Salah satu kepercayaan yang tersebar berkenaan politik tanah air kita, adalah tanggapan ramai pihak yang menganggap pemilik gelaran 'Tun' kebal daripada sebarang dakwaan di mahkamah.

Perkara ini sebenarnya tidak benar. Individu bergelar Tun tidaklah mempunyai imuniti dalam semua situasi. Sekiranya dia melakukan kesalahan jalan raya, dia masih boleh disaman. Sekiranya dia melakukan kesalahan berat, jenayah itu tetap akan dibicarakan dan jika bersalah, dia akan dihumban ke dalam penjara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jom kita pelajari serba sedikit tentang beberapa persoalan berkaitan gelaran 'Tun' ini.

Penganugerahan gelaran Tun

abdullah badawi terima gelaran

Dalam sistem adat istiadat negara kita, gelaran 'Tun' hanya boleh diperolehi dengan dua cara dan kedua-duanya tidak dibuka melalui sistem pencalonan, tetapi melalui pemilihan oleh panel yang diketuai Yang Dipertuan Agong sendiri.

Gelaran 'Tun' juga mempunyai kapasiti penerima yang terhad dengan satu-satu masa, hanya boleh ada 25 orang penerima anugerah ini di negara kita.

Penerima anugerah 'Tun' boleh menerima anugerah tertinggi negara ini dengan dua cara - sama ada menjadi penerima kepada anugerah Seri Maharaja Mangku Negara atau anugerah Seri Setia Mahkota, kedua-duanya membawa gelaran yang sama. Sekiranya penerima itu lelaki dan dia mempunyai isteri, isterinya secara automatik akan mendapat gelaran 'Toh Puan.'

Dengan menggunakan Perdana Menteri ke 7 kita sebagai contoh; gelaran yang digunakan beliau ketika ini adalah Tun Mahathir Mohamad berikutan penerimaan anugerah Seri Maharaja Mangku Negara. Bagaimanapun, isteri beliau turut sama menerima anugerah Seri Setia Mahkota membolehkan Dr. Siti Hasmah Mohammad Ali turut sama memegang gelaran Tun, bukan Toh Puan.

Setiap penerima anugerah akan menerima Kalung Darjah, Lencana Darjah dan Selepang Darjah yang akan dipakai pada setiap majlis adat istiadat yang disertai.

Adakah 'Tun' menerima elaun khas?

ftydp agong ketawa

Hahaha. Semua pemegang gelaran Tun tidak menerima elaun. Dalam rekod, hanya beberapa gelaran saja yang datang dengan elaun khas.

Penerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa menerima elaun RM2000 sebulan, anugerah Panglima Gagah Berani menerima elaun RM1500 sebulan, anugerah Jasa Perkasa Persekutuan dan Pingat Tentera Udara menerima elaun RM1000 sebulan.

Sekiranya anda baca syarat-syarat penerimaan anugerah yang datang dengan elaun ini, kesemuanya melibatkan individu-individu yang telah pun membuktikan keberanian luar biasa dalam mempertahankan negara kita.

Sekiranya penerima anugerah-anugerah ini masih hidup, mereka akan menerima elaun bulanan mengikut kategori anugerah mereka. Bagaimanapun, dalam keadaan individu itu menerima anugerah selepas berlaku kematian, waris keluarga penerima itu akan menerima bayaran elaun kenangan sekaligus bergantung kepada anugerah.

Bolehkah individu bergelar Tun didakwa di mahkamah?

tun ling ling liong sik

Boleh. Ini dapat dibuktikan dengan kes melibatkan bekas presiden parti MCA, Tun Ling Liong Sik yang dihadapkan ke muka keadilan untuk didakwa dalam skandal pembangunan Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang atau PKFZ.

Dalam dakwaan melibatkan tiga tuduhan ke atas beliau, pada penghujung perbicaraan, Tun Ling Liong Sik dibuktikan tidak bersalah terhadap tuduhan berlakunya penyelewengan semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pengangkutan.

Sistem penganugerahan di negara kita tidak menghalang mana-mana pemegang anugerah atau gelaran didakwa di mahkamah, tak kiralah dia seorang Tan Sri, Datuk, Dato atau Toh Puan sekalipun jadi kami harapkan salah faham ini boleh terjawab kini.

Benarkah 'Tun' anugerah tertinggi?

kanang anak langkau

Satu lagi salah faham yang kerap berlaku berkenaan anugerah kebesaran di negara kita adalah kita menganggap anugerah yang membawa gelaran Tun merupakan gelaran tertinggi yang dapat dicapai oleh seseorang rakyat biasa di negara kita. Ini tidak benar.

Dalam sistem anugerah di negara kita yang boleh dibahagikan kepada dua - satu untuk golongan kerabat dan satu lagi untuk penganugerahan pada rakyat biasa, anugerah Seri Maharaja Mangku Negara dan Seri Setia Mahkota berada dalam kedudukan ke empat dan kelima.

Apakah anugerah tertinggi di negara kita sebenarnya?

Anugerah tertinggi dalam sistem istiadat negara kita adalah anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang boleh dianugerahkan kepada rakyat biasa serta tidak membawa sebarang gelaran. Bagaimanapun, penerima anugerah ini dapat elaun RM2000. Ok lah tu kan?

Antara penerima paling terkenal anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa adalah pahlawan komuniti Dayak yang namanya cukup terkenal iaitu Kanang anak Langkau dan juga pegawai bank Bank Bumiputera Finance, Abdul Jalil Ibrahim yang mati dibunuh di Hong Kong, semasa melakukan penyiasatan terhadap skandal melibatkan bank tersebut.

Rujukan

Istiadat Negara

Istana Negara

Susunan keutamaan DKBPP




Hakcipta iluminasi.com (2017)