Oleh pada 23 Jul 2019 kategori

Perseteruan di antara syarikat-syarikat perniagaan merupakan satu perkara yang akan berlaku, apabila perniagaan yang dijalankan syarikat itu sama; menyebabkan wujudnya pesaing-pesaing lain.

Dalam era sekarang, syarikat Air Asia di negara kita membolehkan lebih ramai orang menaiki kapal terbang dengan kadar rendah. Bagaimanapun, Air Asia wujud tanpa bersaing secara berdepan dengan sistem penerbangan Malaysia Airlines (MAS) membolehkan kedua-duanya beroperasi secara serentak, memenuhi permintaan pasaran yang berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Amerika Syarikat, pernah berlaku satu insiden yang agak melucukan tentang persaingan di antara syarikat-syarikat penerbangan apabila mereka perlu bersaing dalam pasaran terkawal. Apa yang menarik adalah jalan penyelesaian yang dipersetujui mereka untuk mencapai solusi kepada masalah yang didepani.

Kawalan kerajaan ke atas harga pasaran

gusti lengan selesaikan persengketaan

Pada zaman tersebut, kerajaan Amerika Syarikat mengenakan regulasi ke atas kadar tambang tiket kapal terbang. Ini bermakna, setiap syarikat yang menjalankan operasi penerbangan perlu mengenakan kadar tambang serupa untuk setiap destinasi penerbangan - dengan syarat penerbangan itu dilakukan di antara dua negeri.

Menyedari wujudnya kelemahan dalam regulasi ini, seorang ahli perniagaan bernama Rollin King menubuhkan syarikat Air Southwest di Texas, sebuah negeri besar yang saiznya jauh melebihi banyak negara lain. Oleh kerana saiznya besar, King melihat idea untuk menjual tiket-tiket penerbangan antara bandar di Texas, membolehkan AIr Southwest tidak jatuh dalam regulasi kadar tambang kerajaan Amerika Syarikat.

herb kellwher

Idea ini disampaikan kepada peguam beliau yang bernama Herb Kelleher. Setelah meneliti semua perspektif, Kelleher memberitahu apa yang mahu dilakukan King secara teknikalnya - tidak salah dan dibenarkan. Jadi King mengajak Kelleher menyertai beliau memulakan operasi Air Southwest di Texas sahaja.

Mengetahui wujud sebuah syarikat yang mengambil peluang ke atas kelompongan regulasi kerajaan, tiga syarikat penerbangan iaitu Texas International, Barniff dan Continental bertindak menyaman Air Southwest kerana melanggar syarat yang telah ditetapkan. Perbicaraan panjang yang berlangsung lebih 3 tahun akhirnya berpihak kepada Air Southwest dan mereka dibenarkan terus beroperasi di Texas.

Mendapat lesen besar, King dan Kelleher menukar nama penerbangan mereka kepada Southwest Airlines, menawarkan penerbangan pada harga lebih rendah serta memperkenalkan uniform yang menjolok mata penumpang. Bermula pada 18 Jun 1971, Southwest Airlines mula beroperasi di Texas melibatkan bandar Dallas, San Antonio dan Houston.

Regulasi ditamatkan pada tahun 1978

southwest flight

Bermula pada tahun 1978, kerajaan Amerika Syarikat menarik balik peraturan regulasi yang mengawal kadar tambang. Ini membolehkan Southwest Airlines mula beroperasi di luar Texas dan perniagaan mereka mula berkembang pesat selepas itu.

Berikutan kedudukannya yang agak lain daripada yang lain, syarikat King dan Kelleher gemar memperkenalkan taktik pemasaran yang jauh berbeza. Untuk setiap kawasan yang berbeza, mereka akan menggunakan slogan yang unik untuk kawasan tersebut. Salah satu slogan yang mereka gunakan adalah slogan 'Just Plane Smart!" yang digunakan di Phoenix, Arizona.

Selepas lebih setahun menggunakan slogan itu, peguam kepada sebuah syarikat bernama Stevens Aviation menghubungi Southwest Airlines memberitahu berlakunya pelanggaran hak cipta melibatkan slogan tersebut - Stevens Aviations mendakwa slogan itu milik mereka.

kelleher dan king masa muda

Kurt Herwald, CEO kepada Stevens Aviations bagaimanapun tidak mahu membawa tuntutan itu ke mahkamah, kerana dia tahu kos yang perlu ditanggung sangat besar. Selain itu, Herwald juga mengetahui cara kerja King dan Kelleher yang unik serta gemar melakukan sesuatu yang baru.

Jadi Herwald menemui King dan Kelleher bagi mencapai solusi kepada masalah ini, kerana dua syarikat menggunakan slogan serupa sudah pastilah akan mengelirukan pengguna. Bagaimanapun, sudah pastilah Southwest mahupun Stevens tidak akan menyerahkan hak kegunaan slogan itu sewenang-wenangnya.

Jadi Herwald menawarkan kepada Southwest Airlines satu penyelesaian yang mudah, menjimatkan kos serta mampu menjana publisiti kepada kedua-dua syarikat.

Acara gusti lengan peringkat korporat!

persembahan awal kelleher

Herwald mencadangkan kepada King dan Kelleher satu perlawanan gusti lengan di antara kedua-dua syarikat diadakan, bagi menentukan siapakah pemilik slogan tersebut.

Pada 20 Mac 1992, kedua-dua eksekutif syarikat disorak ribuan pekerja dan penyokong membanjiri Pusat Sukan Dallas, yang terletak tidak jauh daripada ibu pejabat Southwest Airlines. Perlawanan itu akan dilangsungkan selama 3 pusingan, dengan pihak yang kalah perlu melepaskan tuntutan ke atas slogan serta mendermakan sejumlah wang untuk kebajikan.

Dua pusingan awal, memperolehi keputusan 1-1 selepas kedua-dua syarikat 'berjaya' menewaskan seteru mereka. Southwest meletakkan juara gusti lengan Texas tahun 1986, J.R. Jones memberikan mata pertama sebelum Kelleher 'ditewaskan' seorang pekerja wanita Stevens Aviations bernama Annette Coats. Bagaimanapun, pada pusingan terakhir, kedua-dua syarikat meletakkan ayam tambatan mereka, CEO Stevens Aviation, Kurt Herwald melawan Herb Kellher, tulang belakang Southwest Airlines.

malice in dallas

Berbeza dengan kedua-dua pusingan awal yang tidak dipandang serius, pusingan ketiga menjadi penentu kepada semuanya.

Selepas 35 saat beradu lengan, Herwald berjaya menewaskan Kelleher seterusnya mendapat hak untuk menggunakan slogan yang direbutkan. Bagaimanapun, Herwald berkata dia bersetuju untuk membenarkan Southwest menggunakan slogan tersebut, kerana dia gembira Southwest bersetuju dengan cadangan gila dia menganjurkan pertandingan gusti lengan sebagai penentu siapa pemegang hak.

Kejayaan publisiti untuk kedua-dua syarikat

herb kelleher

Berbeza dengan kebiasaan, langkah kedua-dua syarikat bersetuju menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah dan di dalam kompleks sukan, dipuji ramai pihak. Kelleher sendiri mengakui sekiranya kes itu dibicarakan, kos yang bakal mereka tanggung adalah sekitar $500,000 untuk tempoh beberapa tahun.

Southwest Airlines juga mengakui selepas tuntutan dibuat Stevens Aviations, barulah mereka tahu penggunaan slogan 'Plane Smarts' yang serupa telah digunakan Stevens terlebih dahulu, jadi seandainya kes di bawa ke mahkamah - besar kemungkinan Southwest akan tewas.

Acara gusti lengan yang dinamakan sebagai 'Malice in Dallas' menjadi antara catatan sejarah korporat Amerika Syarikat melibatkan persengketaan syarikat penerbangan, yang berakhir dengan gembira. Kadar keuntungan Stevens Aviations selepas acara itu meningkat 4 kali ganda dalam tempoh 3 tahun sementara Southwest Airlines pula mendapati nilai saham mereka meningkat dua kali ganda ekoran acara itu.

Dalam dunia di mana setiap kesilapan kecil, kita akan dengar cabar-mencabar suruh saman atau bersedia terima saman; apa yang berlaku di antara Southwest Airlines dan Stevens Aviations merupakan satu peristiwa yang sangat luar biasa. Selain daripada menjana publisiti dan hubungan baik, keuntungan meningkat serta dana dapat disalurkan kepada badan kebajikan - tidak ada pihak yang berhadapan kerugian selepas itu.

Semangat seperti ini sepatutnya lebih acap kali diamalkan masyarakat dunia, khasnya orang Malaysia. Penulis pun dah bosan dengan ugutan yang kerap kali viral - salah sikit, nak saman. Tak kena sikit, kenapa tak saman?

Gusti lengan boleh. Main galah panjang boleh. Main bola tuju boleh. Menang, kalah, semua puas hati tak perlu bayar kos guaman yang semakin meningkat tinggi.

Rujukan

Inc.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)