Oleh pada 03 May 2017 kategori

Sesungguhnya, hidup kita di dunia adalah semata-mata bergantung kepada rahmat Allah S.W.T. Tanpa rahmat-Nya, binasalah hidup kita. Seringkali kita terlupa akan nikmat yang diberikanNya dan menyangka apa yang kita dapat, sama ada kekayaan harta atau sebagainya, adalah hasil daripada titik peluh dan kerja keras sendiri. Namun, kita tidak sedar semua itu adalah rahmat dan ihsan kurniaan Allah S.W.T.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ramai yang berusaha, namun tidak diberikan kekayaan. Dan juga ramai yang tidak berusaha, diberikan kemewahan dalam hidup. Semuanya diberikan bersebab. Jika kita tidak dikurniakan sesuatu walaupun sudah berusaha dan patuh perintahNya, berkemungkinan Allah S.W.T mahu menguji kesabaran dan keimanan kita kepadaNya. Dan juga jika kita tidak berusaha dan tidak patuh kepadaNya namun tetap diberikan hidup yang senang-lenang, berkemungkinan kemewahan itu bertujuan untuk menyesatkan kita. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bermuhasabah diri.

Terdapat sebuah kisah tentang seorang ahli ibadah yang ingin masuk ke dalam syurga hanya dengan amalannya. Mari kita selami kisah ini dan ambil teladan.

gunung di tengah lautan 811

Dari Jabir bin Abdullah, dia berkata "Suatu hari kami keluar bersama Rasulullah S.A.W. Di tengah perjalanan baginda bersabda. "Sebentar tadi Jibril datang kepadaku, dan berkata: "Wahai Muhammad, dahulu kala Allah mempunyai seorang hamba yang sangat soleh. Dia beribadah kepada Allah selama lima ratus tahun. Seluruh hidupnya diabadikan hanya kepada Allah. Dia tinggal di puncak sebuah gunung yang terletak di tengah lautan. Luas dan tinggi gunung tersebut sekitar tiga puluh hasta, sementara lautnya terbentang luas sekitar empat ribu farsakh.

Tidak jauh dari tempat dia beribadah, di kaki gunung, keluarlah air tawar sebesar jari yang keluar dari celah-celah batu sebagai tempatnya menghilangkan rasa haus. Di tempat tadi juga ada sepohon delima yang setiap malam mengeluarkan buahnya. Apabila petang hari tiba, dia turun dari puncak guung menuju kepada air tawar tadi untuk mengambil wudhu sekaligus meminum dan memakan buah delima sebagai mengisi perutnya yang kosong. Setelah itu dia kembali beribadah. Demikianlah rutinnya sehari-hari

pohon delima

Suatu hari dia memohon kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan sujud, lalu Allah mengabulkan permintaannya itu. Dia pun mati dalam keadaan sujud. Ketika dia sudah berada di hadapan Allah (pada hari Kiamat), Allah kemudian berfirman: "Wahai hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku,". Hamba itu menjawab, "Ya Allah, aku masuk ke dalam syurga kerana amalku, bukan kerana rahmat-Mu,". Allah kembali berfirman: "Wahai hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku,". Hamba tadi kemudian menjawab kembali, "Ya Allah, bukan kerana rahmat-Mu aku masuk ke dalam syurga, melainkan kerana ibadahku. Aku habiskan seluruh umurku hanya untuk beribadah kepada-Mu,".

Allah lalu berfirman: "Hamba-Ku ini membandingkan nikmat yang telah Aku berikan dengan amal ibadah yang telah dilakukannya. Ketahuilah wahai hamba, nikmat penglihatan sahaja yang Aku berikan kepadamu itu cukup untuk membalas amal ibadahmu yang lima ratus tahun itu, belum lagi dengan nikmat-nikmat-Ku yang lain,". Allah berfirman lagi: "Baiklah wahai hamba, mendekatkanlah dan jawablah pertanyaan-pertanyaan-Ku ini. Wahai hamba, siapakah yang telah menciptakanmu dari tiada?". Hamba itu menjawab: "Engkau ya Allah." Allah kembali bertanya: "Siapa yang memberimu kesihatan sehingga kau dapat beribadah selama lima ratus tahun?". Hamba itu kembali menjawab: "Engkau ya Allah,".

bersyukur dengan nikmat allah

Allah kembali bertanya: "Siapa yang menempatkanmu di tengah lautan sehingga kau dapat beribadah dengan tenang? Siapa pula yang telah mengeluarkan air tawar sebagai tempatmu minum padahal kau berada di tengah lautan yang masin airnya? Siapa pula yang telah mengeluarkan buah delima dari pohonnya yang selalu berbuah setiap hari sebagai makananmu padahal buah itu (sepatutnya) ada setahun sekali? Siapa pula yang mematikan ketika kau sedang sujud?" Hamba itu menjawab: "Engkau ya Allah". Allah kembali berfirman: "Semua itu adalah rahmat-Ku, dan kerananya (rahmat) pula Aku memasukkanmu ke dalam syurga-Ku. Engkaulah hamba-Ku yang paling beruntung, kerananya masuklah ke dalam syurga." Hamba itu kemudian masuk ke dalam syurga Allah.

allah maha besar

Demikianlah sebuah kisah yang sangat bermanfaat dan perlu kita ambil pelajaran darinya bahawa sebesar mana pun amal yang kita lakukan, tidaklah terbanding dengan nikmat-nikmat yang telah dikurniakanNya. Jika kita solat seharian 24 jam sekalipun, masih tidak boleh membayar segala nikmat yang Allah berikan. Sedangkan tangan yang mengangkat takbir dan mulut yang membaca kalimah Allah ketika kita bersolat itu sahaja adalah pemberian Allah. Tanpa semua itu, bukan sahaja solat, malah bernafas pun kita tak mampu.

Semoga kita sentiasa berada dalam rahmat Allah S.W.T. Amin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)