Hampir setiap hospital di seluruh dunia, pesakit onkologi (kajian dan rawatan tumor) akan dirawat menggunakan protokol yang sama. Sebenarnya, kanser telah menjangkiti manusia sejak dahulu lagi dan bukti terawal ditemukan pada daun papirus dari tahun 1600 SM semasa zaman Mesir kuno.

mangsa perang kimia

Tertulis pada daun itu mengenai seorang lelaki yang mempunyai "benjolan tumor di dadanya" dan "tiada sebarang rawatan" mampu mengubatinya. Kini, terdapat kaedah yang mampu merawat dan mengawal kanser iaitu kemoterapi. Ironiknya, penawar kanser moden pertama ini terhasil daripada senjata Perang Dunia I yang membinasakan.

Senjata yang dimaksudkan adalah sulfur mustard atau lebih dikenali sebagai gas mustard. Bis-(2-kloroetil) sulfida buat kali pertamanya disentisis oleh Frederick Guthrie di Institut Fizik London pada tahun 1860. Guthrie mendokumentasikan kesan toksik gas mustard dengan menggunakan campuran etilena dan sulfur diklorida ke atas kulitnya sendiri. 

Gas mustard kemudian dihasilkan secara besar-besaran untuk syarikat Jerman iaitu Bayer AG pada awal abad ke-20. Malangnya, dunia di ambang peperangan dan Jerman memulakan "Perang Kimia" pada 1917 menggunakan gas mustard.

gas mustard senjata jadi ubat kanser sulfur

Serangan pertama menggunakan senjata ini adalah ketika menentang tentera Kanada. Setahun kemudian, British menggunakan agen yang sama untuk menghancurkan Barisan Hindenburg yang "kebal". Walaupun Perang Dunia I tamat pada 1918, senjata ini terus digunakan oleh banyak kuasa dunia selama 25 tahun seterusnya.

Sebatian gas mustard sering diubah bagi meningkatkan keberkesanannya dan menjadi penyebab kematian lebih 100,000 nyawa. Sebenarnya, gas mustard ini tidaklah mencederakan mangsa seperti letupan bom biasa. Kesan mungkin hanya kelihatan selepas tempoh dua hingga 24 jam selepas terdedah kepada racun ini.

Sulfur mustard adalah sejenis bahan pelecur. Ia memberi kesan kepada membran mukus badan. Kulit dan mata adalah antara organ pertama yang akan terjejas dan ketoksikan agen ini bergantung kepada dos. Walaupun pada kepekatan rendah, ia mampu menyebabkan gejala seperti kerengsaan kulit dan konjunktivitis (radang pada mata).

Pada kepekatan tinggi pula, gas mustard boleh menyebabkan akibat lebih teruk seperti pengulseran kulit dan buta. Wap yang dihidu juga boleh merosakkan lapisan membran mukus saluran pernafasan yang akan mengakibatkan paru-paru berdarah.

bom mustard

Sulfur mustard juga menyebabkan kesan susulan yang kronik. Selepas terdedah, mangsa yang masih hidup akan mengalami loya, muntah, alopesia (keguguran rambut atau bulu) dan mudah terdedah pada jangkitan lain.

Racun ini juga bertindak sebagai agen alkil dimana ia mencegah replikasi urutan DNA yang normal. Organ yang paling terjejas adalah saluran gastrousus (pencernaan) dan sumsum tulang kerana aktiviti mitosis yang tinggi pada bahagian itu.

Walaupun mengerikan, gas mustard sebenarnya memainkan peranan penting dalam penciptaan agen kemoterapi yang mampu mengubati barah. Namun, bagaimana senjata pembunuh ini boleh menjadi ubat yang berkesan?

Selepas peperangan demi peperangan, banyak akta telah diwujudkan termasuklah Protokol Geneva 1929 yang melarang penggunaan senjata kimia. Ketika akta itu diperkenalkan, banyak negara telahpun menghasilkan stok agen kimia dalam kuantiti yang besar.

Antaranya ialah stok 100 tan gas mustard terbengkalai yang disimpan dalam kapal S.S John Harvey milik Amerika Syarikat di Pelabuhan Bari, Itali. Pada Disember 1943, serangan udara Nazi telah menghancurkan kapal John Harvey namun jumlah korban tidaklah begitu tinggi.

serangan perlabuhan bari

Serangan perlabuhan Bari, Itali

Berminggu-minggu selepas itu, mangsa yang terselamat akibat serangan itu mula menunjukkan tanda-tanda kesan gas mustard. Ini mendorong Amerika Syarikat untuk mengangkat larangan Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan Saintifik untuk mengkaji semula gas mustard pada 1946.

Banyak eksperimen yang dilakukan ke atas manusia dan tikus yang diklon selepas itu. Percubaan klinikal pertama telah dilakukan oleh Louis Goodman dan Alfred Gilman melibatkan penggunaan nitrogen mustard terhadap pesakit limfoma (tumor pada nodus limfa) yang kronik.

Hanya selepas empat hari, jisim tumor pesakit mengecut dengan ketara. Malangnya, perubatan itu terpaksa dihentikan kerana ia menyebabkan neutropenia (pengurangan sel darah putih). Ini mengakibatkan tumor kembali semula secara tiba-tiba.

Percubaan kali kedua yang lebih pendek menunjukkan hasil pengurangan tumor yang lebih sedikit berbanding percubaan pertama manakala percubaan ketiga tidak memberi apa-apa kesan.

rawatan kemoterapi

Keajaiban sementara dan kegagalan nitrogen mustard merawat kanser menjadi anjakan paradigma kepada ahli onkologi pada hari ini. Agen kemoterapi memberi kesan toksik kepada pesakit sementara sel-sel tumor pula mengembangkan daya tahan terhadap ubat yang digunakan. Inilah sebab mengapa protokol rumit digunakan untuk merawat pesakit kanser.

Goodman dan Gilman telah menulis buku farmakologi terkenal The Pharmacological Basis of Therapeutics di mana mereka menggunakan nitrogen mustard dalam kajian mereka. Sebatian ini yang juga dikenali sebagai mechlorethamine adalah agen alkil kelas pertama dan masih digunakan dalam rawatan limfoma kulit. Agen alkil lain seperti cyclophosphamide, ifosfamide dan cisplatin digunakan dalam protokol merawat kanser di seluruh dunia.

Kali terakhir gas mustard digunakan adalah ketika perang antara Iran dan Iraq dan tidak mustahil ia akan muncul di masa hadapan. Mujurlah senjata kejam ini dapat ditukar menjadi ubat yang menyembuhkan.

Rujukan:

1. Perubatan dari gas mustard

2. Senjata perang yang mampu mengubati kanser

3. Senjata pembunuh menyelamatkan nyawa



Hakcipta iluminasi.com (2017)