Pengaruh karya fiksyen adiwira kepada masyarakat dunia tampak semakin meningkat, disebabkan oleh populariti filem-filem yang memaparkan watak-watak berkuasa hebat menguasai tayangan pawagam.

Apa yang dipaparkan walaupun hanyalah rekaan fiksyen, mampu dijadikan topik perdebatan panjang yang menjentik imaginasi kita sebagai peminat. Individu yang mempunyai kuasa aneh, hebat serta luar biasa kini tidak lagi terhad penerimaannya kepada buku komik, sebaliknya sudah jadi sesuatu yang perdana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi bukan semua kuasa adiwira memberikan kesenangan kepada pemiliknya. Ada juga kuasa yang hanya menyusahkan, tetapi tidak digambarkan dalam filem kerana tak ada siapa mahu melihat sisi hidup adiwira yang berbeza.

1. Kuasa halimunan

kuasa halimunan adiwira jfif

Macam mana bayang dia boleh berbaju? Ini tak logik.

Dalam filem, watak-watak halimunan sering digambarkan mensyukuri kuasa yang mereka perolehi. Mampu menghilangkan diri dinampakkan memberikan mereka peluang untuk melakukan bermacam perkara secara sembunyi.

Tetapi cuba anda fikir dahulu dengan tenang, nak jadi halimunan ni apa syarat utamanya? Kena menanggalkan pakaian keseluruhannya. Tidak boleh memakai apa saja sekalipun. Cuba bayangkan perasaan anda perlu berjalan di khalayak ramai berbogel sepenuhnya, walaupun anda ada kuasa halimunan sekalipun?

Geli bang. Kita yang kadangkala terdedah kulit lebih sikit pun rasa malu, apatah lagi pula kena berjalan bogel di tengah orang ramai. Sejuk saja rasanya. Kalau panas, habis seluruh tubuh terasa bahangnya.

Tengah jalan nak merompak bank, datang sebuah kereta dari belakang terlanggar kita yang sedang melintas jalan dalam keadaan halimunan. Tergoleklah kita dalam keadaan berbogel tepi jalan sambil kuasa kita tadi hilang, akibat kecederaan.

2. Mampu membaca minda orang lain

membaca fikiran minda adiwira kuasa

Profesor X memang diketahui cukup iri hati dengan pelajarnya yang berambut.

Ramai orang mempunyai keinginan untuk tahu apa pandangan orang lain terhadap mereka. Bagaimana pula sekiranya kita mempunyai kebolehan untuk membaca minda orang lain 24 jam sehari setiap masa?

Mesti pening kan? Cuba bayangkan setiap masa anda tahu apa yang orang lain fikir. Kita dengar semua masalah mereka, kita dengan kemahuan mereka. Kita juga akan dengar semua perkara negatif yang difikirkan mereka, sama ada melibatkan orang lain atau melibatkan kita.

Seronok ke hidup sedemikian rupa? Tak seronok langsung sebenarnya. Seolah-olah dalam kepala kita ada Facebook dan Twitter yang beroperasi setiap masa, mengutuk, mengumpat, menunjuk-nunjuk semua perkara tanpa kita ada butang pematinya.

3. Berbadan kebal

berbadan kebal adiwira

Dia pernah diketepikan kerana warna kulitnya

Dalam setiap dunia komik dan filem adiwira, pasti akan ada satu atau dua watak yang diberikan kuasa berbadan kebal, tubuhnya tidak lut dengan apa saja. Kena tumbuk kena tembak kena tetak, semuanya teralih tanpa ada kesan calar pun pada kulitnya.

Kita pun kagum lah. Waktu kita kanak-kanak, memang ramai yang berangan nak badan sedemikian. Kadangkala bila dah tua pun, ramai yang berhajat nak ada badan kebal ni.

Tetapi apa akan berlaku kalau si badan kebal ni nak kena bedah buang apendiks misalnya? Atau nak buat pembedahan lasik bagi betulkan penglihatan dia? Jika dia kena kanser, apa agaknya peralatan hospital yang akan mampu doktor bedah gunakan untuk buat potongan?

Gergaji rantai? Pisau pemotong laser? Pedang berlian?

4. Pendengaran tahap luar biasa

kuasa pendengaran luar biasa adiwira

"Oh no. Lelaki itu berak lagi."

Bagi orang yang pernah dapatkan rawatan telinga yang tersumbat, sehari dua selepas telinga anda pulih merupakan satu tempoh yang menyeksakan bukan? Telinga anda jadi sensitif semacam, semua bunyi yang anda dengar mampu menyakitkan diri anda sebelum lama-kelamaan pendengaran anda kembali stabil.

Itulah agaknya situasi yang dihadapi mereka yang memiliki ultra pendengaran sebagai kuasa adiwira. Ekoran sensitiviti telinga yang lebih tinggi berbanding biasa, semua bunyi yang berlaku dapat didengari, termasuklah semua perbualan, percakapan dan apa saja jenis audio sensori yang ada - pada satu tahap yang sangat tinggi.

Anda rasa berbaloi ke hidup dengan telinga sepeka itu? Tak. Setiap langkah yang kita buat pun, mampu membuatkan telinga bergema. Paling sakit bila kita mandi, kita boleh dengar setiap titisan yang jatuh ke lantai seolah-olah nak runtuh dunia.

5. Hidup abadi

adiwira kuasa hidup abadi

Kami tidak tahu kenapa karya-karya fiksyen barat selalu memaparkan obsesi kepada kehidupan abadi, sehinggakan banyak watak baik atau jahat menjadikan jangka hayat kekal sebagai fokus aktiviti mereka.

Tidak tahulah kenapa ada pengkarya yang merasakan kehidupan abadi kurun demi kurun, alaf demi alaf merupakan sesuatu yang menarik. Hidup terlalu lama sehinggakan perlu melihat individu yang kita sayangi hidup dan mati berulang-ulang kali - sedih kan pengalaman itu?

Lebih malang bagi orang yang mampu hidup abadi ni, kalaulah mereka ini berjaya ditangkap dan dikurung dalam sebuah kotak ala-ala watak pelakon Ryan Reynolds dalam filem Buried - mereka akan terkurung selamanya tanpa ada jalan keluar.

1,000 tahun duduk dalam sebuah kotak dan sedar setiap masa, penyeksaannya tu memang mampu membuatkan adiwira sehebat mana pun rasa menyesal dia diberikan pengekalan jiwa.

6. Mampu membuka pintu ke mana saja

portal kuasa ke mana sahaja

Dalam banyak-banyak kuasa adiwira yang ada, kuasa inilah yang boleh bertukar menjadi sangat annoying. Tak boleh penulis bayangkan sekiranya pasangan dan sanak-saudara kita tahu kita memiliki kuasa ni, mesti ramai yang akan hadir meminta bantuan kita.

"Boleh tolong hantar saya shopping dekat London sekejap? Tapi guna duit awak ya."

"Pakcik dengan makcik nak mintak tolong, kami dah lama dah tak tengok Mekah. Teringin la sat nak pi sana jenguk."

"Aku tak ada duit nak balik kampung. Boleh tolong hantarkan kami satu family pulang? Lagi 2 minggu kau datang ambil kami balik."

Argh stressnya!

Ada sebabnya kenapa adiwira memilih untuk merahsiakan identiti mereka daripada semua, termasuklah pasangan dan ahli keluarga sanak saudara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)