Oleh pada 16 Dec 2017 kategori

Hari ini, kami cuba menguraikan satu persoalan yang pasti sudah lama berlaku dan menjadi tanda tanya dalam hidup kita.

Kekeliruan ini perlu diperjelaskan kerana kami kerap melihat umat Islam sendiri kerap mengkritik 'Israel jahat! Jahanam Israel!" dan sebagainya tanpa memahami salasilah apa yang kita sebutkan itu. Tahukah anda maksud sebenar perkataan 'Israil' yang kita benci-bencikan sangat itu?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk memahami isu ini, kita perlu melihat kembali dari mana datangnya perkataan 'Israil' itu dulu. Nabi Yaakub as. adalah anak kepada Nabi Ishak as. dan cucu kepada Nabi Ibrahim as. sementara atas perkahwinannya dengan 4 orang isteri, Nabi Yaakub as. sendiri dikurniakan 12 orang anak.

Salah seorangnya adalah Nabi Yusuf as. dengan seorang lagi adik beradik Nabi Yusuf as. yang bernama Yahudza dikatakan sebagai nenek moyang kepada orang-orang Yahudi, namun kisah itu disimpan lain kali lah.

Nabi Yaakub as. bergelar Israel padang pasir unta langit biru

Nabi Yaakub as. dianugerahkan Allah swt. satu gelaran yang cukup cantik dan cukup indah - 'Israil', sejenis perkataan dalam bahasa Ibrani atau Hebrew yang membawa maksud 'Hamba Allah' berdasarkan perkataan 'isra' iaitu hamba dan 'Ilah' iaitu Tuhan.

Jadi, perkataan 'Israil' yang kita sebut-sebut sebagai jahat dan jijik itu, sebenarnya membawa maksud 'Hamba Tuhan' dalam bahasa Hebrew dan mempunyai maksud yang sama dengan nama 'Abdullah' yang diambil daripada Bahasa Arab.

Ini bertepatan dengan salah satu firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 93; "Semua makanan adalah halal bagi Bani Israil melainkan makanan yang diharamkan oleh Israil (Ya'qub) untuk dirinya sendiri sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah: "(Jika kamu mengatakan ada makanan yang diharamkan sebelum turun Taurat), maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kamu orang-orang yang benar."

Jacob menukarkan namanya menjadi Israel

gurun pada waktu malam

Perlu diperjelaskan di sini, menurut kepercayaan orang Kristian - kisahnya berbeza pula. Menurut kepercayaan mereka seperti yang terkandung dalam kitab Bible, dalam kisah yang dinyatakan di Genesis 32:22-32; Nabi Yaakub as. dikatakan bangun membawa keluarganya merentasi sungai sambil membawa segala harta benda yang mereka ada.

Apabila keseorangan, datang seorang lelaki yang tidak dikenalinya, menyerang dan bergusti dengan Nabi Yaakub as. sehinggalah waktu fajar. Lelaki yang tidak dikenali itu lari tulang pinggangnya akibat bergusti dengan Nabi Yaakub as. Oleh kerana tidak ada pemenang dalam pertandingan beradu tenaga mereka, lelaki itu pun meminta diri beredar namun dihalang oleh Nabi Yaakub as.

Nabi Yaakub as. dipercayai meminta lelaki itu merahmatinya terlebih dahulu. Lelaki itu pun bertanya pada Nabi Yaakub, "siapa nama mu?" Lalu Nabi Yaakub pun menjawab "Yaakub" atau 'Jacob' menurut kitab Bible.

Lelaki itupun mengarahkan Nabi Yaakub as. menukarkan namanya kepada Israel, atas kemampuan dia memenangi pertarungan tenaga dengan Tuhan. Kemudian Nabi Yaakub bertanya pada lelaki itu, siapakah nama lelaki yang tidak dikenalinya?

Lelaki itu enggan menyatakan namanya dan kemudian merahmati Nabi Yaakub. Atas kejadian itu, Nabi Yaakub pun menamakan lokasi pertembungan mereka sebagai Peniel.

Begitulah kisah menurut kepercayaan orang Kristian pula, bagaimana nama 'Israel' yang diberikan sebagai ganti kepada nama Yaakub/Jacob bermaksud 'seseorang yang telah beradu degan Tuhan dan mampu bertahan.'

Kesimpulan perbezaan dua pandangan ini

padang pasir awan langit gunung

Amat jelas di sini cukup berbeza pengertian maksud perkataan 'Israil/Israel' di antara orang Islam dengan orang Kristian, khasnya pada maksud yang dibawa dalam perkataan itu. Dua kisah ini adalah kisah paling awal yang disebutkan sebagai punca datangnya dari mana perkataan 'Israel' yang kerap kita sebutkan setiap hari.

Bagi penganut agama Islam, kami hanya ingin memperingatkan anda agar berhati-hati dalam mengutuk kekejaman Israel, kerana jelas perkataan 'Israel' pada kita, mempunyai maksud yang sangat berbeza dengan apa yang kita dapat lihat melalui iklim politik dunia.

Jika anda tanya pada kami, apa yang lebih baik - kami sarankan anda gantikan perkataan 'Israil' itu kepada 'rejim Zionist' walaupun kita tahu, kita bukannya bermaksud hendak mencerca Nabi Yaakub as.

Kami harapkan agar kita semua lebih berhati-hati mahu menyebut 'moga Israel dilaknat Allah' seperti yang kerap kita lakukan selama ini, selepas menyedari tentang perkara ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)