Dalam sejarah, pertikaian yang berlaku antara negara kadangkala disebabkan beberapa perkara pelik yang tidak boleh difikirkan akal manusia. Dalam kes yang berlaku pada tahun 1960-an, Brazil dan Perancis terlibat dalam konflik dan di ambang peperangan hanya disebabkan oleh udang karang. Apa sebenarnya yang berlaku?

Kejadian itu bermula pada tahun 1961, apabila beberapa nelayan Perancis yang menangkap ikan di sepanjang pantai barat laut Afrika memutuskan untuk mencuba nasib mereka di tempat lain pula.

Setelah mencuba di beberapa lokasi, mereka akhirnya menemui satu tempat yang memberikan hasil lumayan. Tempat itu jauh daripada tempat mereka menangkap ikan sebelum ini dan hanya beberapa batu dari pesisir pantai Brazil. Udang karang telah ditemui dalam jumlah yang begitu banyak di situ.

nelayan udang karang

Tidak lama selepas itu, kapal-kapal nelayan Perancis yang lain juga mula membanjiri kawasan itu dan perkara itu disedari oleh para nelayan tempatan di Brazil. Mereka telah melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kehadiran bot nelayan Perancis yang menangkap udang karang secara haram di Pernambuco.

Tentera Laut Brazil kemudian bertindak balas terhadap aduan yang diterima itu. Laksamana Arnoldo Toscano telah mengarahkan dua kapal perang kecil untuk melakukan tinjauan bagi mengesahkan laporan itu.

Mereka kemudian mendapati bahawa tuduhan nelayan Brazil itu adalah benar dan meminta agar bot-bot nelayan Perancis itu segera beredar ke perairan terbuka, jauh dari pantai Brazil. 

armada laut brazil

Malangnya, nelayan Perancis berdegil dan enggan bekerjasama dengan Tentera Laut Brazil. Mereka percaya bahawa mereka mempunyai hak untuk menangkap udang karang di perairan itu.

Para nelayan yang enggan beredar itu kemudian menghantar mesej kepada kerajaan Perancis dan meminta armada kapal tentera mereka untuk berada di perairan itu juga. 

Tindakan mereka itu telah memaksa pihak Tentera Laut Brazil untuk menggerakkan seluruh kapal mereka dalam keadaan siap siaga sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku.

hermes lima

Hermes Lima, Menteri Luar Brazil

Walaupun setiap konflik yang berlaku antara dua negara adalah perkara yang serius, tetapi perbalahan yang berlaku kali ini disebabkan oleh alasan yang tidak munasabah langsung.

Ketika tentera laut sedang bersiap siaga, Menteri Luar Brazil, Hermes Lima, menyatakan bahawa sikap Perancis sememangnya tidak boleh diterima. Pihak kerajaan Brazil tidak akan berundur dan tiada seekor udang karang pun dibenarkan untuk ditangkap di perairan mereka.

Pada masa yang sama, Presiden Perancis iaitu Charles de Gaulle sangat berang terhadap keadaan yang berlaku. Dia percaya bahawa Brazil tidak menghormati Perancis dengan bertindak begitu.

charles de gaulle

Charles de Gaulle, Presiden Perancis ketika muda

Pada 21 Februari 1961, De Gaulle telah mengarahkan kapal pemusnah tentera mereka iaitu Tartu untuk menjaga keselamatan nelayan-nelayan Perancis. Walau bagaimanapun, Tartu yang dalam perjalanan untuk melindungi bot-bot nelayan Perancis berjaya dipintas oleh Tentera Laut Brazil.

Brazil mempunyai kelebihan dalam keseluruhan situasi ini. Presiden Brazil, Joao Goular, telah memberi kata dua kepada nelayan Perancis untuk berundur dalam masa 48 jam tetapi tidak diendahkan mereka. Tidak lama kemudian, Tentera Brazil berjaya menawan sebuah bot nelayan Perancis.

Walaupun tiada tembakan yang dilepaskan, keadaan ketika itu begitu tegang. Pihak Brazil telah menyekat nelayan Perancis agar tidak berada 100 batu daripada pantai timur laut mereka.

kapal perang tartu

Boeing B-17 Brazil terbang di atas Kapal Pemusnah Tartu Perancis

Apa yang melucukan ialah perbalahan utama yang berlaku antara kedua-dua pihak. Brazil mendakwa bahawa udang karang "merangkak di sepanjang pentas benua". Disebabkan itu, ia adalah kepunyaan Brazil. Pihak Perancis pula mendakwa bahawa udang karang "berenang bebas" dan milik kepada sesiapa sahaja yang berjaya menangkapnya di lautan.

Pada April 1963, konflik antara Brazil dan Perancis masih belum dapat diselesaikan. Kedua-dua pihak sedang mempertimbangkan adakah berbaloi memulakan perang hanya kerana konflik udang karang ini.

Selepas itu, kedua-dua negara bersetuju bahawa cara terbaik menyelesaikannya adalah dengan cara diplomasi dan isu itu telah dibawa ke mahkamah antarabangsa.

lobster 2

"Perang Udang Karang" atau "Lobster War" secara rasminya telah berakhir pada 10 Disember 1964 selepas perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua negara.

Dalam perjanjian itu, Brazil telah memperluaskan jarak kawasan perairan mereka kepada zon 200 batu yang merangkumi kawasan udang karang itu. Dalam perjanjian itu juga membolehkan 26 buah kapal nelayan Perancis menangkap udang karang di sana dalam tempoh lima tahun seterusnya. 

Walaupun konflik antara kedua negara itu telah berakhir, perbalahan saintifik terus berlanjutan sehingga akhir tahun 1966. Saintis dari Perancis dan Brazil mempunyai teori mereka sendiri tentang bagaimana haiwan itu bergerak.

lobster 3

Perancis masih menyokong teori mereka mengenai udang karang yang bergerak seperti ikan dan berenang di laut terbuka. Oleh kerana itu udang karang tidak boleh dianggap sebagai harta kepada mana-mana negara.

Brazil pula menegaskan bahawa udang karang tidak berenang seperti ikan dan hanya merangkak di dasar laut. Walaupun keseluruhan konflik yang berlaku ini kedengaran lucu, tetapi akhirnya ia memainkan peranan yang besar dalam penubuhan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut.

Rujukan:

1. Ripleys

2. Face2face Africa

3. Now I Know




Hakcipta iluminasi.com (2017)