Setiap hari dalam rutin harian kita, kita sebenarnya banyak dibantu oleh teknologi yang boleh berlaku tanpa kita sedari.

Teknologi-teknologi yang kini ada telah melalui proses lama berdekad lamanya, menjalani evolusi dan penambahbaikan yang memperkembangkan lagi kemampuannya serta mempermudahkan lagi kita menggunakannya.

Kita mungkin acuh tak acuh sahaja tentang kapasiti sebenar di sebalik teknologi yang ada di sekeliling kita, tetapi anda sedar tak bagaimana lima teknologi yang kami senaraikan di bawah telah mengubah hidup anda?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Bateri berasaskan Lithium

bateri lithium teknologi penting

Jika kita lihat ke belakang 2 ke 3 dekad, bateri merupakan satu barang mewah yang mampu dibeli - tetapi tak ramai sanggup membelinya, disebabkan oleh sifatnya yang pakai buang.

Konsol permainan video mudah alih, lampu suluh, kereta permainan, radio mudah alih, kamera dan bermacam lagi peranti semuanya memerlukan bateri jenis AA, AAA atau D yang perlu diganti selepas tiba masanya. Nak beli yang boleh cas semula agak bangsawan harganya kalau setakat nak buat bateri jam dinding.

Dengan pengenalan bateri berasaskan lithium boleh cas semula sama ada jenis lithium-ion atau lithium-polimer, majoriti antara kita didedahkan kepada teknologi ini melalui telefon bimbit; masalah bateri pakai buang kita dapat diminimakan.

Lebih penting, saiznya juga jauh lebih kecil dan nipis. Satu ketik dulu tak boleh kita nak bayangkan pembersih vakum tanpa wayar hanya guna bateri. Sekarang dengan teknologi bateri lithium-ion, vakum pun power, bateri tahan dan badan vakum pun dah jadi sangat ringan.

2. Bluetooth

bluetooth elektronik sambungan tanpa wayar

Bagi mereka yang gemar berlari, bluetooth memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu hobi mereka dengan pengenalan sistem audio telinga tanpa wayar berasaskan bluetooth.

Tak lama dahulu juga, ramai eksekutif juga sering kelihatan dengan alat sambungan audio bluetooth di telinga setiap masa, berborak seorang diri berbincang tentang projek bernilai juta-juta. Kelakar pun ada bila kita melihatnya.

Kini teknologi bluetooth sudah dapat dilihat di merata-rata, sama ada melalui papan kekunci dan tetikus anda, alat kawal konsol permainan video, alat audio tanpa wayar, sambungan telefon pintar ke radio kereta dan bermacam lagi 1001 cara gunanya.

Dalam masa terdesak, nak buat hantar fail dari satu telefon pintar ke telefon lain pun boleh juga.

3. WiFi

teknologi harian simple yang mengubah hidup wifi

Untuk generasi anak muda tahun 90-an dan awal 2000-an, pengalaman mengadakan parti LAN beramai-ramai bermain permainan video adalah satu pengalaman yang best tetapi merimaskan.

Disebabkan keperluan menggunakan wayar untuk menyambungkan semua komputer ke hab kawalan, bilik atau ruangan jadi serabut dengan kabel ethernet. Zaman sekarang dengan adanya WiFi, masalah serabut wayar ni sudah jarang sekali kelihatan.

WiFi atau 'wireless fidelity' (satu nama yang agak aneh serta bernada 90-an) kini telah melalui banyak penambahan protokol yang menambah fungsi serta memperbaiki kemampuannya sehingga mempunyai kestabilan kelajuan yang tak kalah dengan wayar.

Kini WiFi sudah mula digunakan bukan saja sebagai peyambung kita kepada internet dan intranet, bahkan mula digunakan sebagai penyambung telefon pintar kepada peranti elektronik lain seperti CCTV. Kebanyakan peranti pintar dikawal menggunakan hubungan WiFi, yang membolehkan pelbagai peranti diselia hanya dari satu kawalan atau akaun.

4. RFID

teknologi harian simple yang wifi

Di antara banyak teknologi yang paling underrated, RFID atau sistem identifikasi berasaskan frekuensi radio merupakan antara yang terpenting serta berkemungkinan besar kita guna setiap hari.

Alat kawalan jauh televisyen anda besar kemungkinan masih berasaskan RFID walaupun dah ada sistem kawalan jauh berasaskan bluetooth diperkenalkan. Kad Touch n Go dan kad debit anda juga adalah peranti RFID.

Satu-satunya kelemahan sistem ini adalah daripada aspek pengesanannya di mana isyarat RFID memerlukan pengesan dan isyarat berada dalam kedudukan hampir atau perlu ditujukan ke arah yang betul, seperti alat kawalan jauh.

Bagaimanapun kemajuan dalam sistem RFID telah mula membolehkan pengesanan isyarat dapat dilakukan dengan lebih jelas. Penggunaan tag RFID dalam peranti seperti Apple Tag mampu dikesan kedudukannya daripada jarak jauh, menggunakan satelit.

Walaupun demikian kita tetap dapat melihat kenderaan yang melalui lorong tol RFID di negara kita terpaksa mengundur ke belakang, apabila pengesan gagal mengesan pelekat yang dipasang.

5. Penyambung dan kabel USB

teknologi harian simple usb kabel data

Di antara lima teknologi harian yang kami senaraikan di atas, USB lah kami rasakan teknologi paling mengubah hidup. Tanpa USB, kita besar kemungkinan masih bergelut dengan bermacam jenis pengecas telefon berbeza kepalanya yang menghantui pengguna telefon bimbit 2 dekad dulu.

Perubahan terbesar yang diperkenalkan oleh USB adalah sistem standardnya yang membantu menyeragamkan kepala sambungan majoriti peranti untuk kegunaan pengecasan dan juga pemindahan data.

Walaupun penggunakan soket elektrik berasaskan USB masih lagi belum benar-benar meluas, kini kita sudah ada banyak pilihan soket untuk digunakan sama ada dipasangkan terus ke dinding atau sebagai sambungan.

Paling penting, USB juga mempermudah dan memperkemaskan proses storan data. Cakera keras telah menjadi mudah alih atas bantuan USB, USB stick atau thumbdrive membolehkan kita membawa data kita ke mana-mana.

Variasi peranti dan perkasas berasaskan USB sangat meluas. Pasti ramai tidak mengetahui USB juga boleh digunakan sebagai kunci, sama ada sebagai sebuah kunci digital yang mengawal akses kepada akaun perbankan misalnya dan boleh juga menjadi sebuah kunci rumah yang membuka pintu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)