'Anime' adalah label yang digunakan di seluruh dunia, merujuk kepada animasi yang datang khas dari Jepun. Peminat-peminat anime dari Jepun pasti kagum dengan hasil kerja yang dihasilkan individu-individu berbakat dari sana yang nyata sangat kreatif bukan saja dari segi penghasilan jalan cerita. Watak serta dunia fantasi yang mereka hasilkan mampu menguasai pemikiran masyarakat dunia, termasuklah kita di Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun hakikat sebenar proses pembikinan 'anime' ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar daripada individu-individu yang terlibat. Dalam kita teruja menonton karya yang mereka berjaya hasilkan, inilah kisah sebenar disebalik tabir kehidupan pengkarya anime.

Mungkin di negara kita ramai artis meletakkan impian untuk menjadi seorang pengkarya di Jepun, sebagai impian mereka dalam karier namun mereka yang berada di Jepun menghasilkan anime setiap hari menghadapi dilema yang nampaknya tidak kesudahan.

Industri anime di Jepun merupakan sebuah industri yang sangat besar dengan nilai pasaran RM76 billion setahun, penggiat seni yang berkecimpung dalam bidang tersebut kebiasaannya dibayar dengan gaji yang sangat rendah, lebih layak dikatakan tidak sepadan dengan hasil kerja mereka.

Perkara ini berlaku seolah menjadi satu kebiasaan, sehingga karier dalam industri anime terkenal sebagai salah satu industri yang digelarkan sebagai 'black labor' berikutan gaji rendah ditawarkan dan tempoh kerja yang sangat panjang.

Ketidak seimbangan pendapatan di antara pengkarya dan peniaga

anime bayar gaji rendah realiti

Statistiknya, sejak tahun 2002 sehingga kini, jumlah untung yang dijana daripada penghasilan anime semakin meningkat naik ekoran pasaran dunia yang semakin menerima karya mereka.

Walaupun begitu, pembahagian keuntungan ini tidak berlaku dengan seimbang dengan studio yang bersusah payah menghasilkan episod-episod untuk tontonan orang ramai, hanya mendapat secara purata kurang 10% daripada jumlah kutipan keseluruhan.

Oleh kerana syarikat-syarikat produksi memegang hak cipta penerbitan, penjualan produk serta hak pengedaran, lebih 90% daripada jumlah keuntungan hanya berlegar kepada syarikat-syarikat yang mengawal hak cipta sesuatu anime.

Atas sebab tersebut, studio-studio yang mendapat kontrak untuk penghasilan anime selalunya terpaksa mengambil langkah membayar gaji yang sangat rendah kepada pekerja-pekerja. Berapa rendah? Sangat rendah dan agak mengejutkan.

Pendapatan yang tidak setimpal dengan usaha

pembikin anime realiti sebenar jepun

Kita sudah sedia maklum Jepun merupakan salah sebuah negara di mana kos sara hidup mereka agak tinggi.

Sukar untuk kami membayangkan bagaimana seorang pengkarya anime yang bertindak sebagai animator atau pelukis latar belakang mampu menyara hidup dengan pendapatan yang agak rendah.

Kebiasaannya, seorang pekerja animator di Jepun dibayar sebanyak 200 yen (RM7.50) untuk setiap lukisan mewakili satu panel anime.

Secara purata bagi artis yang berkebolehan tinggi, mereka mampu menyiapkan lebih kurang 20 panel sehari menjadikan pendapatan mereka sekitar 4,000 yen (RM150) sehari atau 120,000 yen sebulan (RM4460).

pelukis anime gaji rendah di jepun

Ini bermakna, dalam satu tahun, purata pendapatan artis anime di Jepun adalah sekitar 1.44 juta yen. Berapakah purata pendapatan pekerja di Jepun secara amnya? 3.54 juta yen setahun!

Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan studio anime terletak di barat Tokyo.

Tokyo meletakkan standard 907 yen sejam sebagai gaji minima untuk sebarang jenis pekerjaan.

Sekiranya kita mengambil pendapatan sehari penggiat anime sebanyak 4,000 yen bekerja selama 10 jam - ini menjadikan pendapat sejam artis anime sebanyak 400 yen jauh lebih rendah berbanding gaji minima di Tokyo.

Waktu kerja yang panjang

pekerja jepun tidur atas meja

Kes-kes kemurungan sudah menjadi satu perkara biasa dilaporkan berlaku di kalangan penggiat seni anime Jepun.

Pekerja yang melakukan kerja lebih masa sehingga mencecah 100 jam sebulan hanya untuk mendapatkan pendapatan lebih juga sudah selalu kedengaran.

Purata waktu bekerja sehari untuk industri anime di Jepun adalah 11 jam sehari dengan empat hari cuti setiap bulan. Pada 'waktu-waktu lapang', sesebuah studio anime masih mengekalkan temph kerja 6 hari seminggu, 10 jam sehari.

Hendak tahu satu fakta yang lebih memeranjatkan?

Pengalaman tidak memberikan keistimewaan dalam industri anime di Jepun. Seorang pengarah teknikal anime bernama Taiki Nishimura memberitahu, selepas dia berkecimpung dalam bidang ini selama lebih 20 tahun - pendapatannya masih lagi pada purata yang serupa seperti apa yang disenaraikan di atas.

Disebabkan pendapatan yang rendah, ada kalanya beliau terpaksa bekerja dalam dua anime dalam satu masa. Untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi, Taiki terpaksalah melupakan waktu rehatnya bekerja tanpa henti siang malam.

Menurut Taiki, ramai di antara rakan-rakan sekerjanya yang terpaksa mengambil langkah sebegitu bagi memastikan wang pembayaran sewaan rumah mencukupi. Beliau bernasib baik sudah memiliki kediaman sendiri.

polygon pekerja studio jepun

Kepada peminat-peminat anime Jepun;

Sekiranya selepas ini anda tonton episod-episod kegemaran anda, ingatlah penat lelah mereka yang berusaha sekeras mungkin menyiapkan setiap karya kepada anda.

Mungkin anda akan mendapati ada kalanya lukisan yang dibuat tampak haru-biru dan sekadar dilakukan tangkap muat. Kini anda dah faham kenapa.

Bagaimana pula dengan pendapatan industri animasi di Malaysia? Bab itu, kita tunggu waktu lain pula.

Rujukan

20 Year Anime Veteran Reports His Monthly Salary

NHK Gendai+




Hakcipta iluminasi.com (2017)