kesilapan pakatan harapan

Mendapat mandat rakyat tidak semestinya membolehkan sesuatu gabungan itu kekal sebagai kerajaan. Itulah yang berlaku kepada Pakatan Harapan.

Kejatuhan gabungan itu membuktikan politik negara kita adalah sebuah kisah yang sangat sukar untuk dijangka apa penamatnya. Namun bagi penyokong Pakatan Harapan, mereka melihat gabungan itu tampak ada harapan cerah untuk kembali berkuasa.

Namun dalam masa sama, Pakatan Harapan atau PH dilihat kekal mengulangi kesilapan serupa yang menghantui reputasi mereka. Berikut adalah lima kesilapan PH yang masih berlaku, selepas tumbangnya gabungan itu dari tampuk kerajaan.

1. Bertelagah tentang calon PM

pertelagahan jawatan pm pakatan

Selepas Tun Mahathir meletak jawatan seterusnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan - sebenarnya masih ada peluang untuk mereka kembali memimpin negara. Malangnya semasa proses penamaan calon Perdana Menteri seperti diceritakan Tun Mahathir, individu di kalangan pemimpin PH gagal mencapai kata sepakat seperti yang telah dipersetujui, sebaliknya berpecah dua menamakan dua orang calon. 

Perpecahan ini dipercayai menyumbang kepada pembentukan kerajaan di bawah gabungan baru Perikatan Nasional.

Situasi sama seakan berulang lagi selepas diberikan peluang untuk menamakan seorang saja calon bagi PM ke 9, PH sekali lagi kelihatan sukar untuk bersatu menamakan satu nama.

Sebaliknya sehingga saat terakhir, masih berlaku pergelutan di antara menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Datuk Seri Shafie Apdal.

2. Gagal kembali menyokong Tun Mahathir

kabinet pakatan harapan

Keretakan dalaman yang berlaku kepada kerajaan PH sehingga keluarnya kumpulan yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpunca daripada keengganan kumpulan itu menyokong proses peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada penggantinya.

Malangnya, cengkaman Tun Mahathir masih terus mampu membayangi gerak langkah PH walaupun dia sendiri sudah bukan lagi sebahagian dari badan gabungan PH.

Tidak dinafikan perpecahan PH bermula daripada penarikan sokongan kumpulan Tan Sri Muhyiddin, namun PH sepatutnya berdiri teguh kembali bersatu di belakang bekas PM ke 7 itu.

Ini kerana beliau adalah satu-satunya individu dibuktikan mampu menandingi kelicikan berpolitik yang dipamerkan seteru PH yang kini dalam kerajaan. Malang bagi PH, pertaruhan mereka dalam aspek ini tampak kurang berhasil.

3. Perang dalaman identiti DAP

hala tuju parti dap

Jika anda mengikuti politik dalaman DAP, anda pasti sedar wujud dua kumpulan utama yang agak berbeza ideologi mereka di kalangan pimpinan tertinggi DAP. 

Di satu pihak, mereka yang didakwa mahu mengekalkan DAP sebagai parti yang mengutamakan nasib kaum Cina sebagai kunci utama, sementara di satu pihak lagi, adalah individu-individu yang memegang ideologi berbeza - mahukan politik yang benar-benar merentasi bangsa; dilabelkan sebagai 'English Chauvinist.'

Sehingga kini DAP seakan-akan sukar untuk keluar daripada perang dalaman itu, mengakibatkan DAP sukar menentukan hala tuju jangka panjang mereka.

Selagi mana DAP bergelut dengan isu ini, PH akan terus berdepan kesukaran dalam menawan hati pengundi, yang berbelah bahagi sentimen mereka terhadap DAP. Tetapi bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini sekiranya DAP sendiri lebih selesa duduk dalam ketidakstabilan sedemikian?

4. Mahu berpecah atau menyatukan?

tun mahathir menangis dalam video

Dalam kegawatan kita berhadapan dengan pandemik, kita pasti mengharapkan agar pergelutan politik reda untuk sementara. Malangnya, gesaan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku PM ke 8 untuk mengundur diri terus kedengaran dari pihak kerajaan dan pembangkang. 

Ketika berdepan tekanan ini, Tan Sri Muhyiddin sebelum meletakkan jawatan menawarkan 'gencatan senjata' yang ditujukan khas kepada pihak PH, agar dapat diwujudkan sebuah badan bi-partisan rentas parti yang boleh menggalas tanggungjawab mentadbir negara. 

Malangnya cadangan ini ditolak mentah-mentah pemimpin tertinggi PH.

Tidak ramai menyedari perbincangan berkenaan tawaran itu sebenarnya sudah dilakukan untuk tempoh beberapa bulan sebelum tawaran itu dibuat, bagi menggariskan syarat-syaratnya yang dirangka oleh wakil kerajaan pusat dan pembangkang.. 

Tawaran itu turut merangkumi beberapa perkara yang diperjuangkan PH sekian lama seperti pengehadan penggal jawatan PM, pendaftaran undi 18 tahun dan beberapa perkara dasar lain yang cukup popular disentuh. 

Namun hanya reaksi negatif dan keras diterima segelintir pemimpin PH yang terbuka untuk mempertimbangkan tawaran itu.

Mereka yang pro tawaran tersebut melihat tawaran itu sebagai satu peluang yang baik untuk PH terlibat secara langsung dalam gerak kerja melawan pandemik serta meluluskan dasar yang telah lama cuba diperkenalkan.

Pemimpin politik seperti Tony Pua dari DAP secara sinis mengkritik pimpinan PH atas keputusan mereka. Keputusan yang dibuat menurut Pua, hanya akan memperkuatkan lawan dan dalam masa yang sama langsung tidak memberi sebarang faedah kepada orang ramai.

Itulah yang sedang berlaku dalam arena politik kita. Sama ada perubahan pemegang jawatan Perdana Menteri ini bakal membawa manfaat kepada rakyat, belum kita ketahui - tetapi PH nyata tewas besar dalam percaturan kali ini.

5. Tiada alternatif lain kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim

nurul izzah calon pm d8710

Satu fakta yang sukar untuk penyokong PH nafikan - kejayaan mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan pada tahun 2018, adalah disebabkan X-Factor dibawa Tun Mahathir Mohamad.

Beliau berjaya membawa undi masyarakat Melayu yang sebelum itu enggan mengundi PH, memecahkan kebuntuan undian yang dialami PH sebelum itu.

Tetapi selepas mendapat kuasa, usaha sulit untuk mempercepatkan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mula digerakkan sehingga membawa kepada kejatuhan PH dari pentadbiran.

Kenapa situasi ketidakstabilan sebegini perlu diwujudkan, sedangkan sebagai rakyat biasa - penulis melihat Tun Mahathir sedang elok mentadbir dan seharusnya diberikan masa lebih panjang untuk memperbaiki apa yang perlu diperhalusi.

Kebergantungan survival politics Pakatan Harapan semakin ketara sangat bergantung kepada nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan realitinya dalam PH masih ramai individu lain yang turut sama layak diketengahkan.

Seperti yang kami katakan terlebih awal, desas-desus menyebut sebelum naik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM ke-9, ada usaha dari pihak PH untuk menamakan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon PM dari Pakatan.

Datuk Seri Shafie Apdal mempunyai reputasi yang cukup baik, berpengalaman luas dalam urusan pentadbiran serta secocok dengan jawatan seorang Perdana Menteri seandainya dia diberikan peluang. Beliau sendiri menyatakan peluang beliau untuk menang jawatan itu lebih tinggi sekiranya dia dinamakan sebagai calon PH.

Persoalannya - perlukah PH keluar daripada pengaruh Datuk Seri Anwar untuk mula mengorak langkah berbeza di masa hadapan atau wajib terus kekal dengan kepimpinan sama dalam percubaan-percubaan seterusnya?



Hakcipta iluminasi.com (2017)