elon musk tesla semi roadster

Sudah beberapa lama CEO kepada Tesla, Elon Musk menjanjikan kepada kita semua produk terbaru daripada Tesla iaitu Tesla Semi, akan mengubah persepsi kita terhadap lori trailer. Kempen pemasarannya yang menjanjikan pendedahan yang akan mengejutkan kita semua akhirnya selamat dilakukan semalam di Hawthorne, California.

Tesla memerlukan sesuatu yang positif, selepas pendedahan tahap kewangan mereka yang mencatatkan kerugian hampir RM2.5 billion pada awal 2017. Kesemua itu diburukkan dengan penangguhan pengeluaran Tesla Model 3 sebanyak 5000 unit setiap minggu ke tahun 2018, yang sebenarnya disasarkan berlaku pada tahun ini. Sasaran awal 10 ribu unit seminggu pula terpaksa dilupakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Isu kerahan tenaga pekerja sehingga ada mengabaikan kebajikan pekerja juga semakin kerap kedengaran selepas Tesla memilih untuk mempercepatkan pengeluaran yang sudah pun ketinggalan daripada jangkaan asal. Selain itu Tesla juga berdepan dengan masalah kesatuan pekerja yang menuntut hak bagi pekerja Tesla, saman daripada bekas pekerja serta menghadapi kesukaran menjustifikasi pemberhentian 700 orang pekerja yang dilakukan tahun ini.

Dengan jumlah liabiliti sebanyak $22 billion (RM91.4 billion) ditanggung ketika ini, Tesla tidak boleh tersilap langkah.

Tesla Semi

pembentangan tesla semi oleh elon musk

Tesla Semi, dari luarannya cukup unik pada mata penulis. Trak/lori berkuasa elektrik ini dikatakan mampu menyelesaikan banyak masalah dan isu yang dihadapi oleh lori-lori konvensional yang diguna pakai sekarang ini.

Tesla menjanjikan dengan sekali caj, Tesla Semi mampu berjalan melebihi 800km pada kelajuan normal. Pada mulanya media menganggarkan Tesla Semi mungkin hanya mampu mencapai di antara 400-450km namun Tesla berjaya membuktikan tanggapan mereka salah. Apa yang menariknya, sistem brek yang dipasang pada Tesla Semi ini juga berfungsi untuk mengecas semula bateri dengan jaminan daripada Elon Musk sendiri, yang pelapis brek Tesla Semi tidak perlu digantikan seumur hidup.

tesla semi berwarna biru

Jarak 800km itu pula dapat dicapai dengan menggunakan pengecas elektrik baru yang Tesla gelarkan Megachargers yang mampu mengecas bateri Tesla Semi hanya dalam masa 30 minit.

Pada mulanya teknologi pemanduan automatik dikhabarkan akan dipasang pada Tesla Semi, namun dalam perasmian semalam, Tesla Semi tidak mempunyai sistem tersebut. Ini berkemungkinan dilakukan atas undang-undang baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat, selepas Tesla Model S yang dipandu secara komputer, mengakibatkan kematian seorang pemandu kereta itu pada tahun 2016.

tesla semi pandangan dari depan

Kekuatan enjin Tesla Semi pula dikatakan cukup menakjubkan dengan muatan maksima ditampung, kelajuan 95km dapat dicapai dalam masa 20 saat. Daya penarik paling kuat Tesla Semi bagi syarikat pengangkutan, adalah bagaimana kos penyelenggaraan enjin dapat dikurangkan berbanding enjin konvensional. Bagaimana pun, kita perlu menunggu sehingga 2019 untuk melihat sendiri bagaimana Tesla Semi ini beraksi.

Tesla Roadster Generasi ke 2

tesla roadster generasi kedua

Elon Musk dengan bangga mengatakan yang Tesla Roadster generasi ke 2 ini, adalah kereta produksi kilang paling pantas di dunia ketika ini. Mungkin benar, mungkin tidak, kita kena tunggu dan lihat.

Elon Musk mengatakan yang Roadster mampu mencapai kelajuan 95km dalam masa 1.9 saat. Saya ulangi, 1.9 saat. Jika benar, ini menjadi Tesla Roadster adalah kereta pertama yang mampu mencapai kelajuan tersebut dalam masa kurang dari 2 saat.

Dalam pembentangannya, Elon Musk tidak menyatakan secara tepat berapakah kelajuan maksima yang mampu dicapai Roadster tetapi menganggarkan sekitar 402km/j. Untuk perbandingan, kelajuan paling pantas pernah dicapai kereta produksi adalah 445km/j oleh kereta Koenigsegg Agera RS.

roadster stereng kawalan futuristik

Dengan bangga, Elon Musk mengatakan yang Roadster akan membuatkan semua kereta lain yang masih menggunakan petrol atau diesel, ketinggalan zaman.

Apa yang membuatkan pembentangan Tesla Roadster ini adalah berkenaan perinciannya yang cukup mengkagumkan. Mampu berjalan sejauh 997km hanya dengan sekali caj, tak ada kereta lain yang menggunakan elektrik atau bahan api fossil mampu melakukan apa yang Tesla Roadster dapat lakukan.

tesla roadster imej hero

Produksi model Roadster hanya akan dimulakan pada tahun 2020 namun jika anda berminat, tempahlah unit untuk anda dengan meletakkan pendahuluan RM207,775 bagi kereta berharga RM831,100 ini. Kemudian bawa kami naik pusing keliling Malaysia, kerana kami tahu anda boleh pusing Malaysia satu kali tanpa keluar satu sen pun untuk minyak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)