Di pelabuhan Newport di Rhode Island (negeri terkecil di Amerika Syarikat), terletak sebuah rumah api kecil yang diberi nama Ida Lewis.
Nama ini diberikan bersempena nama penjaga rumah api yang tersangat berani dan telah menjaga rumah api ini selama lebih dari 50 tahun.
Ida Lewis yang dilahirkan di Newport pada tahun 1842 merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik kepada Kapten Hosea Lewis.
BESARKAN TEKS A- A+
Ida pertama kali sampai di Pulau Lime Rock pada tahun 1854 ketika berusia 12 tahun, ketika bapanya bertugas sebagai penjaga rumah api di situ.
Dikenali sebagai Rumah Api Lime Rock pada awalnya, ia merupakan sebuah menara granit dilengkapi dengan lensa Fresnel dan pelita minyak tanah.
Untuk sampai ke rumah api ini, Kapten Hosea terpaksa mendayung 200 meter setiap hari, yang merupakan satu perkara mustahil pada ketika itu terutamanya ketika laut bergelora.
Jadi pada tahun 1857, sebuah rumah dua tingkat dibina untuk penjaga rumah api dan membuatkan Kapten Hosea dan keluarganya berpindah ke rumah baharu mereka di pulau tersebut.
Kurang dari empat bulan selepas keluarga ini berpindah ke Lime Rock, Kapten Hosea diserang strok.
Dengan ini, Ida dan adik-beradiknya mengambil alih banyak tugasan rumah api tersebut termasuklah mengisi lampu dengan minyak pada ketika matahari terbenam dan sekali lagi pada tengah malam, memotong sumbu, membuang karbon dari reflektor, dan memadamkan api pada waktu subuh.
Ida juga menjaga adik-adiknya dan menghantar mereka ke sekolah setiap hari menaiki perahu serta mendapatkan bekalan dari bandar mengikut keperluan.
Kemahiran Ida dalam mengendalikan perahu yang berat semakin meningkat dan pada usia 15 tahun, Ida telah terkenal sebagai perenang terbaik di Newport.
Selama lebih 20 tahun, Ida membantu ibunya menjaga rumah api itu sehinggalah dia dilantik secara rasmi sebagai penjaga rumah Lime Rock pada tahun 1879 dengan gaji lumayan sekitar $750 setahun atau RM7,128 hari ini.
Kali pertama Ida menyelamatkan nyawa adalah ketika dia baru berusia 12 tahun iaitu menyelamatkan 4 orang lelaki dewasa selepas bot mereka terbalik.
Tindakan menyelamatkan nyawa di lautan paling terkenal dilakukan Ida yang mendapat perhatian negara berlaku pada tahun 1869, apabila dia menyelamatkan dua orang tentera selepas bot mereka terbalik akibat ribut musim sejuk.
Ibu Ida ternampak dua orang tentera tersebut sedang berpaut pada bot yang terbalik dan lantas mengejutkan Ida. Ida dengan pantas berlari ke arah bot rumah api tanpa sempat memakai kot atau kasut.
Apabila Ida sampai di lokasi dua tentera tersebut, salah seorang daripada mereka ternampak Ida dan terkejut bahawa mereka diselamatkan oleh seorang wanita.
Pautan tentera tersebut hampir-hampir terlepas namun Ida sempat menarik rambutnya dan menariknya ke dalam perahu.
Tentera-tentera tersebut kemudiannya memberikan jam tangan emas mereka kepada Ida sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan nyawa mereka, dan penduduk Newport menghadiahkannya sebuah bot.
Kemahsyuran Ida tersebar dengan begitu pantas berikutan tindakan beraninya itu, membuatkan dia muncul dalam beberapa majalah termasuklah New-York Tribune, Harper's Weekly, Leslie's dan banyak lagi.
Malah, Persatuan Penyelamat Nyawa New York menganugerahkan pingat perak kepada Ida. Tidak cukup dengan itu, satu perbarisan diadakan untuk menghormatinya di Newport pada Hari Kemerdekaan, diikuti dengan penyampaian perahu diperbuat daripada kayu mahagoni.
Pada tahun 1881, Ida dianugerahkan Pingat Penyelamat Emas yang jarang berlaku dari kerajaan Amerika Syarikat dan merupakan wanita pertama yang menerima anugerah ini.
Ini berikutan tindakan Ida pada 4 Februari 1881 di mana dia menyelamatkan 2 tentera dari Fort Adams telah jatuh melalui ais ketika cuba pulang ke kubu mereka dengan berjalan kaki.
Ketika berkhidmat selama 54 tahun di Lime Rock, Ida dipuji kerana telah menyelamatkan 18 nyawa, walaupun laporan tidak rasmi mengatakan bahawa dia telah menyelamatkan 25 nyawa.
Kali terakhir Ida dilaporkan menyelamatkan nyawa di lautan adalah ketika berusia 63 tahun.
Sepanjang hayatnya, Lewis digelar sebagai "Wanita Paling Berani di Amerika" dan kisahnya diperincikan dalam akhbar nasional.
Ida Lewis meninggal dunia pada tahun 1911 ketika berusia 69 tahun selepas mengalami strok.
Pada tahun 1924, badan perundangan Pulau Rhode secara rasmi menukar nama Lime Rock menjadi Ida Lewis Rock.
Tiga tahun kemudian, rumah api itu dikendalikan secara automatik dan akhirnya pada tahun 1963, ia tidak lagi digunakan.
Rujukan:
2. New England Historical Society
3. Planets