Kes-kes berkaitan pengawal keselamatan seringkali dilaporkan berlaku di negara kita, apatah lagi selepas kemudahan telefon pintar membolehkan rakaman dilakukan.
Sama ada mereka menjadi pemangsa, mangsa atau sebenarnya individu yang berada di tengah-tengah situasi kurang enak, kerjaya sebagai seorang pengawal sekuriti atau security guard ini senantiasa berdepan realiti sukar dek perlu berdepan dengan orang awam tanpa sempadan.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa sebenarnya bidang kuasa seorang pengawal keselamatan jika mereka perlu melibatkan diri dalam situasi kurang menyenangkan?
Pengawal hanyalah orang biasa
Secara keseluruhannya, seorang pengawal keselamatan mempunyai kedudukan yang sama saja dengan kita 'orang biasa', tertakluk kepada semua perkara di bawah Kanun Keseksaan.
Ini bermakna secara asasnya seorang pengawal keselamatan tidaklah boleh disamakan dengan seorang polis, tentera ataupun petugas keselamatan negara yang lain mahupun seorang anggota pasukan sukarelawan Malaysia atau RELA.
Dari aspek undang-undang, tindakan seorang pengawal keselamatan tertakluk kepada Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah dalam situasi di mana dia perlu menahan orang lain, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.
Bagi sesetengah pengawal keselamatan yang terlatih dan mempunyai lesen mengendalikan senjata api, mereka juga tertakluk kepada kesemua Akta Senjatapi negara kita.
Siapa boleh jadi pengawal keselamatan?
Syarat utama untuk seseorang menjadi pengawal keselamatan mestilah seorang warganegara Malaysia yang tamat latihan asas pengawal keselamatan bersama Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, mempunyai perwatakan yang baik dan telah lulus proses tapisan keselamatan yang dikendalikan Polis di-Raja Malaysia.
Mereka haruslah berusia di bawah 60 tahun, melepasi berat dan tinggi minima, mempunyai kesihatan yang baik serta lulus ujian air kencing bagi menguji bahan terlarang. Kesemua ini memerlukan pengesahan dari pihak perubatan bertauliah.
Satu pengecualian khas diberikan kepada warga Nepal yang berstatus pesara tentera di negara mereka. Kumpulan individu dari kategori ini diberikan kebenaran untuk dilantik sebagai pengawal keselamatan di negara kita dan lantikan mereka turut mengenakan syarat yang sama seperti disenaraikan.
Bagi pengawal keselamatan biasa, mereka boleh dibekalkan dengan senjata pertahanan jenis T-Baton yang diperbuat daripada polikarbonat atau kayu cota yang diperbuat dari kayu.
Untuk pengawal keselamatan bersenjatapi, syarikat yang melantik mereka perlu menyediakan senjata api untuk kegunaan pengawal. Semua pengawal bersenjatapi perlu menjalani latihan menembak minima 2 kali dalam setahun selain sudah direkodkan mahir mengendalikan, menyelia dan menyimpan senjata api.
Tidak ada peralatan gari dibenarkan untuk kegunaan mana-mana pengawal keselamatan.
Apa tindakan yang dibenarkan bagi seorang Abang Guard?
Bagi orang ramai yang biasa perlu memasuki kawasan kediaman berpagar dan bersekuriti, anda pasti pernah diminta menyerahkan dokumen pengenalan diri untuk simpanan di pondok sekuriti kan?
Tindakan itu sebenarnya merupakan satu kesalahan undang-undang. Mana-mana pengawal keselamatan sebenarnya tidak mempunyai hak untuk meminta dan menyimpan dokumen pengenalan diri kita.
Seorang pengawal keselamatan juga secara amnya dibenarkan bertindak menyerang suspek atau mempertahankan diri sendiri dengan kaedah fizikal sekiranya perlu, apabila premis yang dijaga atau individu yang duduk di dalamnya berdepan masalah.
Bagaimanapun, tahap fizikal yang dibenarkan haruslah hanya untuk menamatkan konflik dengan kadar segera dan bukanlah sehingga sengaja mengakibatkan kecederaan parah atau lebih teruk kematian.
Mereka juga dibenarkan untuk menangkap dan mengikat suspek bagi memastikan konflik tidak berlanjutan, seterusnya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Apakah kuasa terhebat seorang pengawal sekuriti?
Dari aspek bidang kuasa berkaitan sekatan di kawasan-kawasan yang dianggap tertutup atau aksesnya terhad, seseorang pengawal keselamatan mempunyai lebih banyak kuasa yang sah di sisi undang-undang.
Mereka dibenarkan untuk menangkap dan menahan mana-mana individu yang didapati menceroboh masuk kawasan yang dikategorikan kawasan larangan.
Bagi kes di mana seseorang penduduk enggan melunaskan bayaran bulanan penyelenggaran khasnya di kawasan kediaman berstatus strata seperti apartment dan kondominium - seorang pengawal keselamatan boleh untuk menghalang kenderaan penghuni yang culas masuk ke dalam kompaun kediamannya.
Jadi sekiranya selama ini anda mengatakan anda menganggap pengawal sekuriti yang menghalang kenderaan pemilik rumah masuk sebagai satu kesalahan kerana 'pemilik rumah tetap pemilik rumah', anda tersalah tanggapan.
Pengawal sekuriti dibenarkan untuk menghalau kenderaan anda keluar. Sekiranya seorang pemilik enggan dan cuba merempuh penghadang, pengawal sekuriti dibenarkan untuk bertindak selagi mana dia mampu asalkan dia tidak membahayakan nyawa sendiri.
Dalam situasi agresif sedemikian rupa, adalah lebih baik pengawal keselamatan menghubungi pihak polis - kerana memang ada jenis manusia sedemikian rupa.
Rujukan
SYARAT-SYARAT TAMBAHAN LESEN SYARIKAT KAWALAN KESELAMATAN PERSENDIRIAN