Hidup manusia disempurnakan dengan penciptaan haiwan oleh yang Maha Esa. Tanpa haiwan, bagi sesetengah orang, hidup mereka tak lengkap. Haiwan peliharaan terutamanya, dicipta supaya menjadi peneman manusia. Walaupun haiwan tidak mempunyai kebolehan berfikir dan menyelesaikan masalah sebagaimana manusia, namun mereka mempunyai naluri sebagai makhluk hidup.
BESARKAN TEKS A- A+
Di antara haiwan-haiwan yang ada di muka bumi ini, terdapat di antara mereka yang dianggap bijak, pandai dan menyerupai keupayaan manusia. iluminasi.com ingin berkongsi 10 haiwan yang yang paling pintar dan bijak di atas muka bumi.
9. Kucing
Haiwan yang sangat comel, gebu dan manja ini merupakan haiwan kedua terbanyak dipelihara di dunia, selepas ikan air tawar. Haiwan ini mempunyai kebolehan apa yang dipanggil "object permanence". Ia bermaksud mereka mengetahui bahawa sesuatu objek atau individu masih wujud walaupun mereka tak dapat lihat, dengar, sentuh, bau atau rasa kehadiran mereka.
Memori seekor kucing dikatakan 200 kali ganda lebih kuat daripada seekor anjing. Memori jangka masa pendek kucing adalah 16 jam manakala bagi seekor anjing adalah selama 5 minit. Namun, kucing adalahvlebih memilih, dan ingat apa yang berguna bagi mereka.
Mereka juga mempunyai kemahiran tinggi dalam memburu, dan mempunyai keupayaan deria yang tinggi. Walaupun tidak sepandai anjing, kucing amat cepat dalam menyesuaikan diri dan mempelajari sesuatu kemahiran.
8. Tupai
Jangan pandang rendah kepada tupai, walaupun saiz mereka kecil, tapi mereka amat pintar. Namun anda pasti meragui kepintaran mereka kerana anda mungkin pernah mengalami situasi di mana terlihat tupai ditengah jalan dan hampir melanggar mereka, seolah-olah mereka tidak tahu mereka akan dilanggar.
Kepintaran tupai tertumpu kepada satu perkara, mencari dan menyembunyikan makanan. Mereka sangat pintar mencari cara untuk mencari atau mencuri makanan, dan apa yang lebih mengagumkan adalah cara mereka menyembunyikan makanan.
Mereka berkebolehan dalam menghasilkan tempat menyimpan makanan yang palsu, di mana mereka berlakon seolah-olah menanam makanan, bagi menarik perhatian pencuri makanan seperti tupai lain, atau burung. Pencuri makanan lalu akan menumpukan perhatian kepada tempat penanaman palsu itu, membuatkan tupai ini boleh menyimpan makanan mereka di tempat lain dengan lebih selamat.
7. Gajah
Dengan tubuh yang lebih besar, bermakna otak yang lebih besar, namun ia tidak memberikan kepintaran mengikut saiznya. Jadi, sepintar manakah gajah? Berdasarkan kajian, kepintaran gajah disebabkan oleh struktur otak mereka di mana neocortex mereka kompleks dan berbelit-belit, sama seperti manusia, beruk dan juga ikan lumba-lumba. Kortek mereka adalah tebal dan terdiri daripada banyak neurons.
Gajah tidak dilahirkan dengan naluri untuk survive, mereka belajar semua itu semasa masih bayi dan remaja. Mereka belajar untuk makan, menggunakan alatan, serta memahami tempat tinggal dan struktur sosial. Gajah berkebolehan dalam meniru suara, mengorek lubang untuk minum air, dan juga menyelesaikan masalah. Mereka mampu untuk mengubah kelakuan mereka mengikut situasi. Seekor gajah Asia, Bandula, tahu bagaimana cara untuk melepaskan cangkuk yang agak kompleks pada rantainya dan kemudiannya membantu rakannya untuk melarikan diri.
6. Sotong kurita
Haiwan ini tidak mempunyai otak seperti yang biasa kita tahu, namun, mereka mempunyai sekumpulan sel saraf yang dikenali sebagai ganglia. Ganglia pada sotong kurita adalah sangat tumpat dan menghasilkan sistem otak berpusat. 2 bahagian pada otak ini dikhaskan untuk menyimpan memori. Bukan itu sahaja, terdapat bahagian pada otak mereka digunakan untuk belajar.
Menurut Jennifer Mather, seorang ahli psikologi perbandingan dari Universiti Lethbrige, Canada yang telah menghabiskan masa 35 tahun mengkaji sotong kurita, haiwan ini mampu menyelesaikan masalah dengan mudah.
Dalam satu kajian, beberapa sotong kurita diberikan kepah dan kupang untuk mengetahui yang mana satu kegemaran mereka. Walaupun mereka mempunyai kekuatan yang tinggi, namun mereka memilih kupang.
Sebabnya? Kerana kupang lebih mudah untuk dibuka. Namun, mereka memilih kepah apabila kepah yang diberi hanya mempunyai separuh cangkerang. Ini terbukti bahawa mereka membuat keputusan memilih yang mana lebih mudah.
5. Anjing
Tidak syak lagi anjing antara haiwan yang paling pintar di dunia. Walaupun kepintaran mereka berbeza mengikut jenis, namun kebiasaannya mereka mudah mempelajari kemahiran baru dan memberikan respon yang sangat cepat kepada latihan manusia, berbanding kucing.
Menurut kajian IQ terhadap anjing, anjing mempunyai kebolehan mental sama seperti kanak-kanak berumur 2 tahun. Kajian ini disandarkan kepada ujian perkembangan bahasa, yang mana menunjukkan anjing mampu mempelajari 165 perkataan, termasuk isyarat dan bahasa badan. Terdapat juga anjing yang mampu mempelajari 250 perkataan.
Baka anjing yang paling pintar menurut pakar dan profesor emeritus di University of British Columbia, Stanley Coren, adalah Border collies, poodles, dan German shepherd. Antara bukti mudah anjing adalah makhluk pintar adalah mereka dijadikan pembantu pihak berkuasa seperti polis dan kastam dalam mengesan penjenayah dan juga dadah.
4. Burung kakak tua
Dikatakan burung kakak tua adalah spesis burung yang tidak mempunyai otak seperti burung lain, kerana jauh lebih bijak. Menurut kajian saintis dari Brandeis Univerisity, Profesor Irene Pepperbeg, kepintaran burung kakak tua menyamai kepintaran kanak-kanak berusia 5 tahun. Kajian yang mengambil masa 29 itu dibuat terhadap burung kakak tua yang diberi nama Alex.
Alex boleh mengenalpasti 100 objek, kebanyakannya makanan dan barang mainan di dalam rumahnya. Menurut Profesor Irene, kepintaran haiwan ini menyamai kanak-kanak 5 tahun, namun kemahiran berkomunikasi mereka hanyalah seperti kanak-kanak 2 tahun. "Mereka tak boleh cakap ayat yang panjang, tetapi boleh menjawab soalan yang ditanya," jelas Irene.
Selain itu, Alex juga boleh mengenalpasti sehingga 7 warna. Jika anda menggunakan quotes dalam ayat, mereka akan menggunakan bahasa Inggeris. "Jika saya tanya Alex, ada berapa buah epal, dia akan menjawab 2. Dan jika saya tanyakan warna apa, dia akan menjawab hijau," terang Irene lagi.
3. Cetacean (Ikan paus, ikan lumba-lumba)
Menurut perbandingan yang dijalankan oleh Michigan State University di antara otak cetacean (ikan paus dan ikan lumba-lumba) dengan primate (manusia), otak cetacean mempunyai kelebihan berbanding otak manusia yang mana deria utama mereka sama dengan cara utama mereka berkomunikasi, iaitu kedua-duanya boleh berhubung menggunakan pendengaran (auditory). Bagi manusia, deria utama kita adalah secara visual manakala cara berkomunikasi utama adalah melalui pendengaran.
Selain itu, sistem limbik cetacean adalah lebih kompleks daripada manusia. Sistem limbik adalah kombinasi beberapa struktur dalam otak yang mengawal emosi dan pembentukan memori.
Mungkin disebabkan itu haiwan ini lebih menyayangi antara satu sama lain berbanding manusia. Dalam otak cetacean, lobus dan korteks mereka bergabung, dan dikatakan di bahagian otak ini mempunyai rahsia mengenai komunikasi sosial dan kesedaran diri.
Selain itu, sebagai contoh, ikan lumba-lumba, mempunyai kebolehan mengenal diri sendiri jika melihat cermin, menyelesaikan masalah dan mengaitkan sebahagian daripada anggota badan mereka dengan anggota manusia.
Jika anda pernah melihat persembahan ikan lumba-lumba, mereka akan menggerakkan sirip mereka apabila jurulatih mereka melambai pada mereka.
2. Khinzir
Walaupun haiwan ini merupakan antara yang paling kontroversi, diharamkan dalam agama Islam untuk kita memegang, membela dan memakannya, namun ia tidak membuatkan mereka dikecualikan dalam senarai ini.
Khinzir mempunyai memori jangka masa panjang yang bagus, dan boleh menjadi sosial manipulatif dengan khinzir lain. Mereka juga mampu mengenalpasti manusia yang baik dan jahat terhadap mereka.
Menurut penulis, Lori Marino, yang juga seorang neurosaintis, dan Chris Colvin, profesor di Universiti Emory, dalam penulisan mereka yang bertajuk “Thinking Pigs: A Comparative Review of Cognition, Emotion, and Personality in Sus domesticus.” menjelaskan bahawa khinzir mempunyai kebolehan mental dan sosial yang sama dengan anjing dan cimpanzi.
"Kajian mencadangkan bahawa khinzir berkognitif kompleks dan mempunyai banyak ciri yang terdapat pada haiwan yang kita anggap sebagai pintar," jelas mereka. Walaupun dibandingkan dengan cimpanzi, namun khinzir tidaklah serupa dengan cimpanzi dari segi kepintaran otak,
Khinzir mampu mempelajari sesuatu kemahiran baru dengan mudah, dan boleh menyelesaikan masalah.
1. Cimpanzi
Mungkin ramai yang dah boleh agak, cimpanzi, adalah haiwan yang paling bijak di dalam dunia. Bukan sahaja rupa bentuk mereka, malah kepintaran mereka dikatakan dapat menyamai manusia.
Terdapat banyak filem yang menggunakan watak cimpanzi untuk menunjukkan kepintaran mereka. Mereka mampu mempelajari perkataan, bermain dengan objek dan juga bersedih jika berlaku kematian.
Disebabkan kepintaran dan kebijaksanaan haiwan ini, terdapat teori oleh Charles Darwin yang mengatakan manusia sebenarnya berasal daripada cimpanzi.
Dr. de Waal yang mengkaji hal ini di Yerkes Primate Research Center di Emory, memberitahu bahawa cimpanzi adalah haiwan sosial yang terpaksa mengubah tingkahlaku mereka mengikut situasi, seperti manusia.
Selain itu, menurut seorang ahli primatologi di Iowa State University, Jill Pruetz, terdapat cimpanzi di Senegal yang menghasilkan tombak daripada kayu, untuk memburu haiwan primate yang lebih kecil, untuk dijadikan makanan.
Dalam satu kejadian, menurut seorang ahli primatologi, William Hopkins, ketika beliau mengkaji seekor cimpanzi, cimpanzi itu menyedari bahawa terdapat sebuah TV berdekatannya yang merakam dirinya secara "real-time". Cimpanzi yang diberi nama Austin itu, cuba membuka mulutnya dan cuba melihat giginya pada monitor, namun tak dapat melihat dengan jelas.
Apa yang mengejutkan, Austin, kemudiannya mengambil lampu suluh dan menyuluh ke dalam mulutnya supaya dapat melihat giginya. Austin merupakan cimpanzi yang paling pintar yang pernah William jumpa. "Oleh kerana saya menghabiskan masa yang sangat lama mengkajinya, saya tahu betapa bijaknya haiwan ini," jelas William.
Sumber: