Pada 13 haribulan Ogos 2020, kerajaan Emiriyah Arab Bersatu atau UAE bersama-sama dengan kerajaan Israel mengumumkan kesepakatan yang berjaya dipersetujui antara kedua-dua buah kerajaan, dari segi diplomatik.

Pengumuman itu dikatakan dibuat hasil daripada tindak balas yang berlaku ketika ini, ekoran pengisytiharan penghujung Januari 2020 dibuat Presiden Donald Trump yang didakwa beliau sebagai 'solusi teragung' untuk menangani konflik Palestin-Israel.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dikecam hebat, kerajaan UAE menyifatkan apa yang dilakukan adalah satu keperluan bagi memastikan Israel menghentikan rancangan mereka melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dirancang, untuk mengambil alih sepenuhnya Tebing Barat. Hujah UAE ini, ada asasnya.

Selepas pengumuman ini dibuat, kenyataan bersama antara UAE, Israel dan Amerika Syarikat disifatkan menampakkan wujudnya persetujuan secara tidak rasmi Israel dalam menangguhkan sementara gerakan mereka, serta bersetuju untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan negara Arab lain.

Persoalannya - kenapa UAE mengambil langkah sedemikian rupa?

Kritikan wakil Palestin

warga palestin bantah tindakan uae

Tidak lama selepas pengisytiharan persetujuan mewujudkan hubungan diplomatik antara UAE dan Israel, reaksi wakil Palestin kedengaran keras.

Jamal Mhaisen, salah seorang pemimpin kanan parti Fatah yang memerintah di Tebing Barat mendesak agar negara-negara Arab lain mengenakan tindakan keras ke atas tindakan terbaru UAE.

Tindakan UAE itu disifatkan beliau, sebagai langkah besar dalam memecahbelahkan lagi masyarakat Arab di situ agar berbeza-beza pendapat dalam isu melibatkan Palestin.

Majoriti negara Arab lain mendiamkan diri daripada membincangkan isu tersebut, kecuali Mesir dan Bahrain.

Mesir yang juga merupakan negara Arab pertama mengiktiraf kedudukan Israel di Asia Barat, melalui Presiden mereka Abdel Fatah al-Sisi memuji langkah itu sebagai usaha utama yang bakal membawa perdamaian dan keamanan di rantau itu.

Kerajaan Bahrain yang turut sama dilaporkan bakal menjadi kerajaan seterusnya menerima Israel secara rasmi, menyifatkan kepimpinan UAE telah mengambil langkah yang terbaik yang mampu mengubah ketegangan yang telah berlangsung berdekad lamanya.

Israel pula gembira mengumumkan bahawa selepas UAE, mereka juga dalamlangkah awal untuk menandatangani perjanjian serupa dengan kerajaan Oman dan Sudan serta secara tidak rasmi mengesahkan perbincangan dengan Bahrain, sudah memasuki fasa akhir.

Perpecahan Liga Arab

menteri uae dan menteri israel bersalaman

Tindakan UAE mengiktiraf Israel ini disifatkan satu tamparan besar ke atas inisiatif Liga Arab sendiri, yang pernah mewujudkan usaha serupa pada tahun 2002 melalui Piagam Beirut - diketuai Arab Saudi.

Dalam persetujuan yang dicapai pada 27 Mac 2020 itu, negara-negara Arab sebanyak 10 negara kesemuanya bersetuju untuk bersatu menggesa Israel keluar daripada kawasan orang Arab mengikut garis sempadan Palestin/Israel pra 4 Jun 1967.

Selain itu Liga Arab juga bersetuju status negara Palestin di kawasan-kawasan asal mereka khasnya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, dipulihkan bagi membolehkan masyarakat Palestin kembali meneruskan hidup seperti sebelum pencerobohan Israel.

Sebagai ganjaran Israel untuk menuruti desakan yang telah dibuat, Liga Arab bersetuju untuk menamatkan konflik Arab-Israel sepenuhnya dan mewujudkan kerjasama dengan Israel secara rasmi.

Permintaan Liga Arab itu bagaimanapun ditolak Israel mentah-mentah kerana menyifatkan akan membuka pintu masuk pelarian Palestin ke 'negara mereka.'

Siri-siri perbincangan bagi mencari jalan meneruskan inisiatif ini terus buntu, ekoran kedegilan Israel serta kritikan terhadap dasar inisiatif itu, yang dikatakan memerlukan pengorbanan besar dari pihak Israel.

Perubahan demi perubahan dilakukan bagi membolehkan kedua-dua pihak bersetuju dengan permintaan yang ada, khasnya era Presiden Barrack Obama yang memainkan peranan besar menjadi orang tengah rundingan.

Adakah masyarakat Arab sudah mengalah?

kenapa uae iktiraf israel

Kesemua persetujuan untuk mewujudkan kerjasama dengan Israel apabila berkait dengan negara Arab sebelum ini, pasti membabitkan syarat besar mereka; Israel perlu keluar meninggalkan Palestin dan kembali mengikut garis sempadan pra-1967 sebelum sebarang bentuk kerjasama akan dibentuk.

Bagaimanapun, selepas UAE bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Israel, banyak pihak merasakan UAE telah berpaling tadah terhadap persetujuan yang dicapai sesama mereka - walaupun UAE cuba meyakinkan pengkritik mereka masih berpegang teguh dengan Piagam Beirut.

Namun dalam perjanjian yang telah berjaya dicapai antara kedua-dua kerajaan, UAE tidak lagi menyuarakan permintaan serupa sebaliknya meringankan desakan tanpa benar-benar mensyaratkan agar Israel menarik balik tenteranya dari bumi Palestin.

Mesir bersetuju mengiktiraf Israel dalam perjanjian tahun 1979 asalkan Israel bersetuju mengembalikan Semenanjung Sinai kepada mereka, yang telah dirampas pada tahun 1967.

Negara Jordan pula menjadi negara kedua mengiktiraf Israel dalam Perjanjian Oslo pada tahun 1994, bagi memperkukuhkan lagi hubungan ekonomi, pelancongan dan perdagangan antara kedua-duanya. Kerjasama Jordan dan Israel dimeterai hasil usaha Amerika Syarikat ketika era Bill Clinton.

Seandainya tiada penghalang, UAE bakal menjadi negara Arab ketiga mengiktiraf Israel melalui persetujuan yang dinamakan sebagai 'Abraham Accord.'

Sama ada UAE bertindak sedemikian rupa disebabkan sudah mengalah akibat simpati terhadap nasib Palestin atau punya kepentingan lain yang lebih besar dan membawa faedah kepada mereka - belum dapat kita jangka lagi.

Rujukan

Joint Statement of the United States, the State of Israel, and the United Arab Emirates




Hakcipta iluminasi.com (2017)