Sebuah kampung kecil di Poland yang dikenali sebagai Miejsce Odrzanskie telah menjadi sumber perhatian media antarabangsa yang sangat mengejutkan dalam tempoh dua minggu yang lalu sebagai akibat dari apa yang disebut New York Times sebagai "anomali populasi yang aneh."

Apa yang menarik perhatian adalah kali terakhir bayi lelaki dilahirkan di kampung ini hampir 10 tahun yang lalu ditambah pula dengan kelahiran 12 bayi baru-baru ini yang mana semuanya adalah bayi perempuan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali terakhir bayi lelaki dilahirkan di kampung ini adalah pada tahun 2009. Keadaan di bandar itu mula-mula didedahkan ketika pasukan bomba junior mereka menghadiri pertandingan dengan skuad wanita sepenuhnya.

Ia membuatkan pihak media Poland mula mencari apa sebenarnya yang berlaku di kawasan itu.

Datuk Bandar kawasan ini, Rajmund Frischko, dipetik sebagai berkata terdapat "kepentingan saintifik" yang mana mungkin dari ahli genetik dalam meneroka apa yang telah membawa kepada urutan yang luar biasa ini.

kampung miejsce odrzanskie tanpa kelahiran bayi lelaki selama hampir 10 tahun 709

Beliau juga membincangkan beberapa nasihat tidak saintifik yang diberikan kepada penduduk kampung ini tentang bagaimana untuk hamil anak lelaki, dari mengubah diet ibu hinggalah kepada menyimpan kapak di bawah katil. 

Selain itu, Rajmund mengumumkan tawaran ganjaran kepada pasangan seterusnya yang mendapat anak lelaki.

Tetapi cadangan yang paling lazim yang disebutkan adalah juga paling berkemungkinan besar, bahawa ia hanya satu kebetulan statistik.

Jadi bagaimana ini boleh berlaku? Sama seperti melemparkan duit syiling, kelahiran mempunyai dua kemungkinan yang sama dan oleh itu kebarangkalian untuk hamil mana-mana bayi lelaki dan perempuan adalah 0.5 atau 1/2.

Kita juga boleh mengandaikan bahawa setiap kelahiran individu boleh dianggap bebas daripada yang terdahulu di mana ibu yang melahirkan bayi perempuan tidak akan membuatkannya lebih cenderung untuk mendapatkan bayi perempuan dalam kehamilan kedua.

kampung di poland ini tidak melihat kelahiran bayi lelaki hampir 10 tahun

Maka, kebarangkalian untuk mendapatkan 2 bayi perempuan berturut-turut adalah ½ x ½ = ¼.

Lanjutan daripada hal ini, kita dapat melihat bahawa kebarangkalian 12 bayi perempuan dilahirkan berturut-turut di Miejsce Odrzanskie adalah 1/4096 atau 1 dalam 4096.

Secara berasingan, ini sangatlah tidak mungkin berlaku. Sebagai contoh, jika anda diberitahu bahawa terdapat kemungkinan 1 dalam 4000 bahawa esok akan hujan, anda pasti tidak akan membawa payung ketika keluar.

Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa kemungkinan ini berkaitan dengan soalan yang sangat spesifik: "Apakah kebarangkalian bahawa terdapatnya 12 bayi perempuan dilahirkan berturut-turut di Miejsce Odrzanskie?"

Adakah ini sesuatu yang pelik?

hampir 10 tahun bayi lelaki tidak dilahirkan di kampung di poland 2 549

Tiada apa yang istimewa mengenai bandar di Poland ini dan berita seperti ini juga akan mendapat perhatian antarabangsa jika ia berlaku di kampung di Kedah atau Perak.

Begitu juga, ia juga akan menarik perhatian ramai jika 12 bayi lelaki dilahirkan secara berturut-turut dan bukannya bayi perempuan. 

Sekiranya kita menukar soalan itu kepada: "Berapa kebarangkalian 12 bayi yang terbaru yang dilahirkan di beberapa bandar di mana-mana di seluruh dunia mempunya jantina yang sama?", maka kita melihat cerita yang berbeza sama sekali.

Pangkalan data GeoNames adalah pangkalan data dalam talian yang mengandungi butiran setiap bandar di dunia dengan populasi lebih daripada 500, dan ia mencadangkan terdapat kurang daripada 200,000 bandar-bandar sedemikian di seluruh dunia. 

kampung miejsce odrzanskie

Berdasarkan ini, kita boleh menjangkakan terdapat hampir 50 bandar di dunia dengan 12 bayi perempuan berturut-turut (1/4096 x 200,000 = 48.8), dan hampir 50 lagi dengan 12 bayi lelaki berturut-turut.

Jadi, walaupun kelahiran bayi berturut-turut ini kelihatan seperti peristiwa aneh dan unik kepada orang-orang Miejsce Odrzanskie, sebenarnya ada kira-kira 99 tempat lain di dunia di mana sesuatu yang serupa berlaku ketika ini.

Jadi, apa yang membuatkan kes ini sangat istimewa dan aneh? Sebahagian daripada sebab mengapa kes Miejsce Odrzanskie mungkin sangat mendapat perhatian adalah kerana ia melibatkan skala masa.

Miejsce Odrzanskie adalah sebuah kampung kecil yang hanya mempunyai penduduk seramai 272 orang dengan kadar kelahiran tidak lebih dari seorang setahun.

hampir 10 tahun bayi lelaki tidak dilahirkan di kampung di poland 3

Ini bermakna bahawa jangka masa kelahiran kesemua 12 bayi perempuan ini adalah selama hampir sedekad, yang mana telah menarik banyak perhatian.

Sebagai perbandingan, terdapat 6,852 bayi yang lahir di Glasgow pada tahun 2017 yang bersamaan dengan kira-kira 19 kelahiran setiap hari.

Jika 12 bayi perempuan lahir berturut-turut di kawasan ini, tidak ada sesiapa pun yang akan perasan kerana akan ada beberapa bayi lelaki dilahirkan pada hari yang sama dan sehari sebelum itu serta keesokan harinya.

Paradoks dan ilusi

hampir 10 tahun bayi lelaki tidak dilahirkan di kampung di poland 454

Ini semua adalah sebahagian daripada apa yang digelarkan oleh ahli matematik terkemuka Persi Diaconis sebagai "the blade of grass paradox" atau "paradoks helaian rumput".

Terdapat berjuta-juta helaian yang boleh anda pilih dan tidak kira mana yang anda pilih, peluang anda mendapat helaian yang tertentu adalah satu dalam beberapa juta.

Setiap hasil yang mungkin adalah sangat tidak mungkin, tetapi salah satu daripadanya tetap perlu berlaku.

Ini adalah idea yang serupa dengan Loteri Kebangsaan UK di mana 6 angka pada tiket loteri anda mempunyai kira-kira satu dalam 45 juta peluang untuk menang, tetapi sudah tentu ada akan yang memenangi loteri kerana 6 nombor itu sebenarnya diambil daripada mesin. 

Secara semula jadi, manusia adalah agak teruk dalam mengenal pasti dan memahami sesuatu yang rawak, terutamanya kerana otak kita berfungsi pada pengertian pengenalan corak.

hampir 10 tahun bayi lelaki tidak dilahirkan di kampung di poland 4

Konsep melihat corak dalam data rawak ini mempunyai beberapa nama tetapi sering dikenali sebagai ilusi cluster, atau "hot hand fallacy".

Jika kita berbalik kepada kes bayi di Miejsce Odrzanskie, urutan PPLLPLPLLPLL (L untuk lelaki dan P untuk perempuan) juga mempunyai kebarangkalian 1/4096 untuk berlaku.

Itu kerana ia dicapai oleh 12 peristiwa rawak berturut-turut, masing-masing dengan kebarangkalian ½, sama dengan urutan PPPPPPPPPPPP.

Tetapi jika ini telah berlaku sejak sedekad yang lalu di Miejsce Odrzanskie, maka tiada siapa yang akan mengambil peduli hal ini kerana ia kelihatan agak "normal". 

Memahami jenis-jenis paradoks yang wujud ini pada dasarnya adalah mengapa wujudnya ahli statistik.

Daripada menjawab soalan : "Apakah kebarangkalian ini berlaku?", kita sebaliknya melihat secara terbalik: "Hal ini telah berlaku, apakah kebarangkalian hal ini berlaku hanya disebabkan rawak?"

Berfikir tentang dunia dengan cara ini membantu kita menyedari bahawa banyak perkara yang kelihatan mustahil, seperti 12 bayi perempuan lahir berturut-turut di Miejsce Odrzanskie, sebenarnya adalah sangat normal dan memang dijangkakan.

Rujukan:

1. Insider

2. Science Alert

3. Curiosity

4. Telegraph




Hakcipta iluminasi.com (2017)