Oleh pada 05 Aug 2019 kategori

Asal-usul bermulanya penyebaran virus Human Immunodifiency Virus atau HIV sudah lama menjadi subjek kajian saintifik semenjak virus itu ditemui sekitar tahun 1980-an. Berdasarkan kajian yang telah berjaya dilakukan, kita sudah berjaya mengenalpasti bagaimana HIV mula menyebabkan penyakit pada manusia.

Apa yang kita sudah tahu setakat ini, HIV merupakan virus dalam kategori 'lentivirus' atau virus yang menyerang daya ketahanan seseorang, menyerupai sejenis lagi virus yang hanya menyerang daya ketahanan spesis monyet dan mawas, dinamakan sebagai SIV atau Simian Immunodeficiency Virus.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kinshasa sejarah aids 329 260

Kajian menunjukkan wujud persamaan yang ketara di antara kedua-dua virus dan menjadi petunjuk awal dari mana datangnya virus HIV yang kita takuti ini.

Virus yang datang dari monyet

monyet penyebab virus hiv

Tidak lama dahulu, sekitar tahun 1999 penyelidik berjaya menemui sejenis virus yang ditermakan sebagai SIV atau SIVcpz bagi menandakan sumbernya, iaitu seekor chimpanzee yang menyerupai virus HIV pada manusia. Kajian ke atas virus itu menunjukkan chimpanzee merupakan sumber asal virus HIV sebelum virus itu merebak kepada manusia.

Persoalan berkenaan bagaimana virus itu terhasil juga telah dikenalpasti, setelah penyelidik berjaya mengenalpasti tabiat chimpanzee yang gemar memburu dua spesis kera kecil jenis 'mangabeys' dan 'spot nosed monkey' yang memindahkan virus SIV yang berbeza kepada chimpanzee tersebut, selepas kedua-dua monyet itu dimakan chimpanzee.

Hasil daripada penggabungan dua jenis virus SIV dari 'mangebeys' dan 'spot nosed monkey' pada tubuh chimpanzee, menghasilkan sejenis virus baru yang dirujuk sebagai SIVcpz. Virus inilah yang dikenal pasti mampu menjangkiti manusia.

Dari manakah asal lokasi virus HIV?

orang kishasa virus hiv

Pernahkah anda terfikir dari mana datangnya virus HIV ini? Ekoran daripada kurangnya pendedahan tentang penyakit ini, kita hanya mengetahui tentang wabak besar ini hanya bermula sekitar tahun 1980-an, dengan kajian mendalam terhadap virus ini berjaya dilakukan.

Namun kes pertama manusia dijangkiti virus HIV dipercayai telah pun berlaku lebih awal, sekitar tahun 1920-an di daerah Kinshasa, yang terletak di negara Republik of Congo. Sehingga kini daerah Kinshasa menjadi salah satu daerah di dalam dunia mengalami masalah pesakit AIDS paling ramai.

Kajian pertama sampel darah melibatkan pengidap HIV hanya berjaya dilakukan kali pertama pada tahun 1980-an, berdasarkan kepada sampel yang telah diambil daripada seorang lelaki di Kinshasa pada tahun 1959. Selepas saintis berjaya mengenalpasti virus yang membunuh lelaki itu, beberapa kajian lain telah dijalankan di Kinshasa mendapati wujud banyak kes punca kematian serupa, dengan jangkitan HIV dikenalpasti sebagai puncanya.

Penyelidikan lebih lanjut berjaya merekodkan tahap kepelbagaian virus HIV yang berbeza, berada pada kadar tinggi di Kinshasa menunjukkan kekerapan berlakunya pemindahan virus SIV dari haiwan kepada manusia.

Merebak ke seluruh Congo sebelum bertukar menjadi epidemik

orang congo kinshasa asal virus hiv

Dianggarkan sekitar tahun 1937, virus HIV mula menular di Brazzaville, ibu negara Congo yang terletak 120 km di bahagian barat Kinshasa. Penularannya pula dibantu oleh industri pelacuran yang wujud di sepanjang laluan darat dan sungai dua bandar tersebut, diburukkan lagi dengan kedatangan migran dalam jumlah besar ke Brazzaville dari Kinshasa.

Direkodkan pada tahun 1980, separuh daripada jumlah jangkitan HIV di Congo melibatkan individu-individu yang tinggal di luar Kinshasa.

Tidak diketahui siapakah individu pertama yang menyebarkan virus HIV ke luar Congo, tetapi penemuan sejenis virus HIV yang dinamakan 'subtype-M' di kepulauan Haiti sekitar tahun 1960, menjadi teori paling popular penularan virus ini pada peringkat global.

Ini berlaku ekoran kepulangan pekerja-pekerja dari Haiti yang bekerja di Congo pada era tersebut, membawa bersama virus itu hasil daripada aktiviti kurang sihat yang mereka amalkan semasa berada di Congo. Selepas merebak di Haiti, HIV subtype-M seterusnya mula menjangkiti masyarakat luar sebelum menjadi varian HIV paling meluas jangkitannya di seluruh dunia hingga kini.

Kewujudan GRID sebelum AIDS

grid homoseksual aids gay related

Pada tahun 1981, lima kes jangkitan pada paru-paru yang serupa direkodkan pada lima orang lelaki berorientasi homoseksual di Los Angeles. Sementara itu, beberapa kes lain melibatkan kanser yang menyerang permukaan kulit dinamakan sebagai 'kaposi sarcoma' direkodkan berlaku pada kumpulan-kumpulan lelaki homoseksual di New York dan California.

Penyakit misteri ini mula mendapat liputan lebih meluas selepas rekod kematian mereka yang mengidap penyakit paru-paru atau kanser kulit, meninggal dunia pada kadar yang sangat tinggi. Daripada 270 kes yang dilaporkan, 121 orang telah meninggal dunia tanpa seorang pun tahu apa yang mereka hadapi.

Setahun berikutnya, selepas lebih banyak serangan penyakit misteri menjangkiti golongan lelaki homoseksual, secara rasminya penyakit itu dinamakan sebagai penyakit 'gay-related immune deficiency' atau GRID.

Berikutan wabak yang semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat itu, beberapa kajian dijalankan dan mendapati wujud persamaan jelas di antara punca kematian di beberapa kawasan Amerika Syarikat melibatkan golongan homoseksual, dengan apa yang berlaku di Haiti ketika itu.

Manusia mula belajar tentang HIV dan AIDS

keposis sarcoma kanser kulit aids

Mula dikenalpasti menjangkiti golongan gay, kes jangkitan pertama pada golongan penagih dadah heteroseksual membuka perspektif baru pada kajian terhadap virus ini kerana didapati tidak hanya menyerang golongan gay sahaja. Pada bulan September 1982, GRID secara rasmi ditukarkan namanya menjadi AIDS.

Awal tahun 1983, kes pertama penyakit AIDS melibatkan wanita yang melakukan hubungan dengan pasangan lelaki, menunjukkan kemungkinan penyakit itu juga boleh dipindahkan melalui hubungan normal.

Tidak lama selepas itu, virus yang menyebabkan AIDS berjaya dikenalpasti di Perancis dan dinamakan sebagai Lymphadenopathy-Associated Virus atau LAV, dengan penemuan LAV pada bayi dalam rahim ditemui buat pertama kali pada bulan Jun tahun sama.

Pada penghujung tahun 1985, sebanyak 20,303 jumlah kes AIDS direkodkan meliputi kesemua benua di bumi. Nama rasmi virus LAV ditukar kepada HIV bagi menunjukkan variasi jangkitan yang boleh berlaku pada pengidap penyakit tersebut.

85 negara melaporkan penemuan penyakit AIDS di kalangan rakyat mereka, dengan benua Amerika mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 31,741 kes, diikuti Eropah 3,858 kes, Afrika 2,323 kes, Oceania 395 kes dan Asia pula hanya 84 kes.

Dianggarkan ketika ini di seluruh dunia, terdapat seramai 75 juta orang penghidap HIV yang berisiko dijangkiti penyakit AIDS dengan rawatan percubaan kali pertama, berjaya diberikan kepada lebih 19.5 juta pembawa virus HIV dalam tahun 2017.




Hakcipta iluminasi.com (2017)