Kami diajukan banyak persoalan berkenaan lencana 'Top Fan' yang kini sudah berjaya dipaparkan di laman Facebook kami. Ada yang meminta kami menganugerahkan dia lencana itu, ada yang bertanya bagaimana nak dapatkan dan ada juga yang menyuarakan rasa tidak puas hati kenapa ada kawan dia dapat - dia tak dapat!

Jangan risau. Kami harap artikel yang kami tuliskan ini dapat menjawab serba sedikit persoalan anda berkenaan fungsi terbaru Facebook yang menjadi trend semasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Apa itu lencana 'Top Fan'?

yoda meme top fan facebook

Lencana 'Top Fan' adalah satu fungsi Facebook yang dicipta sebagai penghargaan kepada pengguna Facebook yang aktif berinterasi dalam ruangan maya yang disediakan.

2. Bagaimana nak dapatkan lencana 'Top Fan'?

oprah meme top fan

Berinteraksi! Interaksi boleh datang dalam pelbagai kaedah seperti menonton video yang dikongsikan laman kegemaran anda, menekan butang 'Like' pada perkongsian, meninggalkan komen pada ruangan komen dan juga berkongsikan pautan laman itu melalui akaun peribadi anda.

3. Mana lencana 'Top Fan' saya? Dah berbuih saya komen hari-hari!

notifikasi pemberitahuan top fan

Harap maaf. Kami tidak mempunyai kemampuan untuk memutuskan siapakah yang akan dianugerahkan lencana itu. Semuanya bergantung dengan algoritma Facebook yang akan menentukan sendiri sama ada anda layak atau tidak bergelar Top Fan.

Sekiranya anda layak bergelar 'Top Fan' bagi laman kegemaran anda, anda akan diberikan notifikasi oleh Facebook yang akan membolehkan anda memilih, sama ada mahu memaparkan atau menyembunyikan lencana itu pada nama profil anda.

Pada kami, elok paparkanlah supaya kami tahu siapa pembaca setia kami.

4. Apa faedah lain mendapat lencana Top Fan?

top fan facebook

Wajah anda yang kacak atau lawa akan dipaparkan pada bahagian atas laman kegemaran anda. Kami juga kadangkala akan menyemak senarai Top Fan kami, manalah tahu ada yang kami rasakan berkenan di hati - jadi senarai itu memudahkan kami mencari calon suami atau isteri. Kalau anda mahulah.

5. Kenapa tak semua laman ada lencana 'Top Fan'?

Kriteria untuk mempunyai Top Fan bagi setiap laman agak ketat. Kami perlu menggunakan antaramuka khas tertentu yang telah ditetapkan oleh Facebook. Selain itu mana-mana laman yang mahu mempunyai fungsi Top Fan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 orang pembaca setia.

6. Adakah lencana Top Fan boleh diadakan pada akaun peribadi saya?

fahamkan fungsi top fan

Tidak. Lencana ini khas untuk laman atau 'pages' Facebook sahaja. bukan untuk paparan profil. Lagipun, agak menakutkan juga sekiranya Top Fan diaktifkan pada akaun peribadi.

Anda nak tahu ke siapa yang suka sangat 'stalk' akaun anda? Dah lah anda tahu, orang lain pun tahu. Cuba bayangkan gosip yang boleh muncul disebabkan situasi itu?

7. Kenapa lencana Top Fan saya hilang? Admin buang ke?

meme top fan facebook

Kami ingin menegaskan, setakat ini kami di Iluminasi belum pernah membuang mana-mana lencana Top Fan. Apa yang perlu anda fahami, lencana ini akan dikemas kini setiap minggu (kami tak pasti hari apa) dan tidak semestinya akaun yang sudah bergelar Top Fan, akan kekal Top Fan minggu berikutnya.

Anda boleh kehilangan lencana tersebut sekiranya kadar interaksi anda jatuh, digantikan oleh akaun lain yang meningkatkan kadar interaksi mereka bagi minggu sebelum itu. Apa yang pembaca kami boleh buat, adalah teruskan berinteraksi seperti biasa kerana ketahuilah, kami sebenarnya sangat menghargai maklumbalas anda, baik atau buruk.

8. Soalan terakhir, admin boleh buang lencana Top Fan ke?

facebook top fan 90635

Ye. Boleh. Kami boleh membuang lencana tersebut daripada mana-mana akaun yang kami tak gemari - khasnya mana-mana akaun milik individu yang kami rasakan lebih kacak daripada kami.

Kami juga boleh mematikan fungsi Top Fan sekiranya kami mahu, menyebabkan segala usaha anda berinteraksi selama ini menjadi sia-sia belaka. Hahahaha!

Dalam nada serius, anda jangan risau - kami tak akan buang lencana anda atau matikan fungsi ini buat masa sekarang, kerana kami nampak faedahnya pada kami. Jadi teruskanlah berinteraksi bersama kami pembaca Iluminasi.

Cuma satu saja kami nak pesan - kalau lencana Top Fan anda hilang, itu bukan kerja kami. Salahkan Mark Zuckerberg kerana membina sistem yang diselubungi misteri. Harap penjelasan yang ditulis dalam bentuk ringan ini dapat menjelaskan kepada anda apa itu lencana Top Fan Facebook.




Hakcipta iluminasi.com (2017)