Oleh pada 21 May 2018 kategori

Kami pernah berkongsi mengapa kita memanggil Amerika Syarikat dengan nama tersebut. Tetapi salah satu persoalan yang belum dijawab adalah mengapa Amerika digelarkan Amerika? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu mengetahui tentang kisah seorang pelayar Itali bernama Amerigo Vespucci.

Amerigo Vespucci adalah individu yang namanya digunakan sebagai nama kepada benua Amerika yang kita kenali sekarang. Bagaimana nama Amerigo dipilih sebagai nama kepada benua Amerika adalah satu kisah sejarah yang cukup menarik untuk diceritakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah Amerigo Vespucci

amerigo vespucci

Amerigo Vespucci adalah seorang warga Itali yang lahir di Florence pada 9 Mac 1454. Berkongsi nama dengan Datuknya sendiri, Amerigo dibesarkan untuk menjadi seorang peniaga sejak kecil. Beliau berkenalan dengan salah seorang ahli keluarga Medici yang memerintah Florence, Lorenzo de Medici yang melantik dia untuk bekerja sebagai kerani kewangan.

Kepercayaan keluarga Medici pada Amerigo semakin bertambah, sehinggakan Amerigo dilantik untuk menguruskan masalah pecah amanah yang berlaku di pejabat-pejabat pentadbiran milik Medici yang terletak di luar negara. Ini membuka peluang kepada Amerigo untuk berurusan dengan pentadbir-pentadbir negara asing serta membina persahabatan dengan individu-individu berpengaruh Eropah ketika itu.

Perjanjian di antara kerajaan-kerajaan di Eropah yang berlaku pada tahun 1495, membuka jalan kepada pedagang dan pelayar menjelajah ke luar negara melalui penawaran lesen pelayaran. Amerigo yang pada ketika itu bekerja di Sepanyol mula terlibat dengan pelbagai urusan kontrak melibatkan urusniaga pembinaan dan penjualan kapal yang membuatkan dia mula belayar di lautan, dalam memastikan urusan diselesaikan dengan sempurna.

Amerigo pelayar lautan

kapal layar zaman dulu

Dalam satu pelayaran Amerigo yang ditaja oleh pemerintah Portugal, Raja Manuel I, ekspedisi mereka sampai ke satu benua yang dijangkakan terletak di Asia. Bagaimanapun, Amerigo tidak bersetuju dengan pendapat mereka yang lain.

Beliau percaya 'dunia baru' yang mereka temui itu bukanlah sebahagian daripada Asia tetapi sebenarnya satu benua lain yang belum lagi dinamakan. Pengalamannya belayar di kapal ditulis dan dibukukan lalu diterbitkan daripada tahun 1502 hingga 1504. Pendedahan yang dilakukan Amerigo berkenaan 'dunia baru' itu membantu menjadikan hasil tulisannya sangat popular bagi masyarakat ketika itu.

Hasil penceritaan Amerigo menjadi inspirasi kepada seorang pelukis peta dari Jerman, Martin Waldseemuller yang mahu mencerap semula peta dunia berpandukan kandungan tulisan.

Pada tahun 1507, Martin siap melukis semula peta dunia dengan memasukkan benua baru yang diceritakan dalam kisah Amerigo. Bagi menghormati Amerigo sebagai individu pertama yang menemui dan mengesahkan kewujudan benua baru itu, Martin menamakan benua tersebut dalam lukisan petanya berdasarkan nama Amerigo dalam bahasa latin, Americus Vespuccius atau Tanah Americus.

Malangnya, pada waktu yang sama peta itu sedang diusahakan, Martin serta dua orang sarjana yang membantunya tidak menyedari Christopher Colombus sebenarnya sudah menemui benua tersebut terlebih dahulu.

Permulaan penggunaan nama America pada peta dunia

peta dunia waldseemuller

Peta dunia sebesar 8 kaki panjang dan 4 kaki lebar yang telah disiapkan oleh Martin dipamerkan kepada orang ramai dengan nama 'America' dipaparkan di atas tanah yang kini menjadi negara Brazil, pada tahun 1507.

Oleh kerana peta dunia tersebut dilukis berdasarkan catatan yang dibuat oleh Amerigo, peta tersebut pada peringkat itu hanya mengandungi bahagian Amerika selatan, berikutan ketiadaan pengesahan tentang kewujudan bahagian Amerika utara yang hanya berlaku beberapa tahun.

Walaupun begitu, pada tahun 1516 - Martin menambah baik peta dunia lukisannya dan mengubah nama 'America' kepada dua nama berasingan. Amerika utara dinamakan sebagai 'Terra de Cuba' dan Amerika selatan dinamakan 'Terra Nova.' Dalam tulisan yang mengiringi peta baru beliau, Martin mengakui berlaku kesilapan dalam peta lamanya namun penerangan yang lebih jelas gagal diperolehi. Sehingga kini mengapa perubahan itu dilakukan tetap menjadi misteri.

Hanya pada tahun 1538, di dalam peta dunia yang dilukis pelukis peta terkenal zaman tersebut Gerardus Mercator, Gerardus memilih untuk menggabungkan kedua-dua kawasan Amerika utara dan selatan di bawah satu nama sahaja - America.

Nasib Christopher Columbus memang tidak bernasib baik. Walaupun sekarang ini diiktiraf sebagai individu pertama yang menemui benua Amerika lebih awal, Christopher tersalah langkah dalam dua perkara.

Yang pertama, dia melakukan kesilapan kerana tidak menjangka benua yang ditemuinya, adalah benua baru yang belum direkodkan. Yang kedua, Christopher tidak menerbitkan sebarang bentuk tulisan untuk mengumumkan kepada orang awam penemuannya.

Amerigo Vespucci menjadi orang pertama yang menerbitkan bentuk tulisan berkenaan benua Amerika dan juga menjadi orang pertama yang memperkenalkan terma 'dunia baru' atau 'new world' kepada masyarakat dunia. Malang bagi Christopher, untung bagi Amerigo.

Apa berlaku pada peta Martin Waldseemuller?

peta dunia pertama ada amerika di bangunan kongres

Peta asal yang dilukis oleh Martin Waldseemuller yang kini dikenali dengan nama 'Waldseemüller map' adalah peta dunia pertama yang memaparkan nama Amerika di dalamnya. Martin menganggarkan ada satu ribu salinan peta tersebut dicetak namun hanya satu berada dalam keadaan lengkap.

Peta yang lengkap tersebut hilang beratus tahun lamanya sebelum ditemui pada tahun 1901 di sebuah perpustakaan di Wurttemberg, Jerman oleh seorang ahli kaji sejarah bernama Joseph Fischer. Peta asli tersebut kemudiannya disimpan di situ sehingga tahun 2001, apabila kerajaan Amerika Syarikat membeli peta tersebut dengan harga USD10 juta.

Kini, peta lukisan Martin Waldseemuller dipamerkan di bangunan kongres Amerika Syarikat, disimpan dalam sebuah bekas khas yang dicipta untuk mengekalkan kualiti lukisan asal Martin Waldseemuller.

Rujukan

Reuters




Hakcipta iluminasi.com (2017)