jerry springer bergaduh

Masyarakat barat mengamalkan kebebasan bersuara yang bersifat agak ekstrim. Sehinggakan ada banyak mengaibkan yang pada kita sepatutnya disembunyinykan, boleh pula mereka bicarakan secara terbuka.

Dalam sesetengah kes, mereka bukan saja mahu berbincang secara terbuka, malahan sanggup untuk menayangkan keaiban mereka sendiri agar menjadi tontonan masyarakat seluruh dunia. Kewujudan kelompok ini memberikan idea kepada penerbit-penerbit rancangan di barat, untuk mewujudkan rancangan-rancangan bersifat eksploitasi yang memaparkan individu-individu kurang akhlak ini - untuk dinilai orang ramai secara terbuka.

jerry springer

Berikut adalah lima rancangan eksplotasi masyarakat yang sangat popular di kalangan masyarakat barat, kerana dicipta bertujuan untuk memalukan orang lain atas nama hiburan.

1. Maury

maury show

'Maury' adalah salah satu rancangan paling lama bertahan dalam saluran televisyen serta masih berjalan sehingga kini selama hampir 27 musim. Dihoskan oleh Maury Povich, bekas pembaca berita dan radio yang menjadi satu-satunya hos rancangan ini sejak tahun 1988.

Kerap kali menjadikan isu keluarga sebagai tema perbincangan, rancangan 'Maury' selalu dijadikan waktu untuk pihak-pihak yang telah melakukan kesalahan terhadap pasangan atau ahli keluarga membuka pekung mereka. Maury juga terkenal kerana kerap kali membawakan segmen anak gadis liar yang gagal dikawal ibu bapa, sehingga sanggup bertindak agresif terhadap sesiapa saja yang ditemui.

Rancangan ini kerap dikritik kerana Maury kerap memaparkan imej yang serius serta cuba menasihati tetamu, tetapi sebenarnya dianggap tidak ikhlas untuk membantu serta lebih bersifat talam dua muka. Slogan terkenalnya; 'awak bukan ayah dia!' dikatakan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

2. The Steve Wilkos Show

the steve wilkos show

Rancangan yang dihasilkan daripada pecahan satu lagi rancangan tabloid 'Jerry Springer Show', The Steve Wilkos Show tercetus ekoran watak hos Steve Wilkos yang kerap kali menjadi pendamai pergaduhan semasa masih bersama Jerry Springer. 'The Steve Wilkos Show' mula ditayangkan pada tahun 2008 dan masih lagi berjalan sehingga kini.

Berbeza dengan rancangan asalnya, 'The Steve Wilkos Show' membawa tema yang hampir serupa dengan Maury di mana dia cuba meletakkan dirinya sebagai solusi di antara dua pihak yang bertelagah. Bagaimanapun, oleh kerana kebanyakan individu yang menyertai rancangan ini mempunyai masalah yang unik, situasi turut sama menjadi hangat.

Walaupun masih bersifat eksploitasi, ada waktu-waktunya di mana Steve berjaya merungkai masalah dalam hidup tetamu mereka dengan menggunakan mesin pengesan penipuan atau juga ujian DNA dalam menentukan kebenaran. Perwatakan Steve juga dilihat lebih ikhlas berbanding Maury dan ini membuatkan lebih ramai rakyat Amerika yang mahu menceritakan masalah mereka tanpa rasa segan.

3. The Jeremy Kyle Show

jeremy kyle show

Bermula di Britain pada tahun 2005 sebelum mula bersiaran dalam versi Amerika Syarikat pada tahun 2011, 'The Jeremy Kyle Show' menampilkan hos Jeremy Kyle yang berpengalaman luas dalam bidang penyiaran. Jeremy terkenal dengan sifatnya yang agak suka melakukan konfrontasi terhadap tetamu yang beliau yakini bersalah.

Sama seperti Steve Wilkos dan Maury Povich, Jeremy cuba meletakkan dirinya sebagai orang tengah dalam membantu tetamu-tetamu yang mempunyai syak wasangka atau rahsia untuk dibongkarkan. Fokus Jeremy lebih kepada masalah-masalah perhubungan. Kebiasaannya pada awal, Jeremy akan memainkan watak yang lebih serius sebelum mula melakukan serangan psikologi yang kerap kali mendapat sorakan penonton.

DIbantu oleh beberapa orang pakar terapi semasa rakaman dilakukan, majoriti tetamu yang hadir membuka kisah mereka mendapat solusi tetapi terpaksa menerima takdir yang berat. Majoriti pengkritik membenci rancangan ini kerana dilabelkan sebagai perosak hidup orang lain yang dipasarkan dalam bentuk rancangan televisyen. Kami pernah menulis tentang salah satu pasangan yang menjadi jemputan rancangan ini dan pengakhirannya sangatlah mengelirukan kita yang berfikiran normal.

4. The Jerry Springer Show

jerry springer show

Rancangan yang dilabelkan paling kontroversi antara semua rancangan yang mengekploitasi tetamu mereka,'The Jerry Springer Show' merupakan sebuah rancangan yang menampilkan hos Jerry Springer, bekas ahli politik yang menukar kariernya kepada hos televisyen.

Berbeza dengan ketiga-tiga rancangan yang kami senaraikan sebelum ini, The Jerry Springer Show kurang memberikan perhatian pada masalah yang cuba dibawakan, tetapi lebih gemar menjadikan masalah tersebut sebagai punca untuk menimbulkan perbalahan. Kebiasaannya, tetamu-tetamu yang diundang ke rancangan ini pasti akan bertumbuk, sama ada satu lawan satu atau beramai-ramai dengan Jerry Springer akan membiarkan situasi itu berlanjutan.

Hanya selepas keadaan menjadi luar kawalan barulah pengawal-pengawal akan masuk bagi menenteramkan keadaan tetapi Jerry Springer kebiasaannya akan melakukan provokasi, supaya pergaduhan kembali tercetus.

5. To Catch a Predator

hansen chris to catch a predator

Dalam banyak-banyak rancangan yang cuba mengeksploitasi nasib orang lain, 'To Catch a Predator' merupakan sebuah rancangan yang sangat sukar untuk difahami hala tuju moralnya. Ini kerana disebalik semua eksploitasi yang dilakukan, apa yang berlaku berjaya memenjarakan ramai golongan pedofil sebelum berlaku apa-apa.

Dihoskan oleh pengacara Chris Hansen, rancangan ini menimbulkan perdebatan di kalangan masyarakat Amerika Syarikat kerana kesemua 'mangsa' yang dipaparkan dalam rancangan ini diperangkap oleh penerbit rancangan ini, sebelum ditahan pihak polis.

Walau apa pun pandangan anda terhadap cara pedofil-pedofil ini ditangkap dan dieksploitasi untuk hiburan, rancangan popular yang disiarkan selama 3 musim ini membuka mata orang ramai terhadap masalah sebenar pedofilia di kalangan masyarakat Amerika Syarikat. Terlalu ramai individu lelaki yang kelihatan normal rupanya mempunyai keinginan seksual terhadap gadis bawah umur dan sanggup merealisasikannya.


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)