Salah satu peralatan paling ringkas tetapi paling penting dalam sesebuah kenderaan adalah tali pinggang keledar.

Mungkin kerana keringkasannya jugalah, pemakaiannya kerap kali jarang berjaya dijadikan amalan sesetengah ahli masyarakat kita - walaupun fungsi beg udara serta amaran bunyi kini berkait dengan pemakaian tali pinggang keledar yang betul.

Kita kerap kali memakai tali pinggang keledar, tanpa mengenali apakah bahan yang digunakan bagi menghasilkan tali tersebut. Pernahkah anda tertanya apakah sebenarnya material atau bahan fabrik yang digunakan?'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fabrik 'webbing' yang kukuh

webbing tali pinggang seat belt

Bahan fabrik atau material yang digunakan dalam pembuatan tali pinggang keledar adalah sejenis bahan kain yang dinamakan dalam industri pembuatan sebagai 'webbing.' Kami pun tak tahu nak terjemahkannya sebagai apa - kain abah-abah? Jadi kami gunakan 'webbing' saja ya?

Terdapat dua jenis fabrik 'webbing' yang digunakan, satu diperbuat daripada nylon dan satu lagi daripada bahan polyester. Untuk kenderaan, 'webbing' jenis polyester akan digunakan kerana kekuatannya. 'Webbing' nylon pula biasanya digunakan untuk membuat tali pengikat yang lebih rendah tegangannya, seperti tali pengikat haiwan atau tali pengikat buaian.

'Webbing' nylon mempunyai beberapa kekurangan berbanding polyester - sifatnya mampu menyerap air menyebabkan kulat merebak didalamnya sekiranya tidak dikeringkan dengan betul. Selain itu 'webbing' nylon juga mampu meregang dan mempunyai sifat lebih elastik berbanding 'polyester.'

Walaupun mempunyai daya ketahanan bermula daripada 500kg ke 2 tan bergantung kepada jenis dan ketebalan, 'webbing' nylon secara keseluruhannya lebih mudah putus berbanding jenis 'polyester.'

Tali pinggang keledar 'polyester' yang berjasa

nama fabrik pada tali pinggang

Jadi mengapa 'polyester' dipilih sebagai bahan fabrik tali pinggang keledar?

Satu sifat 'webbing' polyester yang sangat dipentingkan adalah keupayaannya untuk tidak meregang apabila daya tarikan diberikan kepadanya. Ini bermakna dalam setiap kemalangan yang berlaku, sekiranya tali pinggang keledar sudah pun dipakai kemas - pemakainya sukar untuk dilonjakkan ke depan kerana 'webbing' polyester tidak akan meregang.

Selain itu, 'webbing' polyester juga mempunyai beberapa sifat tambahan lain yang memberikannya daya ketahanan lebih kuat.

'Webbing' polyester kalis sinaran UV membolehkan daya ketahanannya kekal dalam jangka masa lama tanpa pereputan berlaku. Bahan-bahan seperti kulat dan kulapuk juga sukar menjadikan fabrik tersebut rumah mereka dan fabrik itu juga sangat tahan geseran, membolehkannya digunakan berulang kali tanpa mengalami penurunan kualiti.

Jika 'nylon' mempunyai daya ketahanan yang tinggi, 'polyester' pula jauh lebih berkeupayaan menahan daya tarikan dengan daya sekuat 500 kg ke 4.5 tan mampu ditahan fabrik tersebut. Untuk fabrik 'webbing' polyester khas bagi tali pinggang keledar kenderaan, daya ketahanan yang perlu dicapai bermula daripada 1.36 tan ke 2.7 tan.

Sejarah ringkas kain yang banyak menyelamatkan nyawa

penciptaan tali pinggang keledar

Sebelum menggunakan polyester, kesemua bahan fabrik yang digunakan bagi membuat tali pinggang menggunakan 'webbing' jenis nylon.

Bagaimanapun, oleh kerana kelemahan nylon yang sudah disebut di atas - industri kenderaan bersetuju bahan tersebut kurang sesuai untuk terus dijadikan standard kepada bahan fabrik tali pinggang keledar.

Jadi sekitar penghujung dekad 1960-an sehinggalah awal 1970, kajian dijalankan bagi mengenalpasti bahan terbaik yang akan digunakan bagi dijadikan asas kepada setiap tali pinggang keledar yang bakal dipasang; sama ada penambah baikan kepada nylon atau polyester.

Dalam membandingkan kedua-duanya, dapat dikenalpasti bahawa bahan polyester mempunyai daya tahan regangan yang lebih baik, menjadikan bahan tersebut sebagai pilihan. Jadi sejenis polyester yang dinamakan sebagai 'HT Polyester' atau 'High Tenacity Polyester', untuk digunakan sebagai fabrik rasmi tali pinggang keledar.

Benang yang digunakan juga berbeza mengikut sifat benang polyester yang ada. Dalam kajian yang dilakukan oleh WHO, saiz benang yang lebih kasar mampu menghasilkan permukaan yang lebih tahan geseran berbanding benang polyester halus. Benang halus juga mempunyai kemungkinan lebih tinggi dicemari bendasing.

Hasil kajian itu menunjukkan bahawa fabrik tali pinggang keledar perlu dihasilkan daripada bahan HT Polyester jenis bebenang kasar, dengan bentuk tenunan yang khas.

Berapakah kekuatan sebenar fabrik tali pinggang anda?

Salah satu perkara yang kerap disebut adalah berkenaan daya kekuatan tali pinggang yang kita pakai. Kami sudah mengutarakan angka-angka yang menjawab persoalan ini, tetapi angka saja tidak memadai.

Di internet, sudah banyak sebenarnya demonstrasi untuk membuktikan kekukuhan fabrik tali pinggang kita bagi menyedarkan orang ramai betapa pentingnya kita memakai tali pinggang.

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan tali pinggang keledar merupakan hasil kajian berpuluh tahun lamanya. Banyak sudah bukti menunjukkan kereta mungkin sudah uzur dan tidak lagi boleh digunakan, namun bahagian yang masih nampak baru dan tidak kelihatan lusuh - adalah tali pinggang keledar.

Mungkin anda merasakan pemakaiannya remeh atau membuatkan anda tidak selesa, namun sudah dibuktikan berulang-ulang kali peralatan semudah ini sebenarnya telah menyelamatkan banyak nyawa.

Rujukan:

India Textile Journal

Interweave

US Cargo Control




Hakcipta iluminasi.com (2017)