Apabila berbincang tentang petroleum, pandangan kita jelas tertumpu kepada usaha serta teknologi yang digunakan oleh masyarakat zaman moden dalam mencari gali petroleum.
Kisah James Young dan Edwin Drake, dua individu yang bertanggungjawab membuka telaga minyak pertama di Pennsylvania kerap menjadi sebutan sebagai permulaan hubungan petroleum dengan manusia.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, manusia sebenarnya telah pun lama menggunakan hasil bumi ini sejak sekian lama dalam pelbagai cara, cuma cara penemuannya nyatalah berbeza.
Bitumen sebagai bahan pelekat zaman dahulu
Sebenarnya masyarakat zaman dahulu sudahpun menggunakan bahan petroleum dalam bentuk 'bitumen' atau lebih dikenali sebagai tar. Bitumen adalah hasil bumi yang pekat, berminyak serta berwarna hitam yang terhasil disebabkan proses reputan yang berlaku di dalam tanah.
Rekod menunjukkan bitumen sebenarnya sudah pun digunakan selama lebih 40,000 tahun oleh manusia dalam pelbagai bentuk kegunaan serta dijadikan alat pelinciran atau perlindungan.
Penemuan sebuah lokasi sumber minyak yang pertama di dunia direkodkan ditemui di sebuah kawasan bernama Hit, yang kini terletak di negara Iraq. Sumber yang terletak berdekatan dengan Sungai Euphrates itu mempunyai sebuah lokasi yang mengandungi 'kebocoran minyak' atau 'oil seep,' serupa seperti sebuah mata air namun mengeluarkan cecair hitam yang mudah terbakar serta tidak telus air.
'Oil seep' ini mampu ditemui di merata-rata tempat di seluruh dunia dan dipercayai adalah sumber pertama manusia dalam mengenali bitumen. Menurut beberapa pendapat, orang-orang kuno neanderthal pun menggunakan bitumen sebagai ejen pelekat perkakasan-perkakasan mereka, berikutan penemuan-penemuan peralatan mereka di Gua Cheii, Romania dan Umm El Tlel di Syria.
Kegunaan minyak untuk masyarakat zaman dahulu
Tradisi menjadikan bitumen atau tar ini sebagai ejen pelekat terus ditambah baik dan digunapakai masyarakat generasi berikutnya. Dipercayai semenjak 6000 tahun dahulu, manusia sudah pun menggunakan tar yang disapu di antara batu-bata dalam pembinaan rumah mereka, sama seperti kita menggunakan simen untuk membina dinding.
Bitumen juga digunakan secara meluas sebagai penyalut bagi menghasilkan barangan tidak telus air oleh masyarakat zaman dahulu. Mereka menggunakan tar dalam membina tab mandi, pasu dan bot. Orang-orang Babylon juga dipercayai turut sama menggunakan tar ini bagi menyelaputi kapal yang mereka bina.
Sekitar 1100BC, penyelidik juga menemui bitumen digunakan dalam proses pengawetan mayat oleh masyarakat Mesir lama. Dipercayai mereka menggunakan campuran bitumen dengan lemak, lilin yang dihasilkan oleh lebah dan resin dalam menghasilkan cecair yang mampu melindungi tubuh yang ingin diawetkan.
Majoriti masyarakat zaman dahulu menggunakan teknik serupa dalam memproses bitumen bagi kegunaan mereka. Bitumen atau tar akan dipanaskan sehingga cair dan kemudiannya akan ditambah bahan untuk memekatkan atau mencairkannya, bergantung kepada kegunaan.
Sejenis bahan yang digelarkan 'ochre' yang tergolong dalam kumpulan besi akan ditambah bagi memekatkan lagi bitumen. Bagi mencairkannya pula, bitumen akan ditambahkan dengan resin dan lilin lebah. Aktiviti jualan bahan berasaskan bitumen ini sebenarnya sudah bermula sekian lama, dengan bitumen yang sudah diproses mampu dijual lebih mahal harganya berbanding bitumen dalam keadaan asal.
Jual beli minyak sudah bermula sejak lama dahulu
Aktiviti penjualan bitumen ini sebenarnya sudah bermula sejak era 3600BC hingga 3100BC. Orang-orang Mesopotamia sudah pun mewujudkan koloni-koloni perniagaan bitumen di kawasan bahagian tenggara wilayah mereka. Rekod penyelidikan menunjukkan selain daripada perdagangan kain, batu, tembaga dan kayu, bitumen juga menjadi salah satu barang dagangan mereka dengan sumber bitumen di Hit, Iraq dijadikan sumber utama bahan tersebut.
Salur minyak yang kita gunakan sekarang ini sebenarnya sudah pun berakar umbi sejak tahun 400BC lagi. Masyarakat China zaman dahulu pernah membina dan menggunakan sistem saluran minyak bagi kegunaan mereka di Peking.
Permulaan penjualan minyak dalam zaman moden pula bermula dengan penjualan minyak untuk tujuan perubatan oleh masyarakat asal Amerika. Kaum Seneca menjadi pengeluar terbesar minyak ketika itu dan minyak mereka terkenal sebagai minyak yang mampu mengubat beberapa penyakit dengan sangat berkesan.
Minyak sehinggalah lewat abad ke 19 tidak menarik minat orang ramai, disebabkan pada zaman tersebut aktiviti cari gali lebih mementingkan penemuan sumber air dan garam sebagai fokus. Situasi itu mula berubah selepas lampu mudah alih minyak tanah yang dicipta pada tahun 1854 oleh seorang lelaki bernama John Austin, menggantikan lampu yang menggunakan minyak daripada arang.
Berikutan minyak tanah atau 'kerosene' mampu membakar dengan lebih terang dan bersih bagi aktiviti cari gali di kawasan gelap, permintaan terhadapnya mula meningkat. Samuel Downer Jr. memfailkan hakcipta nama 'kerosene' sebagai nama rasmi kepada minyak tanah pada tahun 1859.
Bermula daripada populariti lampu minyak tanah, permintaan terhadap minyak semakin lama semakin meningkat sehingga menyebabkan sumber minyak yang diperolehi daripada ikan paus dan sumber arang batu mengalami penurunan permintaan.
Rujukan