Identiti rambut 'rasta' atau lebih terkenal dengan nama 'dreadlock' sehingga kini masih lagi menjadi ikutan sesetengah individu di negara kita.
Terkenal dengan cara ikatan yang unik, seseorang yang menggayakan rambut 'dreadlock' sememangnya pasti akan menjadi tumpuan disebabkan oleh gaya rambut mereka yang menarik perhatian ramai.
Sejarah ajaran Rastafari merupakan sebuah kisah perjuangan yang unik, melibatkan tekanan penjajahan dan perasaan ingin menggapai kebebasan yang patut kita pelajari, untuk lebih memahami erti sebuah penindasan.
BESARKAN TEKS A- A+
Pemberontakan daripada penguasaan kulit putih
Pada penghujung abad ke 19, ajaran yang dikenali sebagai 'gerakan Ethopia' mula wujud di beberapa lokasi bahagian selatan benua Afrika.
Gerakan ini merupakan gabungan beberapa pengikut gereja Anglican dan Methodist yang merasakan pengaruh etnik kulit putih ke atas gerakan mereka terlalu besar, sehinggakan menyukarkan etnik kulit hitam mengetuai atau menentukan hala tuju pergerakan mereka.
Disebabkan oleh sentimen anti rasisme yang menular di kalangan ahli-ahli yang tidak berpuas hati, Gerakan Ethiopia ditubuhkan khas untuk menyatukan semua segregasi-segregasi pengunjung gereja kulit hitam, menggabungkan bermacam bentuk tradisi, idea dan ideologi bagaimana untuk menjadi seorang Kristian di benua Afrika - yang dikawal oleh penjajah kulit putih.
Nama 'Ethiopia' diambil daripada petikan dalam kitab Bible "Ethiopia shall soon stretch forth its hands unto God" yang terkandung dalam Psalm 68:31.
Dengan menggunakan nama tersebut, usaha untuk menyatukan keseluruhan penganut Kristian etnik Afrika dilakukan, dengan pembukaan banyak gereja yang dinamakan sebagai 'Gereja Ethiopia', tetap mengekalkan ajaran Anglican dan Methodist yang telah diamalkan tetapi mula dikepalai etnik kulit hitam sendiri.
Putera Tafari Makonnen - Raja Jelmaan Tuhan
Leonard Percival Howell merupakan salah seorang penyokong kuat gerakan Ethiopia. Lahir pada tahun 1898, Howell berkelana ke beberapa negara luar, mencari ilmu sebelum pulang ke Jamaica sekitar tahun 1932 ketika Jamaica masih lagi dijajah oleh British.
Howell mula menjalankan kerja-kerja penyebaran ajaran Kristian yang membawa bersama ideologi Gerakan Ethiopia, bermula pada tahun 1933.
Selain itu, Howell turut sama cuba membangkitkan isu-isu berkaitan golongan miskin serta komuniti pekerja yang ditekan kerajaan, khasnya mereka yang mempunyai susur galur keturunan seorang hamba di situ - walaupun sistem perhambaan sudah dihapuskan pada tahun 1834.
Salah satu topik yang kerap diangkat Gerakan Ethiopia khasnya Howell, adalah bagaimana semua visi penyatuan masyarakat Afrika akan bermula dengan kebangkitan Putera Tafari Makonnen (gambar di atas, kiri) - pemangku Raja Ethopia sejak tahun 1916.
Seorang penganut agama Kristian Ortodoks, Putera Tafari Makonnen diangkat sebagai jelmaan Tuhan yang juga menandakan kedatangan semula kali kedua Jesus Christ.
Putera Tafari Makonnen naik menduduki takhta kerajaan Ethiopia pada tahun 1930, memperkuatkan lagi ramalan dan validasi yang diperkatakan ke atas dirinya dengan menggunakan gelaran Maharaja Haile Selassie I.
Semasa pertabalannya, beliau turut menggelarkan dirinya Raja Kepada Semua Raja, Ketua Kepada Semua Ketua, berpandukan kepada kitab Bible - mengangkat imej agama Kristian yang menjadi pegangan dirinya dan pengikutnya.
Rasta Pertama dan Penubuhan 'Pinnacle'
Bagi pengikut lama Putera Tafari seperti Howell, mereka mula menidakkan penguasaan kerajaan British ke atas etnik kulit hitam Jamaica. Sebaliknya mereka percaya Raja Haile Selassie I atau Putera Tafari Makonnen merupakan pemerintah sebenar mereka.
Untuk mengangkat imej Raja Haile Selassie, Howell mula menggunakan nama Putera Tafari sebagai label gerakannya. 'Putera' dalam bahasa Jamaica adalah Ras, jadi pengikut ajaran Howell yang menyanjung tinggi Putera Tafari mula lebih dikenali sebagai pengikut Ras Tafari - sempena nama asal raja yang mereka sembah.
Di sinilah ajaran Rastafari mula dibentuk dan Leonard Howell mula dikenali sebagai 'The First Rasta.'
Demi membantu pengikut ajarannya yang datang daripada golongan susah, Howell berusaha untuk membeli beberapa ekar tanah untuk dijadikan pusat komuniti mereka.
Visi Howell, komuniti mereka boleh berdikari sendiri, mengamalkan cara hidup bebas daripada campur tangan penjajah dalam usaha jangka masa panjang untuk mengembalikan semula Jamaica sepenuhnya kepada pemerintahan orang asal.
Walaupun begitu, pegangan agama komuniti ini mula beralih sedikit demi sedikit kepada ciri-ciri radikal, mengeluarkan Rastafari daripada ajaran Kristian yang mereka anuti lebih awal - sebaliknya mula mengalami pertambahan bermacam elemen baru yang dikritik banyak pihak sebagai satu kultus ajaran sesat.
Bagaimanapun, semua kritikan yang ada tidak dihiraukan Howell. Komuniti yang dibangunkannya semakin berkembang dan pada tahun 1939, The Ethiopian Salvation Society ditubuhkan secara rasminya.
Pusat komuniti mereka pula digelarkan sebagai 'Pinnacle' ekoran kedudukannya yang tinggi di atas bukit.
Berdepan ancaman pihak berkuasa
Berikutan pengaruh Howell kepada masyarakat di situ, kerajaan Brisith-Jamaica mula melihat Howell sebagai ancaman kepada mereka.
Ideologi yang diperjuangkan Howell bahawa Jesus Christ adalah seorang lelaki Ethiopia, dikhuatiri akan menjadi ancaman kepada ajaran asal Kristian. Gerakan Howell mula dibayangi pihak polis sehingga membawa kepada beberapa siri tangkapan melibatkan Howell dan pengikutnya.
Howell mula digelarkan sebagai ketua ajaran sesat dan juga 'Raja Kepada Komunitinya', serta dimasukkan secara paksa ke hospital mental bagi membuktikan ketidakstabilan pemikirannya.
Salah satu elemen paling penting dalam ritual ajaran Rastafari adalah penggunaan ganja, yang pada ketika itu telah menjadi bahan larangan kerajaan.
Disebabkan oleh kepentingan ganja dalam kehidupan seharian komuniti di Pinnacle, pengikut-pengikut Howell menggunakan tanah mereka untuk tujuan penanaman ganja bagi menjana ekonomi serta kegunaan mereka sendiri.
Kewujudan permintaan yang tinggi bukan saja daripada pengikut Howell sebaliknya turut sama melibatkan komuniti-komuniti luar khasnya golongan pekerja menjadikan aktiviti penanaman ganja di Pinnacle yang dilakukan secara terbuka, mula menerima sambutan luar biasa.
Hasil permintaan tinggi, ekonomi penduduk Pinnacle semakin kukuh dan Britain mula tidak senang duduk melihat bagaimana seorang lelaki 'gila' secara jelas melawan semua ketetapan yang telah diperkenalkan - sehinggakan Pinnacle dikenali sebagai pusat penanaman ganja terbesar Jamaica dalam sejarah negara tersebut.
Pengaruh Pinnacle mengancam kemerdekaan Jamaica
Dibantu dengan kekukuhan ekonomi serta mesej yang berjaya menarik minat masyarakat Jamaica, gerakan Rastafari mula dilihat oleh beberapa kelompok politik sebagai penghalang kepada usaha menuntut kemerdekaan negara mereka.
Apatah lagi Rastafari tidak pernah meninggalkan kepercayaan mereka bahawa Raja Haile Selassie I merupakan raja sebenar mereka, walaupun Haile Selassie memerintah negara Ethiopia.
Ideologi yang dibawa gerakan Rastafari dirasakan perlu dibasmi, bagi memudahkan pembentukan kerajaan Jamaica yang baru di bawah pentadbiran parti-parti politik dapat dibentuk.
Bermula pada tahun 1945, pihak polis Jamaica telah menyerbu masuk ke dalam Pinnacle bagi menghentikan gerakan mereka. Namun serbuan besar-besaran pada tahun 1954 menamatkan Pinnacle sebagai pusat kegiatan Rastafari serta lokasi penanaman ganja terbesar Jamaica.
Melawan arahan kerajaan Jamaica
Pada bulan April 1963, beberapa bulan selepas kemerdekaan Jamaica - satu insiden berkaitan usaha pengambilan tanah oleh kerajaan Jamaica bagi tujuan pembangunan pusat pelancongan, mempertemukan kembali kerajaan Jamaica dengan komuniti Rastafari yang pada ketika itu sudah berselerakan.
Selepas salah seorang penyokong Rastafari ditembak dan ditangkap, pengikut Rastafari yang ada membakar sebuah stesen minyak sebagai tindak balas.
Tindakan itu menyebabkan berlakunya konfrontasi besar-besaran antara polis dan pengikut Rastafari yang masih ada. Polis Jamaica mengeluarkan arahan untuk menangkap kesemua pengikut Rastafari yang ada - hidup atau mati atas tindak balas mereka.
Tiga pengikut Rastafari, tiga orang awam dan dua anggota polis terbunuh dalam kejadian ini. 150 orang Rastafari ditangkap.
Insiden itu yang dikenali sebagai 'Insiden Coral Gardens' sehingga kini terus dilihat sebagai titik noktah utama kepada gerakan Rastafari secara berpusat, mengakibatkan pengikut mereka terpaksa membawa haluan masing-masing secara sendiri berikutan kebimbangan akan ditangkap, didakwa dan dihukum.
Rastafari bukan lagi ancaman kerajaan
Hanya selepas Raja Haile Selassie I melakukan lawatan 3 hari ke Jamaica, kerajaan Jamaica mula melonggarkan kawalan ke atas Rastafari membenarkan mereka terus mengamalkan kepercayaan mereka, tanpa ada lagi tangkapan dilakukan.
Dari situlah komuniti-komuniti seperti The Twelve Tribes of Israel dan The Church of Haile Selassie mula ditubuhkan, bergerak aktif menyebarkan ajaran Rastafari.
Pada tahun 2017, kerajaan Jamaica melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti Rastafari atas apa yang telah berlaku pada tahun 1063, menyifatkan layanan kerajaan Jamaica ketika itu terhadap komuniti kecil ini adalah satu ketidak adilan yang nyata.
Sehingga kini, dianggarkan ada 700,000 ke 1 juta pengikut Rastafari di seluruh dunia, masih lagi berharap agar Pinnacle dapat dikembalikan seperti sedia kala.
Raja Haile Selassie I atau nama asalnya Ras Tafari Makonnen meninggal dunia pada tahun 1975. Kematian beliau terus menjadi salah satu peristiwa paling mendukakan pengikut ajaran Rastafari.