berapa kos sebenar gajet kegemaran

Peralatan elektronik pada zaman sekarang seakan-akan silih berganti, tidak lagi mempunyai ketahanan berbanding produk elektrik dan elektronik zaman dahulu yang dicipta mampu kekal lama.

Kami sudah membincangkan berkenaan konsep yang dinamakan 'planned obsolescence' di mana pengeluar melalui penyelidikan, mereka bentuk peranti elektronik agar mempunyai jangka hayat tertentu berfungsi dalam kadar optimum - sama ada melalui perkakasan atau perisian.

Melalui kaedah ini, kos pengeluaran dapat direndahkan berikutan putaran pertukaran gajet yang lebih kerap oleh pengguna, namun pada akhirnya keuntungan sudah pastilah dimiliki oleh pengeluar. Persoalannya, dalam kitaran penukaran yang lebih kerap adakah pengguna ditawarkan produk pada harga yang sepatutnya?

Berikut adalah lima contoh gajet elektronik popular dan kos sebenar perkakasan di dalamnya, untuk anda mengetahui dengan lebih jelas adakah pengguna selama ini mendapat pulangan yang sepatutnya dalam pelaburan mereka.

1. Sony Playstation 4 (RM1,578)

playstation 4 kos sebenar

Konsol permainan video nombor satu dunia dari segi jualan ini sangat popular, sehinggakan berjaya mengembalikan syarikat Sony kembali ke takhta industri konsol permainan video selepas mengalami kejatuhan, pada era Playstation 3. Berbeza dengan Sony Playstation 3 yang menyebabkan Sony mengalami kerugian pada setiap konsol yang dijual, Playstation 4 pula memberikan sedikit keuntungan pada syarikat Jepun tersebut.

Anggaran peranti yang digunakan bagi membangunkan sebuah Playstation 4 keseluruhannya dianggarkan sekitar RM1,578. Harga jualan pada tahun pelancarannya iaitu tahun 2013 pula adalah RM1,652. Ini bermakna untuk setiap jualan satu konsol Playstation 4, Sony mendapat keuntungan kasar sekitar RM74 sahaja. Bagaimanapun, Sony mendapat keuntungan hasil penjualan lesen pembinaan perisian bagi konsol tersebut. Bagaimanapun, dari segi gajetnya, Sony tak untung banyak.

2. Apple Iphone XS Max (RM1,834)

iphone xs max kos sebenar

Dalam siri Apple Iphone XS, model Max merupakan model termahal disebabkan saiz skrinnya yang lebih besar. Bagaimanapun ini tidak menghalang model tersebut menjadi model paling laris di antara adik-beradiknya yang lain walaupun harganya lebih tinggi. Berapakah kos sebenar sebuah iPhone XS Max?

Melalui satu siri penyelidikan komponen yang terdapat dalam sebuah iPhone XS Max, didapati kos untuk membina telefon tersebut hanyalah sekitar RM1834 dengan harga jualannya pula mencecah RM5,173. Di negara kita, model tersebut dijual bermula pada harga RM5,399 dan mampu mencecah RM7,049 bagi model berkapasiti paling besar.

3. Jam Rolex (RM2,500)

kos sebenar sebuah rolex

Jam Rolex menjadi kebanggan bagi mereka yang mampu memilikinya. Digelarkan sebagai salah satu status simbol, jam tersebut juga sangat terkenal kerana menjadi antara gajet yang mampu meningkat harganya menjadi satu bentuk pelaburan pada pemiliknya. Diperbuat daripada campuran logam terbaik dan bernilai seperti emas, perak dan keluli berkualiti tinggi, berapakah nilai sebenar sebuah Rolex?

Tidak dapat dipastikan berapakah kos sebenar bahan untuk membuat sebuah Rolex namun seorang pengkaji telah pun berjaya mengasingkan setiap bahan yang digunakan untuk membina Rolex Oyster Perpetual Date, siri Rolex paling 'murah' yang berharga sekitar RM24,350.

Selepas diceraikan bahan yang digunakan seperti berlian, perak, dan emas, didapati keseluruhan bahan logam yang digunakan bernilai sekitar bawah RM2,500. Emas 10.94 gram yang digunakan dalam jam tersebut, menjadi bahan paling mahal dalam kos pembuatan jam Rolex tersebut.

4. Apple Watch 4 (RM457)

apple watch series 4

Diperkenalkan sekitar tahun 2018, Apple cuba merevolusikan industri jam tangan pintar namun berdepan saingan yang sangat kuat daripada jenama-jenama lain. Bagaimanapun, tidak dinafikan Apple telah banyak belajar daripada kesilapan mereka sebelum ini serta telah berjaya menambahbaik banyak komponen dalam Apple Watch, menjadikannya salah satu jam pintar paling popular.

Dijual pada harga sekitar RM1,749 untuk satu unit di negara kita bergantung kepada kemasan yang dimahukan pelanggan, anggaran kos peranti yang dipasang dalam jam tersebut adalah sekitar RM457 bagi setiap unit, dengan majoriti kos digunakan untuk skrin bersaiz 1.57 inci yang lebih besar berbanding sebelumnya serta prosesor khas yang dibangunkan hanya untuk peranti tersebut.

5. Microsoft XBox One X (RM1,827)

xbox one x kos

Konsol paling berkuasa dalam industri setakat ini, Microsoft benar-benar menggegarkan industri permainan video dengan penghasilan XBox One X yang mampu memaparkan visual pada resolusi 4K tahap penuh - sesuatu yang di luar jangkaan banyak pihak berikutan kekuatan pemprosesan yang diperlukan bagi memproses imej sebesar itu.

Dijual pada penghujung tahun 2017 dengan harga RM2,000 semasa pengenalannya, peranti konsol tercanggih ini sekiranya dipecah-pecahkan komponennya memerlukan kos sekitar RM1,827 untuk dihasilkan. Sama seperti Sony Playstation 4, jelas sekali Microsoft tidak mendapatkan keuntungan tinggi seperti apa yang berjaya diperolehi oleh Apple dan Rolex, lebih bergantung dengan hasil jualan lesen perisian.

Harus diingatkan, senarai ini hanya memaparkan kiraan kos pembuatan dan bahan yang diperlukan, tidak mengambil kira kos pemasaran, kakitangan, pengurusan dan lain-lain. Sekiranya anda seorang ahli perniagaan, model perniagaan produk manakah yang lebih menarik perhatian anda?

Model konsol seperti Playstation dan XBox yang membawa keuntungan jangka masa panjang atau model perniagaan seperti Apple yang membawa keuntungan besar, tetapi memerlukan pengguna menaiktaraf peranti hanya selepas setahun atau dua tahun diguna?


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)