Oleh pada 15 Sep 2022 kategori

Ketika ini nilai matawang Dollar Amerika Syarikat atau USD menuju ke tahap pengukuhan, dibantu langkah kerajaan Amerika Syarikat memperkukuhkan ekonomi mereka.

Kenaikan kadar faedah yang diperkenalkan bagi mengawal inflasi serta ketidakstabilan yang kini sedang menimpa Eropah ekoran insiden di Ukraine, mengakibatkan ekonomi Amerika Syarikat merasai faedah dari segi kewangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekarang USD dilihat sebagai nilai simpanan yang selamat berbanding matawang utama lain dunia, membantu nilainya mengukuh; dibandingkan dengan matawang seperti EURO dan YEN.

Tahukah anda apakah matawang yang lebih kuat nilainya berbanding USD? Berikut adalah 7 matawang dunia yang mempunyai nilai lebih tinggi berbanding matawang utama Amerika Syarikat.

7. EURO 

matawang euro

Ketika artikel ini ditulis, matawang EUR dan USD sedang bergasak satu sama lain. Ada kalanya nilainya 1:1, ada masa memihak kepada EUR, ada masa memihak kepada USD bermula bulan Julai 2022.

Matawang EUR turun mendadak nilainya beberapa bulan lepas, sehinggakan jatuh ke paras sama dengan USD.

Uniknya, peristiwa sama hanya pernah berlaku sekali ketika tahun 2002, semasa pengenalan awal matawang EUR.

Nilai EUR1 sebelum Julai tahun 2022 adalah sekitar USD1.13-1.18, jadi perubahan ini jelas menguntungkan warga Amerika Syarikat.

Tidak diketahui berapa lama situasi ini akan kekal bertahan.

6. Dollar Cayman Island 

cayman islands dollar kyd

Dollar Cayman Island atau KYD adalah matawang yang digunakan penduduk Kepulauan Cayman, bagi menggantikan Dollar Jamaica yang pernah mereka gunakan.

Digunakan secara menyeluruh di ketiga pulau utama di sana iaitu Grand Cayman, Little Cayman dan Cayman Brac, Kepulauan Cayman terkenal di seluruh dunia sebagai lokasi lari cukai disebabkan ketiadaan dasar cukai korporat diperkenalkan di sana.

Pada tahun 1974, kerajaan Cayman Island memperkenalkan akta yang menambat nilai KYD1 kepada USD1.20, bagi melindungi nilai matawang mereka daripada naik turun nilai dan spekulasi matawang.  

Nilai itu kekal digunakan sehingga ke hari ini.

5. Pound Great Britain

matawang gbp pound sterling

Selain matawang British, Pound Great Britain (GBP) atau nama rasminya 'Sterling' adalah satu lagi matawang yang sering dijadikan perbandingan apabila kita bercakap tentang matawang asing.

Ketika ini sedang berlegar di antara GBP1 bersamaan USD1.15, Sterling adalah matawang ke-4 paling banyak digunakan di dunia sebagai medium pertukaran.

Di kawal selia oleh Bank of England; selain negara-negara dalam United Kingdom, negara lain seperti Gibraltar, Georgia Selatan, Isle of Man dan keseluruhan kawasan Antartika di bawah kawalan British turut sama menggunakan matawang jenis Sterling.

4. Dinar Jordan

Seperti Dollar Cayman Island, Dinar Jordan (JOD) juga merupakan antara matawang yang ditambat pada satu nilai khusus kepada USD.

Ketika ini nilainya adalah USD1 bersamaan 0.709 JOD atau JOD1 bersamaan USD1.41. Ada sebab kenapa nilai JOD ditambat kepada USD, diperkenalkan pada tahun 1995.

Ketidakstabilan politik yang melanda negara-negara Asia Barat serta kedudukan Jordan sendiri yang duduk di antara negara bergolak seperti Lubnan, Syria, Iraq dan Palestin memaksa tindakan sebegitu diambil.

Selain negara sendiri, matawang Jordan juga menjadi antara kaedah transaksi yang banyak digunakan penduduk Palestin yang menetap di kawasan sekitar Tebing Barat.

3. Riyal Oman

dinar oman matawang

Berapakah nilai matawang Riyal Oman jika dibandingkan dengan USD?

Pada ketika ini, nisbahnya adalah OMR1 bersamaan dengan USD2.60 dan angka itu juga berdasarkan angka yang ditambat nilainya.

Tambatan kepada USD telah diperkenalkan kerajaan Oman sejak tahun 1973 dengan beberapa perubahan nilai telah dijalankan.

Pada awalnya angka ini ditetapkan pada nilai OMR1 = USD2.895 namun dipinda kepada USD2.60 atau nilai digunapakai sekarang, pada tahun 1986.

Kekuatan nilai Riyal Oman dikatakan berpunca daripada beberapa faktor, khususnya sumber minyak Oman yang banyak, jumlah hutang negara yang rendah serta sistem kewangan Oman yang baik, mendorong banyak pelabur hadir.

2. Dinar Bahrain

bahraini dinar

Seperti Riyal Oman, matawang Bahrain iaitu Dinar Bahrain juga ditambat kepada nilai USD pada kadar BHD1 bersamaan USD2.65, lebih tinggi nilainya sedikit.

Diperkenalkan pada tahun 1965 bagi menggantikan matawang Rupi Teluk yang digunapakai sebelum itu, kerajaan Bahrain memilih untuk menambat nilai Dinar mereka atas persetujuan Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF pada nilai USD1 = BHD0.376.

Uniknya, selain Dinar Bahrain, warga Bahrain juga boleh melakukan urusniaga dengan menggunakan Riyal Arab Saudi, biasanya dikira menggunakan kadar pertukaran BHD1 bersamaan SAR10. 

1. Dinar Kuwait

kuwait dinar

Jika kebanyakan negara Asia Barat dalam senarai ini mempunyai nilai matawang yang lebih tinggi berbanding USD kerana tambatan yang dikenakan, lain pula kisahnya dengan Dinar Kuwait.

Sehingga kini Dinar Kuwait (KWD) kekal sebagai matawang paling tinggi nilainya dalam dunia, jika dibandingkan dengan mana-mana matawang sekalipun.

Termasuklah juga termasuk Dollar Amerika Syarikat. Pada ketika artikel ini ditulis, nilai KWD1 bersamaan dengan USD3.24. 

Bekalan minyak petroliam yang tinggi banyak membantu nilai matawang ini kekal bernilai, disebabkan syarat urusniaga standard kerajaan Kuwait mewajibkan semua urusan pembelian dilakukan dalam KWD. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)