Oleh pada 05 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Bernama

Pihak polis Johor berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah kaedah baru iaitu dengan paket serbuk minuman. Seramai 5 orang ditangkap menerusi serbuan di sebuah kediaman di Jalan Nusa Bestari, Skudai Jumaat lepas.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, menerusi serbuan pukul 12.10 tengah malam, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah lebih 10.39 kilogram berjumlah RM1.43 juta.

Mereka yang ditangkap adalah 3 lelaki tempatan, serta wanita tempatan dan Vietnam berumur antara 22 hingga 50 tahun.

"Pihak kita sudah melakukan intipan dan pemantauan terhadap aktiviti sindiket terbabit sejak empat bulan lalu dan kita percaya mereka menggunakan taktik dengan membungkus dadah sintetik menggunakan pakej minuman berperisa seperti teh berperisa mangga.

"Dalam serbuan itu, kita merampas serbuk ecstasi seberat 10.21kg; ketamin (5.62 gram (g)),syabu (140.01g),eramin 5 (130 biji) dan ecstacy (empat biji)," ujarnya.

Beliau memberitahu begitu semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor semalam.

Di samping itu, pihak polis juga merampas pelbagai jenis peralatan yang dipakai bagi proses membungkus dadah, termasuk alat pemampat dan alat penimbang.

Menerusi serbuan itu, pihak polis turut merampas 2 buah kereta model Audi TT dan Proton Saga.

Menurut beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. 

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)