaimanapun, sesetengah pihak mendakwa Mina Mori mungkin tidak akan mengambil tindakan tersebut sekiranya dia tidak diletakkan dalam keadaan tertekan oleh majikannya.

Lebih menimbulkan kemarahan adalah reaksi Pengasas syarikat Watami, Miki Watanabe yang mengelakkan diri untuk bertemu dengan keluarga wanita ini. Malah, dia juga enggan menyatakan permohonan maaf terhadap apa yang berlaku pada pekerjanya itu sehinggalah pada 27 Mac 2014 apabila diarahkan oleh mahkamah untuk berbuat demikian.

Kredit:

  1. Japan Times
  2. Tofugu
  3. Wikipedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)