Oleh pada 18 May 2018 kategori

Kisah tentang Ashabul Kahfi telah diceritakan di dalam Al-Quran memalui Surah Al-Kahf ayat 9 hingga 26. Menurut ulama Islam, Allah telah menurunkan ayat-ayat ini kerana orang Quraish di Mekah pada ketika itu telah mencabar Nabi Muhammad S.A.W. (Rasulullah) untuk membuktikan kesahihan baginda sebagai seorang nabi, rasul dan utusan Tuhan. Kaum Quraish telah menghantar 2 orang wakil untuk menemui seorang pendeta Yahudi bagi memperolehi soalan yang perlu ditanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. memandangkan beliau tergolong dalam kalangan ahli kitab.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara soalan yang dicadangkan oleh pendeta Yahudi adalah tentang sekumpulan pemuda yang hilang pada suatu masa dahulu dan tentang seorang lelaki yang menakluki dunia daripada timur ke barat (Dhul-Qarnayn). Kedua wakil kaum Quraish pun telah pergi menemui Rasulullah dan menanyakan persoalan tersebut kepada baginda. Selepas 15 hari, Rasulullah menerima wahyu berkaitan persoalan tersebut. 

Kisah Pemuda-Pemuda Warak dan Raja Yang Zalim

pemuda ashabul kahfi

Kisah tentang Ashabul Kahfi mempunyai beberapa persamaan dengan versi Kristian, di mana sekumpul pemuda yang warak yang menentang seorang raja yang menekan rakyatnya untuk menyembah selain Tuhan. Sekumpulan pemuda ini dengan berani menyuarakan di hadapan raja tersebut bahawa Tuhan mereka adalah Tuhan langit dan bumi, dan mereka tidak mengiktiraf siapa pun selain-Nya. Raja tersebut berasa sangat marah mendengar lontaran hujah pemuda-pemuda ini, dan memberi amaran akan membunuh mereka. Baginda memberi masa selama tiga hari kepada mereka untuk mengubah fikiran, atau berdepan dengan kematian.

Kesemua pemuda ini mengambil kesempatan masa yang diberikan untuk melarikan diri daripada kota tempat tinggal mereka. Dalam perjalanan, seekor anjing turut mengikuti mereka bersama. Akhirnya mereka menemui sebuah gua di kawasan pergunungan dan bersembunyi di sana, di mana anjing duduk di pintu masuk gua tersebut. Berasa penat, mereka tertidur, untuk suatu tempoh yang sangat lama. 

Keesokan harinya, raja yang zalim itu mengarahkan agar pemuda-pemuda ini dibunuh serta merta, namun mereka menemui kegagalan kerana tidak dapat menemui pemuda-pemuda tersebut. Apabila terjaga daripada tidur, ada di antara mereka bertanya berapa lama mereka sudah tidur, ada yang menjawab sehari, ada yang menjawab mungkin lebih kurang setengah sehari, namun mereka tidak mengetahui tempoh yang sebenarnya. Berasa lapar, salah seorang daripada telah kembali ke kota untuk membeli makanan. 

gua ashabul kahfi

Dengan langkah berhati-hati kerana risau akan kehadiran tentera yang mencari mereka, pemuda tersebut selamat sampai ke sebuah pasar di kota. Pemuda itu cuba untuk membayar menggunakan syiling perak yang ada, namun tidak diterima penjual kerana syiling tersebut adalah syiling lama yang sudah tidak digunakan lagi. Terkejut melihat syiling berkenaan, maka terdedahlah identitinya. Diceritakan kepada pemuda tersebut bahawa raja kufar yang zalim itu telah lama mati dan raja yang kini memerintah adalah raja yang alim dan warak.

Pemuda tersebut telah dibawa menemui raja yang baharu, dan baginda sangat terkejut setelah mengetahui siapakah sebenarnya pemuda berkenaan, yang kisahnya menjadi lagenda yang diwarisi dari generasi ke generasi. Baginda sangat tidak menyangka dapat menemui pemuda tersebut, dan memintanya untuk membawa rakan-rakannya yang masih di gua untuk bertemu baginda di istana. Kisah ini berakhir apabila kesemua mereka meninggal dunia tidak lama selepas itu. 

Perincian Kisah Ashabul Kahfi Berdasarkan Kitab Suci Al-Quran

kisah ashabul kahfi dalam al quran

Al-Quran tidak pernah sama sekali menyebut tentang berapa orang pemuda yang terlibat. Kitab suci ini menyatakan bahawa manusia akan memberi pendapat bahawa terdapat tiga orang, yang lainnya akan menyatakan 5 orang dan ada yang menyebut 7 orang pemuda kesemuanya. Namun, kisah Ashabul Kahfi versi Al-Quran ada menyebut tentang kehadiran seekor anjing bersama mereka. 

Dari segi tempoh masa pemuda-pemuda berkenaan tidur pula, disebutkan di dalam Al-Quran bahawa mereka tidur selama 300 tahun, ditambah 9. Ada pendapat yang merujuk 300 tahun ditambah 9 sebagai 300 tahun solar (matahari) yang bersamaan dengan 309 tahun lunar (bulan). Dan pada ayat ke-26 Surah Al-Kahf:

Katakanlah: "Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di dalam gua); kepunyaanNyalah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi. Alangkah terang penglihatanNya dan alangkah tajam pendengaranNya; tidak ada seorang pelindung pun bagi mereka selain daripadaNya; dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutuNya dalam menetapkan keputusan."

Kesimpulan

Sesungguhnya sebagai umat Islam kita wajib mempercayai tentang berlakunya kisah di mana beberapa orang pemuda telah tidur untuk suatu tempoh yang cukup lama, iaitu selama beberapa ratus tahun. Di dalam Surah Al-Khaf turut menasihati kita agar tidak bertengkar tentang perincian kisah ini, kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui. 

Rujukan: 

  1. en.wikipedia.org
  2. ummukulthum.com
  3. quranstudies.wordpress.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)