Sama seperti banyak model perniagaan lain yang menggunakan sistem langganan secara bulanan kepada pengguna, pengeluar kereta juga tampak enggan ketinggalan.

Kami sudah menulis satu artikel berkenaan fungsi-fungsi kereta yang kini telah dijadikan pakej langganan secara bulanan atau tahunan untuk diakses. Apa yang kami tidak jangkakan, baru-baru ini jenama Jerman, BMW turut sama mengumumkan pelaksanaan sistem serupa di negara kita. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah ini sesuatu yang bakal menjadi kebiasaan di masa hadapan, bila kereta semakin bergantung kepada peranti cip elektronik dan komputer? Berikut adalah lima fungsi kenderaan yang perlu dilanggan pemandu BMW di Malaysia.

1. Bantuan Pemanduan

bmw driving assistance langganan pakej

Salah satu fungsi yang telah mula diperkenalkan pada banyak model kereta, adalah kemampuan untuk mengekalkan jarak pemanduan selamat pada kelajuan tinggi serta kawalan pergerakan kenderaan automatik ketika jalan sesak. 

BMW Malaysia kini menawarkan pakej langganan untuk kedua-dua fungsi ini kepada pemandu, dengan bayaran RM170 sebulan atau RM3,750 untuk sepanjang hayat kenderaan. 

Model BMW yang melanggan fungsi ini mempunyai kemampuan untuk mengekalkan kelajuan secara konsisten pada had laju maksima 210km/j serta tidak perlu dikawal minyak dan brek ketika bergerak secara perlahan. 

Kenderaan dengan akses fungsi ini mampu bergerak dan berhenti, dengan pemandu hanya perlu menetapkan jarak yang diingini di antara kereta mereka dengan kereta hadapan.

2. Lampu bersifat selektif

bmw selective beam fungsi langganan

Pernahkah anda rasa susah ketika memandu dalam keadaan yang gelap, memerlukan anda sering menukar di antara lampu tinggi dan lampu biasa bagi menerangi jalan di depan? 

Sekiranya anda pemilik model BMW yang dipasangkan fungsi ini, anda hanya perlu membayar RM40 sebulan atau RM800 untuk sepanjang hayat kenderaan untuk mengakses fungsi kawalan lampu selektif automatik.

Dengan fungsi ini diaktifkan, pengesan akan membaca tahap pencahayaan laluan anda dan mengaktifkan tahap lampu yang sesuai termasuklah situasi di mana ada kenderaan lain datang dari depan. Sekiranya anda duduk situasi itu, pasti anda perlu 'menurunkan' lampu agar pemandu di hadapan anda tidak silau mata mereka kan? 

Semua ini tidak lagi perlu anda bimbangi sekiranya anda melanggan fungsi ini dan mengaktifkannya.

3. Pemanas kerusi dan stereng

pemanas setereng bmw langganan bulanan

Kami tidak tahu kenapa dua fungsi ini diperkenalkan di negara kita, kerana secara semulajadinya stereng dan kerusi tempat duduk kenderaan kita memang sedia ada panas-panas dek terik matahari. 

Bagaimanapun BMW melihat potensi untuk pakej ini tetap dipasarkan di Malaysia, menawarkan akses kepada dua fungsi ini kepada pengguna secara langganan atau sekali bayar. 

Untuk pemanas stereng, harga langganan sebulan adalah RM50 dan pengaktifan sepanjang hayatnya pula dikenakan harga RM950. Untuk pemanas kerusi depan, kadar caj dikenakan adalah RM80 sebulan atau RM1,750 untuk pengaktifan kekal.

4. Pakej bunyi

bmw i4 kereta elektrik bunyi tiruan

Salah satu 'kekurangan' yang ada dalam model kereta-kereta elektrik, adalah ketiadaan bunyi enjin yang terhasil daripada proses tindak balas dalam enjin ke ekzos.

Untuk mewujudkan kembali sensasi audio yang ada, banyak pengeluar merekabentuk sistem bunyi menggunakan pembesar suara yang menghasilkan semula bunyi ekzos dan enjin mengikut mod pemanduan yang ditetapkan.

Ini adalah salah satu fungsi yang sedang dijual kepada bakal pembeli jenama BMW di Malaysia, menerusi pakej IconicSounds Sport. Pakej dengan harga RM640 sekali bayar ini membolehkan pemandu menetapkan sendiri bunyi yang terhasil ketika mereka memandu.

Dibangunkan bersama-sama komposer legenda Hans Zimmer yang bertanggungjawab menyelia dan menghasilkan nada-nada yang mewakili fungsi tertentu dalam kereta, sistem bunyi kereta tiruan ini didakwa merupakan antara sistem terbaik telah dibangunkan setakat ini - dalam mengfabrikasikan audio dengan pergerakan pedal minyak dan brek.

5. Penyelarasan sistem GPS dengan USB

fungsi bmw yang perlu dilanggan

Dengan kemudahan sistem GPS berasaskan telefon pintar, sama ada melalui sistem Google Maps, Waze atau Apple Maps - agak menghairankan kenapa pengeluar kereta masih lagi mahu memasangkan sistem GPS yang dibangunkan mereka sendiri ke dalam produk mereka. 

Apatah lagi kajian telah menunjukkan kebanyakan pemandu yang mempunyai kereta dengan sistem GPS terpasang dalam kereta, lebih gemar menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan bantuan navigasi.

Ini kerana hasil maklum balas orang ramai sebagai pengguna menunjukkan ramai enggan menggunakannya, kerana merasakan sistem GPS eksklusif pengeluar kereta sukar untuk digunakan. Majoriti pemandu hanya menggunakan sistem GPS yang dipasang dalam kereta secara purata selama 2 minggu - sebelum beralih kepada telefon pintar.

Melainkan sistem GPS siap terpasang itu adalah sesuatu yang dijual serta telah dikenakan kosnya dalam harga kereta. BMW juga sama, mewujudkan pakej pengemaskinian peta GPS secara muat turun daripada portal mereka dengan harga langganan RM269 untuk akses setahun.

Adakah ini hala tuju industri automotif?

youtube influencer beli bmw usia muda

Industri automotif negara kita secara majoritinya masih terkebelakang berbanding pasaran negara maju lain, di mana apa yang kami senaraikan di atas adalah satu praktis normal. 

Namun melihat pembangunan kereta elektrik dan kaedah pemasaran yang sedang diusahakan pengeluar kereta, kami andaikan pakej-pakej langganan sebegini adalah taktik jualan yang bakal diamalkan juga satu hari nanti - oleh pengeluar kereta jenama tempatan seperti Proton dan Perodua. 

Sukar untuk meramal berapa lama lagi sebelum pasaran kereta tempatan untuk orang kebanyakan mula beralih kepada model perniagaan sama, di mana fungsi-fungsi kereta yang sudah siap terpasang - hanya boleh diakses dan diaktifkan dengan bayaran bulanan atau tahunan. 

Petunjuk paling jelas bagi kita untuk bersedia, adalah bila jualan kenderaan elektrik di negara kita sudah mengatasi jualan kenderaan berasaskan bahan bakar petrol dan diesel. Negara-negara Eropah mensasarkan 2035 sebagai tahun di mana semua kenderaan berasaskan minyak ditamatkan jualannya.

Kita mungkin akan menunggu lebih lama, tetapi persoalannya di sini - sekiranya semua pengeluar beralih kepada sistem langganan seperti BMW, di mana pula penjimatannya dalam aspek perbelanjaan kewangan pelanggan selepas kita beralih daripada petrol/diesel kepada elektrik sepenuhnya?

Apa kelebihannya kita menggunakan kereta elektrik dan berhenti membeli bahan bakar, sekiranya pengeluar mempunyai hak untuk menyekat akses kita kepada fungsi kereta milik kita - hanya disebabkan kita culas membayar yuran kita?




Hakcipta iluminasi.com (2017)