Di Malaysia, ada banyak pihak yang setiap masa memerhatikan naik turun nilai kadar tukaran Ringgit Malaysia dengan matawang US Dollar, atas sebab tertentu.
Mereka mungkin bertugas sebagai penganalisis ekonomi dan kewangan, peniaga matawang atau mungkin juga sekadar pemerhati politik yang mahu mencari hujah dalam menyebarkan berita positif atau negatif berkait kesan matawang kepada ekonomi kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi sesetengah kumpulan kecil negara, isu sebegini tidak berlaku kerana kerajaan mereka memilih untuk menjalankan sistem matawang mereka terus menggunakan matawang negara lain. Apakah negara itu dan kenapa mereka memilih jalan sedemikian rupa?
1. Ecuador
Negara Ecudador merupakan antara negara yang telah memilih untuk menjalankan semua urusan transaksi matawang mereka dengan menggunakan matawang US Dollar, bagi menggantikan matawang asal mereka iaitu Sucre.
Perubahan ini yang dilangsungkan pada tahun 2000, dibuat pemerintahan Ecuador era tersebut kerana mereka merasakan sistem bank berpusat atau bank negara mereka kurang efisien dan gagal menangani kelembapan ekonomi dengan baik.
Langkah ini dilihat berjaya membantu mencegah masalah seperti perbelanjaan luar kawalan, yang seterusnya mengawal masalah inflasi hiper yang pernah melanda negara tersebut semasa masih mengamalkan matawang sendiri.
2. El Salvador
Sebuah negara kecil, El Salvador terkenal dengan reputasi sebagai antara sarang penjenayah disebabkan oleh tingginya kadar pengangguran dan masalah kemiskinan di kalangan ahli masyarakat mereka.
Bagi membantu menangani polemik ini daripada semakin membarah, kerajaan El Salvador menjadikan US Dollar sebagai matawang rasmi mereka pada tahun 2001, bagi meningkatkan tahap pelaburan asing ke negara itu.
Bagaimanapun pertukaran ini membawa kepada masalah lain - jumlah aliran wang tunai yang keluar daripada negara mereka dilaporkan sangat tinggi dan mereka tidak punya kuasa menangani apa yang berlaku, kerana terikat dengan dasar monetari kerajaan Amerika Syarikat.
Oleh kerana itulah beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan El Salvador cuba mempraktikkan penggunaan matawang digital Bitcoin sebagai alternatif kepada rakyat mereka.
3. Timur Leste
Tahap kewangan ekonomi dan kewangan yang kecil serta terhad, menjadi faktor utama mendorong pemerintah Timor Leste menamakan US Dollar sebagai matawang rasmi mereka, selepas keluar daripada gabungan Indonesia pada tahun 1999 ke 2000.
Walaupun demikian, disebabkan kedudukan geografinya yang unik serta pengaruh negara lain, beberapa matawang lain seperti Dollar Australia, Rupiah Indonesia serta matawang Escudo Poretugal turut diterima kerana mereka bekas jajahan negara itu - biarpun arahan rasmi menetapkan hanya US Dollar diterima.
Unik bagi Timor Leste, biarpun secara rasmi hanya US Dollar diterima, sistem syiling Portugal yang dinamakan sebagai Centavo turut diterima baik di sana.
Langkah Timor Leste ini biarpun pada mulanya dilihat berkesan, masih gagal menangani isu kos sara hidup di sana. Ini kerana jika dibandingkan kos barangan yang sama di Indonesia, harganya di Timor Leste rata-ratanya pasti lebih mahal berbanding dengan harga jualan 'abang besar' mereka.
4. Kiribati
Atas faktor kedudukan geografi sebagai sebuah negara berkepulauan yang terhad serba-serbi, Kiribati mengambil langkah untuk menjadikan sistem Australia Dollar atau AUD sebagai gandingan monetari mereka.
Kiribati pada tahun 1979 cuba memperkenalkan matawang sendiri iaitu Kiribati Dollar. Bagi memperkukuhkan nilainya, kerajaan Kiribati menambat nilai matawang mereka seiring dengan nilai AUD.
Namun akhirnya tindakan ini hanya menyebabkan penduduk di sana lebih senang melakukan transaksi dalam AUD - menjadikan penggunaan Kiribati Dollar tidak lagi relevan disebabkan oleh kekukuhan nilai AUD yang dilihat lebih stabil serta bernilai.
5. Liechtenstein
Tepat 100 tahun terdahulu pada tahun 1924, Wilayah Liechtenstein memilih untuk mengamalkan penggunaan matawang rasmi Switzerland iaitu franc dan meninggalkan penggunaan krone yang diperkenalkan Austria.
Ada bermacam faktor menyumbang perkara ini. Pemerintah Austria pada ketika itu berdepan banyak sekatan ekonomi pada tahap antarabangsa, yang menyebabkan nilai krone turun. Inflasi pada tahap hiper menjadikan kos sara hidup tidak terkawal dan penduduk Liechtenstein terjejas.
Nilai kroni yang jatuh sehingga 3 kali gand memaksa pentadbiran Liechtenstein mencari jalan keluar. Mereka cuba memperkenalkan sistem matawang sendiri namun sukar untuk menangani masalah bekalan akibat kos percetakan yang besar.
Kelembapan proses itu membawa kepada bermulanya penerimaan Swiss Franc secara tidak rasmi di kalangan peniaga sebagai medium pertukaran, dengan pengenalan syarat hanya matawang Franc diterima dan kroni tidak lagi boleh digunapakai.
Sistem tidak rasmi ini berjalan sehinggalah pengumuman rasmi dibuat pada 3 Mei 1924, bahawa matawang Swiss Franc sudah boleh digunakan secara terbuka dan perubahan ini kekal diamalkan sehingga ke hari ini.