Oleh pada 05 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Malay Mail Online / Paparan skrin Google

Seorang lelaki memasuki Balai Polis Damansara di Petaling Jaya dengan memandu bersama-sama mayat kekasihnya yang didakwa dibunuhnya beberapa jam dahulu.

Lelaki berumur 37 tahun itu membawa masuk kereta Honda City berwarna putih ke balai polis tersebut sekitar pukul 4 petang bersama-sama mayat kekasihnya yang berumur 35 tahun di bahagian tempat duduk belakang.

Setelah masuk ke dalam balai, lelaki itu memberitahu dia datang bersama kekasihnya yang telah dibunuhnya di Kota Damansara bagi tujuan menyerah diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, suspek diyakini membunuh kekasihnya itu sekitar pukul 1.30 tengah hari.

"Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia membunuh mangsa di dalam kereta ketika berada di kawasan pusat beli belah di Kota Damansara.

"Suspek kemudian menyerahkan dirinya kepada polis di Balai Polis Damansara pada jam 4 petang, pemeriksaan kemudian menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

"Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa pula menemui kesan tikaman di bahagian leher dipercayai akibat ditikam oleh benda tajam yang ditemui di dalam kereta suspek," ujarnya menerusi sidang akhbar di Balai Polis Damansara, hari ini.

Zani memberitahu, kes pembunuhan berkenaan diyakini disebabkan perasaan cemburu.

"Suspek dan mangsa bekerja dengan pihak pengurusan sebuah kondominium di Kota Damansara," ujarnya.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Malaya bagi proses bedah siasat.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis bakal mengemukakan permohonan reman esok.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)