Oleh pada 04 Dec 2019 kategori

Bahasa pertama atau bahasa ibunda anda adalah bahasa yang anda terdedah sejak lahir hingga tahun pembentukan awal kita sebagai manusia.

Ia adalah bahasa yang berkait dengan sangat mudah bagi kebanyakan daripada kita dan yang paling selesa digunakan.

Semasa di sekolah menengah atau peringkat universiti, anda mungkin mempelajari bahasa asing sebagai sebahagian daripada kurikulum anda. Untuk menguasai bahasa kedua atau bahasa asing, seseorang itu perlu berlatih menggunakannya dengan sekerap yang mungkin.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan bagi mereka yang tinggal di luar negara, sudah tentu penggunaan bahasa ibunda semakin kurang kerana persekitaran yang berbeza.

Persoalan yang sangat penting adalah, adakah seseorang itu boleh melupakan bahasa ibundanya kerana terlalu kerap menggunakan bahasa asing atau tidak lagi menggunakan bahasa ibunda tersebut?

Bagi anda yang hanya belajar bahasa asing untuk menduduki peperiksaan, mungkin hal ini tidak akan berlaku. Namun bagi mereka yang menguasai beberapa bahasa asing, situasi ini mungkin boleh berlaku.

Terdapat sesetengah orang di dunia in yang telah terlupa bahasa ibunda mereka sepenuhnya, seolah-olah pengetahun asas tersebut tidak pernah wujud.

Sebelum menjawab persoalan ini, anda perlu memahami terlebih dahulu bagaimana manusia mempelajari bahasa dan apa yang memungkinkan seseorang itu terlupa bahasa ibundanya.

Bagaimana bayi mempelajari bahasa

bagaimana bayi belajar bahasa

Cuba anda ingat kembali cara anda belajar bahasa ibunda. Apakah perkataan pertama yang anda ucapkan?

Sudah tentu anda dapat membaca dan memahami artikel ini dengan sempurna, tetapi pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana ini boleh berlaku?

Kenapa epal dieja e-p-a-l berbunyi seperti yang kita sebut hari ini? Bagaimana kita dapat untuk membentuk ayat kompleks dengan mudah?

Kita mengetahui semua ini kerana kita mempelajarinya ketika kecil. Ia dikenali sebagai pemerolehan bahasa, proses di mana manusia mendapat keupayaan untuk memahami bahasa, termasuk pembentukan kata dan pembinaan ayat.

Bayi mempunyai keupayaan untuk belajar dengan pantas dan jika mereka ini dituturkan oleh ibu bapa menggunakan 2 bahasa berbeza, mereka dapat mengenal pasti perbezaan antara kedua-dua bahasa pada usia yang sangat muda.

Kanak-kanak yang tidak pernah menerima interaksi daripada sesiapa hampir tidak akan dapat memperoleh keupayaan menggunakan bahasa.

Malah, sebelum bayi dilahirkan, dia sudah terdedah kepada bahasa dan dapat membezakan antara 800 bunyi yang berbeza.

Otak bayi yang baru lahir diprogram untuk memahami bahasa. Hal ini sama seperti bayi belajar berjalan walaupun tidak pernah diajar bagaimana, mereka hanya tahu bagaimana untuk melakukannya.

bagaimana bayi belajar bahasa 2

Ramai pakar bahasa juga percaya bahawa bahasa dipengaruhi oleh genetik.

Beberapa penyelidik percaya bahawa terdapat 'tempoh kritikal' semasa tahun-tahun pembentukan kanak-kanak apabila pemerolehan bahasa berlaku tanpa sebarang usaha oleh kanak-kanak.

Tempoh kritikal boleh berlaku bila-bila di antara masa awal hingga tempoh pra-remaja. Seorang kanak-kanak berusia dua tahun mungkin tidak menggunakan tatabahasa ketika membentuk ayat dan produk akhir mungkin kedengaran agak pelik.

Ini adalah satu cara pembelajaran dan hasilnya, semakin banyak dipelajari serta dilatih, mereka dapat membentuk ayat yang lengkap.

Apabila anda mula mempelajari bahasa, anda bermula dengan asas-asas dan akhirnya berjaya menguasainya.

Adalah keterlaluan untuk mengharapkan seorang kanak-kanak mengetahui perbezaan antara penggunaan "satu" dan "sesuatu", tetapi sebagai orang dewasa, kita menggunakan pengetahuan itu dengan tersangat mudah.

Kes ini sedikit berbeza apabila seorang kanak-kanak itu terdedah kepada bahasa baru pada usia yang sangat muda. Ini biasanya berlaku kepada anak angkat atau kanak-kanak yang berhijrah ke negara-negara yang berbeza semasa tahun-tahun awal pembentukan mereka.

Bagaimana seseorang boleh lupa bahasa ibunda sendiri?

bolehkah kita lupa bahasa ibunda sendiri

Bahasa adalah sesuatu yang fleksibel dan berubah mengikut persekitaran individu.

Apabila anda berhijrah ke negara yang berbeza dengan bahasa yang berbeza, sering kali anda akan mengembangkan keupayaan untuk bercakap dalam bahasa tersebut. Ia adalah perkara yang paling penting untuk meneruskan hidup anda di tempat asing, berbanding perkara lain.

Sebagai orang dewasa, peluang untuk melupakan bahasa ibunda anda adalah kurang berbanding bagi seorang kanak-kanak.

Gangguan atau pergeseran bahasa adalah istilah rasmi untuk pengurangan secara beransur-ansur atau kehilangan kebolehan berbhasa bagi individu.

Dalam kebanyakan kes, bahasa yang terkesan adalah bahasa pertama atau ibunda (B1). Kekurangan penggunaan bahasa pertama disebabkan oleh perubahan persekitaran menyebabkan kecekapan seseorang hilang secara beransur-ansur.

Seseorang yang mengalami gangguan bahasa lazimnya merupakan individu bilingual atau individu berbilang bahasa yang mana B1 digantikan oleh bahasa kedua (B2).

Kadang-kala, seorang individu monolingual atau satu bahasa mungkin mengalami pergeseran bahasa juga, tetapi kebanyakan kes ini berlaku disebabkan oleh penuaan.

anak angkat negara lain mudah lupa bahasa ibunda sendiri

Kes-kes di mana kanak-kanak mungkin melupakan B1 nya biasanya dilihat dalam kalangan kanak-kanak angkat dan mereka yang berhijrah ke negara yang berbeza pada usia yang sangat muda.

Individu tersebut mempunyai sedikit atau tiada akses kepada bahasa ibunda mereka dalam persekitaran baru.

Terdapat perbezaan yang sangat ketara dapat dilihat pada kanak-kanak dan ibu bapa mereka apabila kita bercakap mengenai pergeseran bahasa.

Kanak-kanak lebih terdedah kepada pergeseran bahasa berbanding ibu bapa, di mana bahasa B1 telah tertanam dengan begitu kuat.

Kes ini sama seperti kes anak angkat. Sepanjang 50 tahun yang lalu, kadar pengambilan anak angkat telah meningkat dengan ketara dan kebanyakan pengambilan anak angkat di peringkat antarabangsa adalah kanak-kanak dalam kumpulan umur 4 hingga 5 tahun.

Kanak-kanak ini sering kali mengalami gangguan bahasa. Dalam kebanyakan kes anak angkat, keluarga angkat bercakap bahasa yang berbeza daripada bahasa ibunda anak tersebut.

Adalah selamat untuk mengatakan bahawa apa-apa perkembangan bahasa yang berlaku sebelum diambil sebagai anak angkat akan hilang sebaik sahaja anak itu berada dalam persekitaran yang baru tanpa pendedahan kepada bahasa ibundanya.

Bolehkah anda melupakan bahasa ibunda anda sepenuhnya? Terdapat banyak perbahasan di kalangan penyelidik mengenai persoalan ini.

Pergeseran bahasa bukan sahaja merupakan akibat daripada perubahan pada persekitaran seseorang, tetapi juga disebabkan oleh kesan psikologi tertentu.

anak angkat berbeza negara mudah lupa bahasa ibunda

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil bagi seorang kanak-kanak itu untuk masih mengingati saki-baki daripada bahasa ibundanya, walaupun dia telah lama tidak terdedah dengannya.

Dalam kes-kes yang lain, seseorang itu mungkin langsung tidak mengingati apa-apa tentang bahasa ibundanya.

Satu kajian terkenal yang dilakukan oleh Christophe Pallier memberi penerangan mengenai sama ada tempoh kritikal dalam kehidupan kanak-kanak itu memainkan peranan penting dalam pergeseran bahasa.

Penyelidik yang berpusat di Paris itu menguji orang dewasa yang telah dilahirkan di Korea dan diambil menjadi anak angkat ke dalam keluarga Perancis pada usia yang sangat muda.

Orang-orang yang dewasa ini mendakwa telah melupakan bahasa ibunda mereka dan bercakap Perancis tanpa loghat asing. Mereka ini diberikan 3 tugas khusus untuk menentukan sama ada mereka dapat mengingati bahasa ibunda mereka.

Tugas pertama adalah pengenalan bahasa, di mana mereka harus mengenal pasti ayat-ayat Korea di antara ayat-ayat lain yang dituturkan dalam 5 bahasa yang berbeza.

5 bahasa itu termasuk bahasa Korea, adalah bahasa Jepun, Poland, Sweden dan Wolof (Senegal).

Tugas kedua adalah mengenal pasti perkataan, di mana mereka harus memutuskan perkataan Korea yang manakah adalah terjemahan yang benar dari perkataan Perancis.

Tugas ketiga adalah tugas pengesanan serpihan, di mana mereka harus mengenal pasti serpihan Korea dalam ucapan pendek yang digunakan dalam 5 bahasa yang berbeza.

img 20220616 210216

Keputusan yang diperoleh agak mengejutkan, iaitu tiada seorang pun daripada orang Korea ini dapat membezakan ayat Korea di antara ayat-ayat lain dari bahasa yang berbeza.

Tanggapan mereka terhadap bahasa mereka yang diketahui, iaitu bahasa Perancis, adalah serupa dengan orang Perancis asli.

Kesimpulan yang dibuat adalah individu-individu Korea yang diambil sebagai anak angkat dalam keluarga Perancis ini telah melupakan bahasa ibunda mereka sepenuhnya.

Jadi, adakah boleh untuk kita katakan bahawa kita boleh melupakan bahasa ibunda kita sepenuhnya? Sebenarnya, ia bergantung kepada sama ada kita terdedah kepada bahasa ibunda untuk tempoh yang singkat, sebelum pergeseran bahasa berlaku.

Satu lagi kajian oleh sekumpulan penyelidik Sweden didasarkan pada idea bahawa jika pendedahan semula kepada bahasa ibunda berlaku dalam masa yang lama, maka peluang untuk melupakan bahasa ibunda sepenuhdnya adalah lebih rendah.

Dalam kajian ini, subjek yang digunakan adalah warga Korea yang telah hidup di Korea lebih lama sebelum diambil sebagai anak angkat.

Kesimpulan yang dibuat adalah jika pengambilan anak angkat berlaku lebih lewat dalam kehidupan seseorang, ingatannya tentang bahasa yang seolah-olah hilang mungkin lebih mudah untuk diperolehi kembali.

Pendek kata, dalam kes ini, jawapannya adalah seseorang itu tidak akan pernah melupakan bahasa ibundanya sepenuhnya.

Bahasa sangat terintegrasi di dalam otak kita dan merupakan salah satu bentuk komunikasi yang paling asas. Oleh itu, melupakan bahasa ibunda atau pertama anda kelihatan hampir mustahil, tetapi realitinya agak berbeza.

Rujukan:

1. Oxford Academia

2. Cambridge University Press

3. Science

3. Free University Amsterdam




Hakcipta iluminasi.com (2017)