Duit dan sistem matawang moden mempunyai perbahasan yang cukup aktif di kalangan ahli masyarakat, khasnya masyarakat Melayu Muslim di Malaysia.

Ada di antara kita memegang tanggapan yang sangat buruk berkenaan sistem matawang dunia ketika ini dengan pengungkapan pelbagai jenis hujah. Apakah matawang yang digunakan semasa era Rasulullah saw. menjalankan dakwah Baginda?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mampukah anda menjawab soalan ini terlebih dahulu, sebelum terlajak membicarakan berkenaan hukum matawang fiat yang kerap kali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat kita?

Apakah matawang era Rasulullah saw.?

matawang byzantine kegunaan masyarakat islam

Tidak ramai tahu atau sedar ketika era Rasulullah saw., Baginda tidak menganjurkan sebarang bentuk gerakan perubahan bagi menggantikan sistem matawang sedia ada yang telah digunakan masyarakat Arab sebelum zaman baginda.

Menurut penyelidik sejarah Islam, mereka percaya matawang yang diguna ketika itu masih berasaskan sebahagaian besarnya kepada sistem matawang anjuran Empayar Byzantium atau Empayar Rom Timur.

Selain itu masyarakat Mekah dan Madinah juga menggunakan sistem matawang yang dikeluarkan Empayar Sasan, empayar berorientasikan kepercayaan Zoroastrian bertapak di Parsi. Kedua-dua sistem matawang ini sudah mula digunakan oleh sejak abad ke 2 dan ke 3.

Dua jenis matawang utama keluaran Byzantine dan Sasan, dikenali dengan nama matawang Denarius dan Drachm.

Dinar dan dirham adalah ciptaan orang Yunani?

sejarah asal usul sistem matawang dinar dirham zaman nabi

Denarius adalah standard matawang Rom yang telah wujud sebelum era Byzantine lagi, diperbuat daripada perak dengan unit nilai 10.

Namanya diambil dari istilah Latin 'deni' yang membawa makna 'sepuluh.' Sementara itu matawang Drachm atau Drahm empayar Sasan, merupakan kepingan logam perak tulen seberat 4g dengan diameter 25 ke 30mm.

Nama 'drachm' datang daripada istilah Yunani kuno 'drakhme' yang membawa makna 'memiliki sesuatu.' Kenapa perlu diceritakan secara ringkas kedua-dua jenis matawang ini?

Nama matawang itu cukup serasi dengan sistem ekonomi masyarakat Arab, yang ketika itu sudah mula menggelarkan wang itu 'dinar' untuk 'denarius' dan 'dirham' untuk 'drachm.'

Dua jenis matawang ini meluas sekali penggunaannya dalam urusan jual beli, tanpa Rasulullah saw. mengubahnya walaupun sudah tertubuh negara Islam pertama. Situasi itu kekal selepas kewafatan Baginda, sehingga tamat era Khalifah Abu Bakar.

Pada era Khalifah Umar al-Khattab, barulah wujud usaha kerajaan untuk memulakan pembentukan sistem matawang sendiri dengan pengenalan matawang dirham pertama.

Peranan besar Khalifah Umar memodenkan matawang Islam

duit perak umar al khattab

Sistem kewangan kerajaan Islam ketika era Rasulullah saw. dan Abu Bakar sangat ringkas kaedahnya.

Tidak wujud badan yang bertanggungjawab menyimpan dana yang diterima kerajaan disebabkan oleh budaya ketika itu, yang mana pemerintah akan terus mengagihkan dana yang mereka terima kepada yang memerlukan.

Tidak juga wujud keperluan menggajikan pekerja dan kerajaan Islam juga tidak memerlukan perbelanjaan sebagai sebuah badan khas. Penyebaran Islam yang berlaku dengan giat ketika pemerintahan Umar al-Khattab, membolehkan harta rampasan perang yang banyak diperolehi.

Di atas keperluan untuk mewujudkan satu organisasi khas bagi menyelia pendapatan kerajaan, Khalifah Umar memulakan badan penyelia dana kerajaan - mengambil inspirasi daripada kaedah yang diamalkan Empayar Byzantine.

Walau bagaimanapun, matawang berasaskan Byzantine khasnya masih dicorakkan dengan ukiran-ukiran yang kurang sesuai dengan masyarakat Islam, jadi Umar mula menggerakkan usaha untuk menggantikan matawang tersebut dengan matawang berorientasikan kerajaan Islam.

Pengenalan standard piawaian matawang Islam

pengenalan matawang dinar emas

Bagi mencipta ketepatan dalam ukuran matawang yang digunakan, Khalifah Umar memperkenalkan standard yang menentukan tahap berat piawai sepatutnya untuk dinar dan dirham yang berbeza, disebabkan oleh perbezaan jenis-jenis matawang yang ada ketika itu.

Sekeping matawang dinar haruslah diperbuat daripada emas tulen seberat 4.25 gram dan setiap kepingan dirham pula, ditempa daripada 3 g perak tulen; berdasarkan unit ukuran sekarang.

Khalifah Umar memperkenalkan matawang dirham pertama kerajaan Islam berdasarkan kepada matawang kerajaan Sasan, tetapi diukir dengan ayat berorientasikan masyarakat Muslim.

Pada era Khalifah Abdul Malik bin Marwan, khalifah kelima empayar Umayyah barulah satu standard lengkap matawang kerajaan Islam diperkenalkan dengan pengenalan matawang dirham dan dinar sendiri tanpa ada peminjaman elemen kerajaan luar.

Dinar emas pertama bersifat asli keluaran kerajaan Islam ditempa kali pertama pada tahun 77H/696M mempunyai berat logam emas sebanyak 4.25g atau 1 mitqhal menukarkan matawang dinar 'Denarius' yang sebelum itu diperbuat oleh perak kepada emas.

Ada pendapat mengkritik pengenalan standard yang dilakukan Abdul Malik bin Marwan, disebabkan perbezaannya dengan standard era Rasulullah saw., yang dibentuk berdasarkan kaedah masyarakat Byzantine digelarkan sebagai 'siliquae' atau qirat (karat) dalam bahasa Arab, bagi menentukan nilai matawang.

Sistem kiraan Abdul Malik menggunakan kiraan 4.25g emas bagi setiap dinar berbanding 4.5g ketika era Rasulullah saw. Sementara itu dirham era Abdul Malik juga lebih ringan, hanya mempunyai berat 2.97g berbanding dirham era Rasulullah yang mempunyai berat 4g.

Perbezaan ini sedikit sebanyak mengubah standard yang telah dikekalkan masyarakat Islam sejak bermulanya pemerintahan Rasulullah saw. dan masih menjadi perdebatan sehingga ke hari ini.

Rujukan

The Islamic Monetary Standard: The Dinar and Dirham (PDF)

DINAR EMAS DALAM ISLAM (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)