Oleh pada 01 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Utusan Online / Media Sosial

Setelah menghadapi banyak halangan, bas amfibia (Amphicoach) yang ditempah kerajaan Terengganu telah sampai di Malaysia dan sedang ditempatkan di Pelabuhan Klang.

Hal tersebut diakui Tun Ahmad Tun Abd Razak selaku Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu sewaktu dihubungi semalam.

Beliau memberitahu, bas 'dua alam' berkenaan sampai di Pelabuhan Klang beberapa hari lepas dan bakal dihantar kepada wakil kerajaan Terengganu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dalam tempoh sehari lagi.

"Buat masa ini bas berkenaan belum boleh dibawa keluar dari Pelabuhan Klang kerana perlu menjalani beberapa prosedur antaranya pemeriksaan, pendaftaran dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan penyerahan dokumen.

"Belum dapat dipastikan tarikh sebenar bas amfibia ini dapat tiba di bumi Terengganu, tapi mengikut perancangan kita, sebelum Ekspo #TerengganuMolekDoh 2018 pada 25 Februari depan," jelasnya.

Bas jenis amphicoach tersebut dibeli oleh kerajaan negeri dengan kos RM3 juta pada tahun 2014. Terdahulu, ia dikatakan berkemungkinan sampai pada Mei 2015 demi menggiatkan industri pelancongan serta untuk digunakan semasa musim banjir.

Amphicoach didakwa lambat sampai kerana kerajaan negeri memutuskan ingin ia diberi dengan mematuhi kesemua spesifikasi ditentukan, serta masalah transit dan persijilan yang mengambil tempoh panjang.

Akhbar dahulunya turut mendedahkan kerajaan negeri menetapkan syarat terhadap pembekal Amphicoach iaitu sama ada menyerahkan kenderaan itu ke Terengganu selambat-lambatnya akhir November 2017 atau mereka akan disaman.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman membuat peringatan tersebut setelah pihak pembekal beberapa kali gagal mengikuti perjanjian yang ditetapkan.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)