Biodata ringkas

Pemilik nama sebenar Dato' Afdlin Shauki bin Aksan atau Afdlin Shauki, juga dikenali dengan nama gelaran Chief Kodok dan Sedey Malas, ialah seorang selebriti serba boleh bergelar status penyanyi, pengarah, penerbit, pelawak, pelakon dan pengacara terkenal di Malaysia.

Antara pengalamannya ialah menjadi pengacara bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi tahun 1997, 1999 hingga 2003 dan 2005 hingga 2010. Malah, beliau turut bergelar pengacara dan penulis bagi rancangan Golden Dreams (1999) dan Golden Dreams Extreme (2000). Beliau mula meraih populariti dalam bidang hiburan tanah air berikutan beberapa filemnya seperti Buli (2004), Baik Punya Cilok (2005), Buli Balik (2006) dan Sumolah (2007) yang mendapat sambutan hangat.

Latar belakang

Afdlin (kini berusia 46 tahun) dilahirkan pada 19 Mei 1971 di Johor Bahru, Johor. Beliau adalah anak sulung daripada 10 beradik. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Maria Christina Orow Abdullah pada tahun 1997 dan mempunyai dua orang cahaya mata bernama Mia Sara (20 tahun) dan Anais (18 tahun).

Kerjaya seni

Antara hasil karyanya yang meraih perhatian ialah Actorlympics TV, Super Spontan, Maharaja Lawak Mega, Ah-ha, Buli, Baik Punya Cilok dan Berani Punya Budak.

Muzik

Beliau bergiat aktif dari tahun 1990 hingga 2004 dalam industri muzik di bawah syarikat rakaman Acid Rain Records. Antara kejayaan yang paling meninggalkan kesan dalam kerjaya muzik ialah beliau menjuarai trofi kategori lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-19 pada tahun 2005 bagi lagu ciptaannya bertajuk "Erti Hidup" yang dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah.

Pengacaraan

Selain itu, Afdlin aktif bergelar pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah, pengacara dari tahun 1999 sehingga kini. Bagi bidang pengacaraan, Afdlin telah mendapat anugerah bagi kategori Penyampai Terbaik dalam Program Hiburan di Anugerah Televisyen Asia 1999 selaku pengacara rancangan bual bicara, Bila Larut Malam di Astro. Beliau telah mengemudi program itu selama 6 tahun berturut-turut, termasuk pertunjukan permainan, sukan, muzik dan program gaya hidup.

Boboi

Penglibatan kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Allahyarham Harun Salim Bachik dalam Maharaja Lawak Mega (2011) menjadi bualan ramai kerana watak mereka sebagai dua beradik tetapi berbeza ibu. Kedua-dua mereka mempunyai ayah yang berkelakuan serupa dan datuk yang sama ­kelakar.

Boboi memenangi tempat kedua, dengan ganjaran wang tunai bernilai RM250,000. Dalam pada itu, kumpulan Osbon menjuarai pertandingan itu dengan hadiah RM350,000.

Filem

Bergelar pelakon filem, debut tempatan sulungnya ialah sebagai pelakon undangan bagi filem terbitan Pesona Pictures, Mimpi Moon, serta bertindak selaku "pencerita" dalam filem Hollywood Anna and the King.

Antara filem lakonannya yang diiktiraf ialah Soal Hati (Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2000). Penampilan sulung beliau sebagai seorang penulis dan pengarah, serta pelakon ialah menerusi filem Buli terbitan Grand Brilliance yang telah menerima anugerah Pengarah Baru Harapan, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia, serta Pelakon Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Skrin TV3.

Sementara itu, sekuelnya berjudul "Buli Balik" mendapat anugerah Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (2006) dan juga Pengarah Terbaik dan Anugerah Lakon Layar Terbaik di Anugerah Skrin (2006).

Pada tahun 2007, Afdlin sekali lagi bertindak selaku pengarah, penulis dan pelakon menerusi filem Sumolah di bawah syarikatnya Vision Works yang telah menerima jemputan tayangan di Festival Filem Antarabangsa Fukuoka. Pada tahun 2009, Afdlin mengarahkan filem Papadom yang telah meraih pelbagai anugerah di Festival Filem Malaysia ke-22 untuk kategori Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Filem Terbaik, serta Best Skor Muzik untuk Filem. Filem ini turut mendapat tempat ketiga menerusi Anugerah Pilihan Penonton dalam Festival Filem Osaka Asia 2010 di Pertandingan Antarabangsa.

Pada Ogos 2017, Afdlin berkolaborasi bersama Datuk AC Mizal untuk melancarkan stesen TV mereka sendiri, Syiok TV iaitu usahasama antara syarikat VisionWorks kepunyaan Afdlin dan Syiok Media Network kepunyaan AC.

Sumber: Wikipedia Afdlin Shauki

afdlinshauki1

afdlinshauki2

afdlinshauki3

afdlinshauki4

afdlinshauki5

Sumber foto dengan keizinan: myartis.com


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)