Percaturan politik menjadi punca utama kenapa Russia bertindak berani masuk menceroboh Ukraine, dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara mereka.
Dari perspektif Russia, percaturan politik yang menjurus kepada kejatuhan Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych dalam Revolusi Maidan yang diketahui mesra dengan kepimpinan tertinggi Russia membawa kepada pilihanraya Presiden tahun 2014, sehingga sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Situasi ini membawa perubahan besar kepada pengaruh Russia ke atas dua wilayah yang menjadi rebutan Ukraine-Russia iaitu Donetsk dan Luhansk, secara tidak rasmi dinamakan sebagai Wilayah Donbas. Jadi tidak menghairankan sekiranya dua kawasan itu menjadi antara isu terpenting yang diletakkan sebagai syarat bagi Russia menghentikan 'operasi khas' mereka di Ukraine.
Ada 3 syarat utama ditetapkan kerajaan Russia di bawah Vladimir Putin bagi menghentikan serangan yang sedang berlaku. Apakah syarat itu?
Russia mahu kemerdekaan Donetsk dan Luhansk
Walaupun secara rasminya merupakan dua buah negeri di bawah kerajaan Ukraine, Donetsk dan Luhansk - dikenali secara kolektif sebagai Donbas telah melaksanakan pemberontakan menuntut kemerdekaan, sejak tahun 2014 selepas kejatuhan Yanukovych.
Terletak di bahagian timur sempadan Ukraine dan Russia, sebuah referendum telah diadakan bagi menentukan hala tuju dua negeri yang kuat hubungannya dengan Russia, disebabkan oleh sejarah penduduk di sana yang rata-ratanya hadir dari Russia ketika era pentadbiran Kesatuan Soviet.
Didalangi oleh dua kerajaan tidak rasmi iaitu Donetsk People's Republic (DPR) dan Luhansk People's Republic (LPR), pimpinan Russia menyatakan sokongan penuh ke atas tuntutan kemerdekaan yang dilakukan DPR dan LPR, walaupun secara tidak formal.
Sehinggalah pada 21 Februari tahun 2022, Vladimir Putin secara rasmi mengiktiraf kemerdekaan kedua-duanya melalui perjanjian Persahabatan,
Kerjasama dan Bantuan dengan pemimpin kanan DPR dan LPR - membolehkan Russia mula meletakkan angkatan tentera di dua wilayah bergolak ini, sebagai persediaan menceroboh Ukraine - yang kita tahu berlaku pada 24 Februari 2022.
Presiden Putih menuntut agar kerajaan Ukraine menghormati apa yang dimahukan oleh rakyat pimpinan DPR dan LPR, membenarkan kedua-duanya merdeka tanpa ada lagi gangguan dan campur tangan dari pihak Ukraine.
Dalam erti kata lain: Russia tidak mengambil wilayah Donbas keluar dari Ukraine, sebaliknya Russia hanya mengiktiraf yang Donetsk dan Luhansk tidak lagi mahu duduk di bawah pentadbiran kerajaan Ukraine.
Mengiktiraf Semenanjung Crimea sebagai milik Russia
Berbeza dengan situasi yang melibatkan Donetsk dan Luhansk, tuntutan Putin ke atas wilayah Crimea yang turut menjadi salah satu syarat utama perdamaian - berpunca daripada peristiwa yang berlaku pada tahun 1954.
Crimea merupakan sebuah wilayah yang didominasi masyarakat Russia, terletak berdekatan Romania dan Turki. Dikenali dengan nama Crimea Oblast (bermakna 'wilayah"), Crimea dan seluruh kuasa pentadbirannya dipindahkan dari Russia Soviet Federative Socialist Republic ke Ukrainian SSR, salah sebuah republik di bawah Kesatuan Soviet.
Bagaimanapun tindakan ini mendapat bantahan pimpinan pro-Russia, yang membawa kepada persengketaan panjang berkenaan status sebenar kesahihan pengalihan kuasa yang berlaku. Situasi ini mula memuncak selepas Presiden Yakunovich ditumbangkan, yang dikhuatiri akan mula mengakibatkan pengaruh masyarakat Russia ke atas Crimea menurun.
Pada 16 Mac 2014, satu referendum diadakan di Crimea bagi membolehkan orang ramai memilih sama ada untuk kekal dengan Ukraine atau berada di bawah pentadbiran Russia.
97% pengundi memilih Russia namun keputusan ini dipertikaikan.
Itu tidak menghalang kepada pembentukan Republic of Crimea yang mengistiharkan kemerdekaan dari Ukraine, seterusnya melakukan permohonan untuk menyertai Persekutuan Russia.
Russia menerima permohonan itu, melakukan deklarasi persahabatan dan kerjasama dengan kerajaan baru itu pada 18 Mac 2014 walaupun ditentang pemerhati luar.
Russia mahu Ukraine menjadi negara neutral
Satu tuntutan yang menjadi agenda utama Vladimir Putin sebelum dia mengarahkan tenteranya menceroboh masuk Ukraine, adalah untuk memastikan kerajaan Ukraine meminda perlembagaan mereka - menjadikan Ukraine salah sebuah negara neutral.
Ini bermakna, untuk Russia menghentikan segala bentuk serangan ke atas Ukraine - kerajaan Ukraine perlulah secara perlembagaan tidak lagi boleh memihak kepada mana-mana pertubuhan antarabangsa yang dibentuk seperti Kesatuan Eropah atau NATO, menyertai atau menyokong pertubuhan sebegitu di masa akan datang.
Perubahan Ukraine sebagai sebuah neutral sepenuhnya juga memerlukan Ukraine merombak semula sistem pertahanan negara itu, tidak lagi memiliki pasukan pertahanan tentera sendiri.
Bergelar negara neutral juga memelukan Ukraine untuk mewujudkan dasar perlembagaan yang akan menghalang mana-mana negara luar, seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom membuka pengkalan tentera di sana.
Percaturan agresif Putin
Bagi penyelidik anti-Russia, sikap keras yang ditayangkan Presiden Vladimir Putin dilihat sebagai satu tindakan kurang ajar, yang dibuat untuk membolehkan sebuah lagi negara boneka Russia seperti Belarus dihasilkan.
Bagaimanapun ada pihak turut melihat cadangan (atau syarat) neutraliti yang dipinta Putin sebagai satu langkah penyelesaian terbaik, dalam memastikan kedaulatan Ukraine terjaga bukan saja dari aspek keselamatan bahkan dalam aspek ekonomi.
Sekiranya Ukraine melaksanakan dasar neutral atau berkecuali dalam dasarnya, Ukraine pada masa hadapan boleh menyeimbangkan hubungan negara itu dengan pihak luar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam aspek-aspek ekonomi khasnya, sambil tidak disisihkan daripada pengaruh Russia di rantau tersebut.
Presiden Zelenskyy ketika artikel ini ditulis, masih kekal dengan pendiriannya yang agak berat ke arah NATO, terus berharap agar bantuan daripada pihak tersebut mampu menangkis ancaman Russia yang semakin kuat di negara bergolak itu.
Putin juga masih belum jelas apakah matlamat akhirnya, seandainya permintaan untuk Ukraine ditukar menjadi sebuah negara berkecuali dimakbulkan.
Sekiranya itu benar-benar berlaku, adakah Putin akan turut sama melepaskan tuntutannya ke atas Crimea, Donetsk dan Luhansk atau Ukraine akhirnya akan kehilangan sebahagian tanah jajahan, serta tidak lagi mempunyai angkatan untuk pertahanan?