Tanggal 2 November 2021, wujud ura-ura di kalangan pengikut teori konspirasi QAnon akan berlaku kemunculan semula anak kepada bekas Presiden Amerika Syarikat popular, John F. Kennedy Jr. dalam hari tersebut.

Perlu diberitahu - John F. Kennedy Jr. telah meninggal dunia dalam satu kemalangan melibatkan kapal terbang pada tahun 1999.

Informasi itu tidak menghalang ribuan warga Amerika Syarikat berhimpun di lokasi yang didakwa bakal menjadi tapak kemunculan semula Kennedy Jr. - lokasi di mana ayahnya mati ditembak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk beberapa jam, ribuan penyokong ini menunggu walaupun cuaca mula hujan, menantikan kembalinya Kennedy Jr.

Mereka percaya mendiang selepas kembali, bakal berganding bahu dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merampas tampuk pemerintahan negara itu dan memyelamatkan mereka semua.

Hanya selepas waktu petang hampir tiba, barulah kumpulan itu bersurai pulang hampa ramalan yang mereka pegang, tidak nampak kebenarannya.

Sekumpulan orang gila?

individu percaya teori konspirasi

Insiden yang baru berlaku di Dallas itu, merupakan salah satu insiden dunia nyata paling jelas membuktikan kukuhnya pengaruh teori konspirasi kepada masyarakat dunia.

Teori yang tersebar hanya berdasar desas-desus menyaksikan ramai individu yang kami yakin majoritinya terpelajar, sanggup menunggu seseorang yang telah disahkan meninggal dunia lebih dua dekad lalu - hanya semata-mata untuk memenuhi persepsi yang diikuti mereka.

Lebih malang, kepercayaan yang mereka pegang ini sudah berakar umbi dalam minda setiap peserta  yang sekian lama percaya insiden kematian Kennedy Jr. hanyalah satu muslihat bagi melindungi dirinya dan keluarganya dari serangan musuh.

Mereka percaya anak bekas Presiden itu memilih untuk menyembunyikan diri sehinggalah Amerika Syarikat memerlukan khidmatnya semula.

Kita yang melihat dari luar pasti akan hanya menggeleng-gelengkan kepala membaca kuatnya pengaruh teori konspirasi kepada mereka-mereka ini.

Tetapi kenapa mereka mampu bertindak sedemikian rupa?

Minda kita cari solusi semasa berdepan krisis

teori konspirasi berkaitan covid 5g

Banyak pihak menyalahkan pengaruh media sosial dan teknologi komunikasi sebagai penyebab utama lambakan sebaran teori konspirasi ketika ini.

Bagaimanapun kajian berkenaan topik ini telah menunjukkan tanda-tanda teori konspirasi telah menjadi satu budaya popular sekian lama, khasnya ketika masyarakat dunia berdepan dengan situasi sukar seperti krisis atau ketidakstabilan masyarakat.

Situasi tidak stabil mewujudkan pemikiran-pemikiran 'baru' yang cuba melawan keadaan yang dirasakan kurang menyelesakan, dibantu oleh hasrat orang ramai ketika itu yang giat mencari penjelasan.

Dalam menghadapi tekanan, seseorang akan mula terarah mencari informasi dan maklumat yang seiring dengan pendapat yang dirasakan sesuai (walaupun kurang munasabah), yang akhirnya membuatkan individu merasai dia telah bertemu jawapan terhadap semua persoalan - 'kenapa hidupnya sedang berhadapan tekanan?'

Teori konspirasi menawarkan penjelasan kepada persoalan-persoalan yang dimiliki.

Selain itu teori-teori ini juga memudahkan orang ramai mengalihkan beban kesalahan terhadap semua situasi yang menimpa masyarakat kepada sekumpulan gerakan sulit yang didakwa bekerja dalam diam, memanipulasi semua keadaan untuk faedah dan keuntungan sendiri.

Dalam erti kata lain, kita semasa berhadapan krisis sama ada dalam skala luas mahupun peribadi, mempunyai banyak persoalan yang kita tanya tetapi tidak langsung dijawab.

Teori konspirasi berkesan kerana menawarkan jawapannya.

Mencari hubungkait dan persamaan dalam setiap perkara

teori konspirasi kepercayaan ramai

Menurut penyelidik, seseorang yang mempunyai tahap kebolehpercayaan tinggi terhadap teori konspirasi mempunyai pemikiran suka menghubungkan satu isu ke satu isu lain tanpa sebab.

Mereka gemar mencari persamaan atau elemen-elemen yang didakwa serupa - walaupun secara asasnya kedua-dua isu itu langsung tidak mempunyai hubungkait.

Seseorang yang percaya dengan teori konspirasi gagal untuk memecahkan komponen setiap isu kepada asasnya, keras percaya satu kejadian buruk yang tidak semestinya menimpa mereka berlaku sebagai urutan daripada beberapa peristiwa berbeza - sehinggakan paranoia menghantui diri mereka.

Perasaan ini akhirnya memberikan kesan buruk kepada sikap sosial mereka, mengakibatkan mereka menyisihkan diri dari masyarakat ekoran rasa kurang percaya dengan apa saja di sekeliling mereka.

Rasa tersisih ini  berubah menjadi rasa kurang yakin dengan dunia nyata, mendorong mereka mencari individu-individu lain yang sependapat dengan mereka; bagi membolehkan mereka mula rasa diri mereka istimewa.

Kami bijak, anda yang diperbodohkan!

pengikut teori konspirasi

Satu perasaan kuat mendorong orang ramai untuk mula percaya teori konspirasi, adalah perasaan mahu tergolong dalam kumpulan unik - yang 'berjaya' keluar dari genggaman gerakan sulit yang menguasai dunia.

Rasa unik dan istimewa itu adalah kunci utama kenapa ramai orang percaya teori-teori ini, walaupun mereka sendiri tidak boleh memperjelaskan siapa penciptanya.

Apabila individu yang merasa diri istimewa ini bersatu sama ada melalui dalam talian ataupun perjumpaan secara bersemuka, keinginan untuk terus kekal tergolong dalam kumpulan yang didakwa sendiri bebas berfikir dan tidak dapat dikongkong oleh mana-mana pihak, menjadi kunci utama penyatuan mereka.

Pemikiran rasional bersandarkan fakta bolehlah ditolak ke tepi apabila semua individu yang lain bersependapat dengan kita, membuktikan tanggapan kita betul, betul dan betul belaka.

Jadi kesimpulannya, kenapa ada orang percaya teori konspirasi walau sekarut mana pun teorinya dan tidak diketahui siapa sumbernya?

Senang saja jawapannya. Ramai orang di luar sana yang tercari-cari jawapan semasa berhadapan kesukaran, hanya menemui jawapan yang mereka cari dalam teori-teori sangkaan ini.

Jawapan itu mampu membuatkan mereka rasa unik, istimewa dan hebat berbanding orang-orang biasa, serta membantu mereka untuk rasa tidak diperbodohkan sesiapa. Jadi mereka memilih untuk percaya - kerana kepercayaan itu mampu membuatkan mereka rasa hebat walaupun ketika itu mungkin diri dan jiwa mereka sedang merana.

Kita mahu rasa hidup kita, ada dalam kawalan dan genggaman kita. Teori konspirasi memperjelaskan kenapa apa yang berlaku, berlaku sebaliknya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)