gadis siswazah meniaga tepi jalan

Setiap anak muda pasti menyimpan impian mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari, sekurang-kurangnya bagi mendapat segulung diploma atau ijazah.

Kelulusan pendidikan dilihat sebagai satu perkara besar dalam memberikan kelebihan pemegangnya untuk lebih ke hadapan dalam urusan kariernya. Walau bagaimanapun tidak semua yang berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya, akan mampu menggapai impian mereka.

Salah satu masalah yang paling ketara dalam perjalanan karier anak muda di Malaysia, adalah isu berkaitan kegagalan mereka mendapat peluang karier yang relevan dengan kelulusan atau kemahiran sebenar mereka.

Ini mampu menyebabkan anak muda yang dulunya penuh impian, seakan-akan tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berubah semasa transisi mereka ke dalam alam kerjaya.

Masalah 'salah kemahiran' ini merupakan satu isu yang besar, tetapi persoalannya - berapa besar masalah ini?

Keperluan pekerjaan berkemahiran rendah

kerja kilang

Tahukah anda, untuk setiap 100 peluang pekerjaan yang dibuka di negara kita - 76 daripadanya memerlukan pekerja yang berkemahiran rendah?

Apa yang membimbangkan, angka ini semakin meningkat tahun ke tahun. 76% daripada semua jawatan kosong memerlukan seorang pekerja yang hanya mempunyai kemahiran dan pendidikan bersifat elementari, sementara 10% lagi jawatan kosong adalah untuk pekerjaan melibatkan operator di kilang melibatkan pemasangan komponen-komponen kecil.

Berapa yang tinggal untuk mereka yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi? 14% sahaja untuk pekerja-pekerja berkelulusan tertiari, perlu direbut mereka yang sudah berpengalaman lama ataupun anak muda yang masih segar penuh impian.

kerja operator dan servis

Sekiranya dipecahkan lagi angka 14% itu, hanya 4.1% sahaja mewakili pekerjaan berkemahiran tinggi yang bertaraf professional dan semi professional.

Tahukah anda  individu berusia 15 hingga 24 tahun yang dikategorikan sebagai anak muda, merupakan kumpulan terbesar individu di negara kita yang berstatus tiada pekerjaan melibatkan 10.8% daripada jumlah keseluruhan?

Sekiranya difokuskan hanya kepada anak muda berpendidikan tertiari sahaja, angkanya jadi lebih membimbangkan. Angka pengangguran di kalangan anak muda berpendidikan tinggi meningkat ke tahap 9.6% bagi tahun 2017.

Manakala graduan yang tiada pekerjaan di negara kita secara keseluruhannya mewakili 40.5% daripada keseluruhan tenaga kerja tidak bekerja.

Suci dalam debu

karnival kerjaya

Walaupun nampak menakutkan, ada sinar di sebalik semua itu. Jumlah peluang pekerjaan untuk golongan berpendidikan tinggi meningkat sebanyak 4.1%, membantu menampung peningkatan jumlah graduan tahap tertiari yang menamatkan pengajian setiap tahun.

Ini bermakna peratusan ahli masyarakat kita yang memiliki pendidikan tahap tinggi semakin ramai tahun ke tahun, namun pasaran pekerjaan belum berjaya mencipta peluang secukupnya untuk golongan ini.

Kenaikan positif ini juga membantu menurunkan peratusan pekerja yang hanya berpendidikan tahap menengah dan tiada pendidikan formal di negara kita, yang menguncup dengan konsisten semenjak 2013.

gadis oku pengusaha kuih bakul

Walaupun begitu, kebergantungan negara kita pada sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi penghalang utama kemampuan kita mengasimilasikan individu-individu berpendidikan tinggi ini ke dalam industri dalam negara.

Sektor perkhidmatan masih mendominasi pembukaan peluang pekerjaan dengan 62% daripada keseluruhan jenis jawatan yang ditawarkan dan pembuatan pula mewakili 17.4%.

Manakala 17.2% peluang pekerjaan yang ada datang daripada sektor jualan dan pemborongan, serta sektor pembaikian kenderaan. Beberapa sektor dan industri yang mempunyai pecahan kecil dalam penawaran peluang pekerjaan di negara adalah kesenian dan hiburan (0.6%), industri elektrik dan gas (0.4%) dan jualan hartanah (0.6%).

Pendidikan Malaysia perlu berubah?

pekerja mahir

Satu perbincangan yang pasti akan mendapat reaksi banyak pihak adalah berkenaan isu 'siapa patut ikut siapa - industri atau pendidikan?'

Ada pihak meletakkan pendidikan sepatutnya memainkan peranan mencipta inovasi-inovasi baru yang kemudiannya disokong oleh industri yang membangunkan ciptaan-ciptaan ini. Pada pihak lagi satu, mereka menganggap sektor pendidikan sepatutnya dibangunkan berdasarkan kepada keperluan industri, melatih pekerja-pekerja mahir agar mereka lebih mudah ditempatkan dalam industri itu.

Perdebatan berkenaan isu ini tidak akan berkesudahan (nota - penulis berpendapat sektor pendidikan sepatutnya mendahului industri) tetapi amat jelas dalam situasi negara kita sekarang - keperluan memenuhi kehendak industri lebih besar.

Sekiranya dilihat pada statistik, majoriti pekerja di negara seramai 55.8% hanya mempunyai tahap pendidikan menengah dengan 27.5% lagi pendidikan tahap tertiari. Itu merupakan satu angka yang sangat besar sehingga menyebabkan tidak banyak jawatan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan.

Berikutan daripada ketidak seimbangan itu, pemegang ijazah, diploma atau sijil mencatatkan peratusan jumlah pengangguran tertinggi dengan 4.2%, berbanding pendidikan menengah yang mencatatkan 3.4%.

Untuk merapatkan jurang ketidak seimbangan ini seterusnya meletakkan negara kita kembali ke landasan yang betul; memerlukan usaha keras kita semua untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan baru yang memerlukan kemahiran tinggi. Selain itu pihak majikan juga perlu lebih berani memancing pekerja tahap graduan bekerja dengan gaji yang lebih setimpal tak kiralah dalam apa bidang sekalipun.

siswazah malaysia graduasi

Perdebatan 'industri vs pendidikan' ini tidak akan berkesudahan, namun yang penting kita harus menyedari kedua-duanya perlu seiring dan bertolak ansur.

Penyelidikan melalui pendidikan akan menghasilkan peluang karier yang baru dan belum pernah ada. Keperluan industri pula berkeupayaan untuk menghasilkan pekerjaan seterusnya membolehkan individu menyara hidup mereka.

Apabila kita sudah mula meletakkan keperluan industri sebagai perkara nombor satu, ini hanya akan menyebabkan graduan-graduan muda terus terperangkap dalam pusingan berkelulusan dan berkemahiran tinggi, tetapi terpaksa ambil saja apa jenis kerja yang ada.


Nota - kami tidak berniat hendak menyinggung mana-mana pihak dalam menggunakan istilah 'pekerja berkemahiran rendah' atau 'pekerjaan berpendidikan rendah.' Bagaimanapun, terma itu memang digunakan secara meluas dan pada pendapat kami, lebih mudah difahami pembaca.

Rujukan

MIDF Research (PDF)


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)