Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Kredit foto: mStar Online (Gambar sekadar hiasan)

 

Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri direman selama 6 hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berkaitan dakwaan menerima wang suapan berjumlah RM19 juta untuk menutup kes siasatan terhadap projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh mengeluarkan perintah reman ke atas suspek iaitu individu lelaki berumur 37 tahun, bermula Selasa lalu hingga 5 Mac, bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu, lelaki itu sampai di mahkamah sambil memakai baju lokap SPRM waran jingga dalam keadaan tangannya bergari.

Pada Isnin lalu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani mengesahkan lelaki berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 3.48 petang.

Suspek ditahan oleh SPRM kerana disyaki menerima wang berkenaan daripada sebuah syarikat berhubung projek terowong yang berjumlah RM6.3 billion itu, setelah beliau dikatakan mampu ‘menyelesaikan’ siasatan yang dilakukan oleh SPRM.

Sumber memberitahu, pihak syarikat tersebut membayar wang bernilai RM19 juta itu secara berperingkat sekitar bulan Julai dan Ogos tahun lepas.

Sumber berita: Kosmo Online & MalaysiaGazette




Hakcipta iluminasi.com (2017)