Di atas muka Bumi ini, terdapat terlalu banyak haiwan-haiwan aneh dan adalah tidak mengejutkan untuk mengetahui bahawa sebahagian besar daripadanya ditemui di dalam air memandangkan jumlah keluasan laut yang tidak terhingga.

Dan jika anda pernah berhadapan dengan haiwan ini di laut atau di pantai, pasti menyedari bahawa haiwan ini tersangat unik. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun obor-obor dikenali sebagai jellyfish dalam bahasa Inggeris, namun sebenarnya ia bukanlah sejenis ikan. Haiwan ini adalah jenis plankton dan saudara jauh bagi karang dan anemoni laut.

Yang paling penting adalah tubuh badan haiwan ini terdiri daripada air dan langsung tidak memiliki tulang. Malah, obor-obor terdiri daripada kira-kira 95% air!

obor obor di daratan

Untuk membuatkan anda lebih jelas, bayangkan seekor obor-obor dibawa air ke tepi pantai. Selepas beberapa ketika, haiwan ini akan lenyap begitu sahaja disebabkan oleh penyejatan.

Ciri-ciri menarik yang lain pada haiwan ini adalah sesungutnya, namun tidak semua spesies memilikinya. Sesungut-sesungut ini mempunyai dua fungsi iaitu digunakan untuk menangkap makanan dan juga alat mempertahankan diri.

Setiap sesungut diliputi dengan sel-sel khas yang dipanggil cnidoblasts, yang mampu memberikan sengatan yang sangat menyakitkan dan berbahaya.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh obor-obor ketika ia menyengat mangsa adalah menyuntik racunnya ke dalam badan anda.

bagaimana obor obor boleh hidup tanpa jantung dan otak 2

Racun ini yang merupakan neurotoksin memberikan kesan kepada otak dan digunakan untuk melumpuhkan atau membunuh mangsa namun ia tidak membawa maut bagi manusia.

Sekiranya anda disengat, anda akan mengalami satu set gejala yang termasuk rasa sakit, ruam kulit, demam dan kekejangan otot.

Cara terbaik untuk menangani sengatan ini adalah dengan menyapu kawasan yang terjejas dengan alkohol, cuka atau ammonia.

Dari segi pemakanan, obor-obor kecil memakan ikan kecil dan zooplankton manakala obor-obor yang lebih besar memakan  krustasea (ketam, udang dll) dan juga haiwan air yang lebih besar.

Bagaimana obor-obor hidup tanpa otak?

anatomi obor obor

Aspek yang paling menarik pada haiwan aneh ini adalah bahawa selain tidak mempunyai tiada tulang, mata atau insang, obor-obor juga tidak memiliki otak!.

Ia juga tidak mempunyai hati. Dengan itu, bagaimana haiwan ini boleh meneruskan hidup apatah lagi menjalani kehidupan seperti biasa seperti hidupan lain?  

Walaupun obor-obor tidak mempunyai otak atau sistem saraf pusat, haiwan ini mempunyai satu set saraf yang sangat asas di pangkal sesungutnya.

Saraf ini dapat mengesan sentuhan, suhu, kemasinan dan sebagainya, serta obor-obor bertindak balas dengan rangsangan-rangsangan ini.

Oleh kerana obor-obor tidak mempunyai otak, ia hidup secara pasif yang mana bergantung sepenuhnya pada refleks automatik mereka.

Ia mengesan cahaya melalui sel-sel sensitif cahaya. dan bergerak dengan sendirinya.

bagaimana obor obor boleh hidup tanpa jantung dan otak 3

Sama seperti ini tetapi dengan menggunakan sel-sel rasa yang berbeza, obor-obor juga boleh mengesan bahan kimia di dalam air dan mengekalkan keseimbangan badan.

Oleh kerana ia tidak mempunyai otak, pergerakan haiwan ini juga terhad dan sangat bergantung kepada arus laut untuk hanyut, supaya dapat berpindah habitat.

Menangkap mangsa juga bergantung kepada peluang kerana obor-obor tidak memburu makanan secara aktif, sebaliknya hanya menunggu mangsa terkena sesungutnya.

Bagaimana obor-obor hidup tanpa jantung?

bagaimana obor obor boleh hidup tanpa jantung dan otak 4

Pertama sekali kita harus memahami dengan tepat apa sebenarnya fungsi jantung.

Secara amnya, jantung bertanggungjawab untuk mengepam darah ke seluruh tubuh supaya sel-sel haiwan dapat mendapatkan oksigen dan nutrien dari darah dan mengeluarkan sisa larut, seperti karbon dioksida.

Walau bagaimanapun, apa yang istimewa tentang anatomi obor-obor adalah ketebalan lapisan luar badan haiwan ini yang dikenali sebagai Ectoderm.

Ectoderm ini adalah sangat nipis dan ia membolehkan oksigen meresap ke dalam badan obor-obor dengan mudah. 

Obor-obor juga mempunyai sistem pencernaan yang sangat ringkas, di mana nutrien mudah meresap ke seluruh badan.

Kedua-dua proses ini iaitu penyebaran oksigen dan nutrien tidak perlu pam yang kuat seperti jantung baginya untuk meresap ke seluruh badan organisma ini, disebabkan oleh kesederhanaan anatomi obor-obor.

Rujukan:

1. National Ocean Service

2. Ocean Portal

3. Science

4. Marine Education Society of Australasia




Hakcipta iluminasi.com (2017)