Pada pagi 11 September 1985, seorang lelaki tua di Kentucky, Amerika Syarikat, terkejut apabila terlihat mayat seorang lelaki berada di hadapan rumahnya. Namun, itu bukanlah satu-satunya kejutan pada hari itu. Lelaki tua itu menelefon pihak polis bagi memaklumkan situasi yang berlaku.

lokasi mayat andrew thornton ii ditemui

Lokasi mayat ditemui

Pihak polis tiba tidak lama kemudian dan mula menyiasat mayat yang 'luar biasa' itu. Mayat lelaki itu dikenal pasti sebagai Andrew Thornton II yang berusia 40 tahun.

Bukan mayat biasa

Mayatnya ditemui memakai baju kalis peluru, beg payung terjun, night vision goggle dan kasut Gucci. Bersama-samanya juga ditemui dua pucuk pistol, wang tunai ribuan dolar dan kokain bernilai sekitar RM 60 juta. Polis dengan mudah mengecamnya sebagai seorang penyeludup dadah. 

Namun, Andrew bukanlah penyeludup dadah biasa. Dia sebenarnya adalah seorang bekas pegawai narkotik, penerjun bebas dan peguam. Dia dipercayai menjadi penyeludup dadah untuk kartel yang dikenali sebagai "The Company".

Dia dilahirkan dalam keluarga kaya dan terkenal sebagai penternak kuda di Kentucky. Selepas tamat sekolah, dia menyertai tentera dan ditugaskan dalam unit payung terjun di Republik Dominika yang mengalami perang saudara. 

andrew thornton ii 857

Andrew Thornton II 

Andrew juga merupakan penerima pingat Purple Heart setelah cedera di Republik Dominika dan menyertai Jabatan Polis Daerah Lexington-Fayette Urban pada 1968. Rakan sekerjanya menggelar Andrew sebagai "007" kerana kehebatan dan keberaniannya. 

 Bekas isterinya, Betty Zairing, menggambarkan Andrew sebagai pahlawan terlatih dan pembunuh hebat yang dibentuk oleh kerajaan Amerika. Betty memberitahu bahawa Andrew sangat gembira apabila diterima menyertai pihak berkuasa kerana dia dapat beraksi dan menguji dirinya.

Memilih jalan yang salah

Pada tahun 1977, Andrew meletak jawatan dan menyertai syarikat keselamatan swasta yang ditubuhkan rakannya, Bradley Bryant. Ketika inilah Andrew mula terlibat dengan pihak yang salah. Dia juga pernah dipenjara kerana terlibat dengan penyeludupan Kanabis.

Berbalik kepada kisah tadi, Andrew terbang dari Colombia membawa beberapa bungkusan besar kokain yang dijatuhkan di beberapa lokasi untuk diedarkan. Setelah meletakkan pesawatnya dalam keadaan autopilot, dia kemudian terjun dari pesawat itu.

cessna 404

Contoh pesawat Cessna 404

Malangnya, kepala Andrew terhantuk pada ekor pesawat dan dipercayai tidak sedarkan diri sehingga menyebabkannya jatuh ke tanah tanpa membuka payung terjun. Sementara itu, pesawat Cessna 404 yang dipandu Andrew ditemui terhempas hampir 100 km dari tempat mayatnya ditemui.

Pihak berkuasa mula menyiasat dan menemui sembilan bungkusan besar kokain yang dijatuhkan di laluan yang digunakan pesawat itu. Kes itu dianggap selesai tidak lama kemudian.

Pablo EskoBear aka Beruang Kokain

Tiga bulan kemudian, seekor beruang seberat 80kg ditemui mati di Hutan Negara Chattahoochee di Georgia, tidak jauh daripada bangkai pesawat Cessna 404 yang dipandu Andrew.

Lebih mengejutkan, bangkai beruang itu dikelilingi oleh 40 bungkusan plastik terbuka yang mengandungi kesan kokain. Beruang itu dipercayai mati kerana memakan kokain sebanyak hampir 35 kg.

pablo escobear beruang kokain 481

Gambar hiasan

beruang kokain

Pablo EskoBear aka Beruang Kokain sebenar

Pemeriksa perubatan yang melakukan bedah siasat terhadap beruang itu memberitahu bahawa perut haiwan itu dipenuhi dengan kokain. Menurut pemeriksa itu lagi, beruang itu mengalami pendarahan otak, kegagalan pernafasan, hipertermia, kerosakan jantung dan ginjal serta strok.

Walau bagaimanapun, keadaan fizikal beruang itu masih kelihatan baik. Pemeriksa itu kemudian menghantar bangkai beruang itu untuk diawet dan dijadikan sebagai tarikan pelancong di Pusat Rekreasi Sungai Chattahoochee. 

Apabila pusat rekreasi itu mengalami kebakaran, para pekerja sempat memindahkan Beruang Kokain itu ke sebuah gudang di Dalton sebelum ia dicuri tidak lama kemudian. Beruang itu kemudian dijual di sebuah kedai pajak gadai dan tanpa mengetahui latar belakangnya, pemuzik country legenda Waylon Jennings membelinya.

Jennings kemudian menghadiahkan patung beruang itu kepada rakannya Ron Thompson yang tinggal di Las Vegas. Setelah Thompson meninggal dunia, kebanyakan barangnya dilelong termasuklah Beruang Kokain itu.

Beruang Kokain itu telah dibeli oleh seorang pemilik kedai perubatan tradisional Cina bernama Zhu T'ang di Reno. Beruang itu ditempatkan di kedainya selama beberapa tahun.

elizabeth banks

Elizabeth Banks

Beruang Kokain itu akhirnya berjaya dijejaki oleh akhbar Kentucky for Kentucky dan dibawa pulang semula ke Kentucky pada 2016. Ia ditempatkan di Pasaraya Kentucky Fun di utara Lexington sebagai tarikan pengunjung.

Beruang Kokain aka Pablo EskoBear mungkin akan menjadi lebih terkenal tidak lama lagi. Kisah menarik beruang yang memakan 40 bungkusan kokain ini akan dijadikan filem dan diarahkan oleh pelakon terkenal Elizabeth Banks.



Hakcipta iluminasi.com (2017)