Oleh pada 16 Jan 2023 kategori

Setiap kali berlangsungnya kejohanan bola sepak baik dalam peringkat serantau atau benua Asia, kita dan Brunei merupakan wakil Asia Tenggara yang menggunakan warna kuning sebagai warna rasmi.

Berbanding negara jiran lain yang lebih banyak menggunakan warna merah, warna pasukan kebangsaan kita ikonik serta mudah dikenali kerana jika difikirkan, tidak banyak pasukan menggunakan warna kuning sebagai identiti utama mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pasukan mana lagikah yang menggunakan kuning sebagai warna utama selain skuad kebangsaan Malaysia? Berikut adalah lima pasukan yang terkenal dengan warna kuning sebagai warna utama mereka.

1. Pasukan kebangsaan Colombia

jersi skuad colombia

Skuad kebangsaan Colombia mula beraksi dengan jersi putih sepenuhnya sebelum mengadunkan ketiga-tiga warna rasmi Colombia iaitu kuning, biru dan merah ke dalam jersi mereka.

Walau demikian Colombia pada awalnya menggunakan jersi dengan majoriti warna biru dan kemudiannya ditukar kepada merah, sebelum gergasi sukan Puma menghasilkan jersi Colombia pertama berasaskan warna kuning pada tahun 1985.

Dari sinilah kuning mula diamal pasukan itu dalam rekaan jersi utama mereka.

Pada kejohanan Piala Dunia 1990, persatuan bola sepak Colombia membuat keputusan untuk mengekalkan warna rasmi skuad mereka kepada kuning, selaras dengan corak bendera negara yang lebih mengutamakan kuning berbanding biru dan merah.

Bagi masyarakat Colombia, warna kuning melambangkan kekayaan dan khazanah yang ada pada negara itu serta mewakili matahari yang memancar menerangi kesejahteraan komuniti mereka.

2. Pasukan kebangsaan Brazil

jersi kuning skuad brazil

Jika anda meneliti bendera Brazil, di tengah-tengah bendera mereka terdapat sebuah rombus kuning yang menempatkan sebuah bulatan berwarna biru dengan 27 bintang di dalamnya, dikelilingi warna hijau.

Warna kuning pada bendera itu mewakili Dona Maria Leopoldina, permaisuri yang mentadbir Brazil ketika negara itu duduk di bawah jajahan dinasti dari Austria. Rekaan bendera itu jugalah yang diambil sebagai asas kepada rekaan jersi pasukan Brazil walaupun pada awalnya Brazil tidak mengenakan warna kuning mereka.

Kisahnya dalam kejohanan Piala Dunia 1950, Brazil yang juga tuan rumah kejohanan tewas dalam perlawanan akhir kepada Uruguay.

Dalam penyertaan tersebut, Brazil menggunakan jersi berwarna biru dan putih yang dirasakan tidak menjunjung semangat kenegaraan mereka dengan betul - didakwa menjadi punca utama mereka gagal bergelar juara.

Usaha untuk mengembalikan semangat masyarakat mereka dimulakan kerajaan Brazil menerusi pertandingan merekabentuk jersi skuad bola sepak kebangsaan mereka, anjuran sebuah akhbar tempatan bernama Correio da Manha.

Syarat pertandingan itu memerlukan peserta menggunakan kesemua elemen warna bendera negara mereka dalam setiap rekaan. Hasilnya, rekaan yang terpilih menggunakan warna kuning sebagai asas kepada uniform skuad mereka.

Dari situlah jersi Brazil yang ikonik dengan warna kuning keemeasanmula digunakan dalam setiap pertandingan disertai mereka.

3. Borussia Dortmund

jersi kuning borussia dortmund

Di antara kesemua pasukan yang mengamalkan warna kuning sebagai identiti utama, kelab Jerman, Borussia Dortmund adalah yang paling hampir dengan warna skuad negara kita - mengadunkan kuning dan hitam.

Kedua-dua warna yang dipilih mempunyai sebab yang berbeza kenapa diaplikasikan sebagai warna rasmi mereka. Dortmund bermula sebagai sebuah kelab bola sepak anjuran gereja yang memakai warna rasmi gereja, biru dan putih.

Disebabkan keengganan untuk terus diselia pihak paderi yang banyak kekangan, 18 orang anak muda anggota pasukan yang turut berkhidmat sebagai tukang besi dan pelombong arang batu, nekad berpecah keluar dan menubuhkan kelab sendiri secara bebas.

Warna kuning dipilih kerana sebagai tukang besi, baju overall kuning akan dibekalkan kepada semua pekerja. Sementara warna hitam dipilih bagi mewakili kumpulan pelombong arang batu yang bekerja mencari rezeki setiap hari, sehingga kotor dan berjelaga badan.

4. Norwich City FC

jersi norwich city

Kuning dan hijau merupakan warna rasmi pasukan Kedah. Satu lagi kelab bola sepak yang mengamalkan warna serupa adalah Norwich City FC dari England.

Tak lama dulu semasa syarikat automobil kita Proton menaja pasukan ini, ramai juga peminat mereka di Malaysia kan? Norwich City ditubuhkan pada tahun 1902 sebagai sebuah kelab amatur, sehingga kini kekal sebagai sebuah kelab dengan prestasi naik turun.

Pada awal penubuhan, kelab ini menggunakan warna biru dan putih sebelum jawatankuasa kelab itu bercadang mahu menukarkan nama jolokan mereka daripada Citizens kepada Canaries, sempena burung kenari.

Dengan perubahan itu serta pengenalan identiti kelab berasaskan burung tersebut, warna kelab itu juga turut diubah. Warna kuning dan hijau ditetap sebagai warna rasmi baru kelab seiring dengan perubahan identiti dan jersi dengan warna kuning berjalur hijau mula diperkenalkan pada tahun 1907 dengan seluar putih.

5. Malaysia

malaysia football

Kenapa pasukan kebangsaan kita menggunakan jersi berwarna kuning dan hitam sebagai warna rasmi? Ini kerana sejak dari awal penubuhannya dalam tahun 1933, Persatuan Bola Sepak Malaysia telah menggunakan skima warna tersebut pada logonya.

logo fam mfa lama

Ditubuhkan menerusi gabungan beberapa persatuan bola sepak negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura - MFA atau Malayan Football Association diwujudkan sebelum diubah kepada Football Association of Malaya atau FAM.

Logo harimau dan tulisan berwarna kuning berlatar belakang hitam sudah dikekalkan senahao tradisi menuruti logo FAM yang pertama kali direka bentuk, dengan warna itu kekal dipraktikkan sehingga ke hari ini walaupun pemodenan ke atas rekaannya dilakukan.

Ada usaha untuk mengubah logo ini agar lebih moden, tetapi penulis berpendapat - apabila sesuatu logo itu sudah jadi ikonik, tidak ada banyak perubahan perlu dilakukan terhadap rekaan asalnya.

Sebarang pemodenan logo FAM pada hemat penulis, harus mengekalkan elemen asas logo FAM sedia ada kerana logo tu dah cantik pada mata kita. Setuju?




Hakcipta iluminasi.com (2017)