Bagi anda yang memasak atau membantu mengemas meja makan mesti sudah sedia maklum bahawa kita sering menyimpan lebihan makanan di dalam peti ais. Tujuan menyimpan lebihan makanan ini kebiasaannya adalah untuk dihabiskan kemudian dan juga untuk mengelakkan pembaziran.

Namun, kadangkala ibu bapa mungkin pernah menyuruh anda menunggu seketika agar tidak menyimpan makanan yang masih panas di dalam peti sejuk. Sebenarnya, terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi dalam penggunaan peti sejuk dan salah satunya adalah tidak meletakkan makanan panas di dalamnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, jika fungsi peti sejuk adalah untuk memastikan makanan kekal segar selain menyejukkannya, mengapa kita perlu menunggu makanan 'sejuk' pada suhu bilik terlebih dahulu? Sekiranya kita membiarkan makanan terlalu lama di luar pula, berkemungkinan ia boleh dicemari bakteria. Jadi, bukankah lebih baik jika terus memasukkannya ke dalam peti sejuk?

Penerangan di bawah mungkin boleh memberikan sedikit pencerahan tentang apa yang akan berlaku jika kita terus menyimpan makanan yang masih panas ke dalam peti sejuk.

Fahami bagaimana peti sejuk berfungsi

Biasanya, kita menyimpan makanan di dalam peti sejuk untuk mengelakkannya daripada rosak, basi, berlaku kontaminasi atau sebarang isu lain berkaitan kesihatan. Hal ini disebabkan makanan yang dibiarkan di luar boleh menyebabkan perkembangan bakteria selain mengundang serangga seperti semut serta lalat.

Jadi, mengapakah menyimpan makanan 'panas-panas' di dalam peti sejuk tidak digalakkan?

masukkan makanan panas ke dalam peti sejuk

Dalam manual kebanyakan peti sejuk, terdapat panduan yang menyarankan agar kita tidak memasukkan terus makanan hangat ke dalamnya kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan fungsi peti sejuk dalam jangka masa panjang.

Menyimpan makanan panas ini akan menyebabkan kewujudan tekanan tambahan kepada mesin peti sejuk dan ia seharusnya dielakkan. Walau bagaimanapun, terdapat faktor lain khususnya berkaitan kebersihan makanan di dalam peti sejuk itu sendiri.

Menyimpan makanan panas akan meningkatkan suhu di dalam peti sejuk dan mengakibatkan persekitaran dalaman dan segala-galanya menjadi lebih panas. Keadaan ini akan membuatkan pemampat atau compressor peti sejuk perlu bekerja lebih keras untuk menurunkan suhu dan mengekalkannya pada tahap yang ditetapkan.

Perolakan dan pemeluwapan

Kini, udara yang semakin panas di dalam peti sejuk itu akan menyebabkan berlakunya hukum termodinamik kedua di mana haba panas bergerak dari kawasan bersuhu lebih tinggi ke kawasan yang bersuhu lebih rendah. Situasi ini lebih dikenali sebagai perolakan atau convection.

termodinamik 199

Perolakan ialah suatu proses pemindahan haba yang berlaku dalam bendalir seperti cecair dan gas. Apabila cecair atau gas dipanaskan, molekulnya akan menjadi lebih ringan dan akan naik ke atas. Manakala bendalir yang masih sejuk pula akan menggantikannya di bahagian bawah.

Selain itu, apabila kita meletakkan sesuatu yang panas di dalam peti sejuk, perbezaan suhu antara kedua-dua sistem ini akan menyebabkan kondensasi atau pemeluwapan. Kondensasi adalah proses perubahan keadaan sesuatu bahan daripada wap atau gas kepada cecair.

peti ais kondensasi

Proses kondensasi ini akan menyebabkan titisan air yang mungkin terbentuk di bahagian dinding belakang peti sejuk di mana ia boleh membekukan mana-mana makanan yang menyentuhnya. Selain itu, kondensasi akan turut menambah kelembapan pada persekitaran peti sejuk. Disebabkan itulah ia tidak disarankan untuk sebarang proses pengawetan makanan.

Keseluruhan proses pemindahan haba melalui perolakan dan pemeluwapan ke dalam bentuk titisan ini menyerupai suatu proses semula jadi yang sangat penting.

Di luar rumah, hujan terhasil melalui proses penyejatan dan pemeluwapan secara semula jadi. Di dalam rumah pula, sekiranya kita segera menyimpan makanan hangat ke dalam peti sejuk, kita boleh menyaksikan sendiri versi kecil penghasilan hujan ini. 

telur berpeluh

Hasil gabungan kedua-dua proses perolakan dan pemeluwapan ini akan membuatkan bahagian dalaman peti sejuk menjadi persekitaran yang tidak ideal untuk tugas penyimpanan makanan. Selain itu, ia juga akan mengurangkan fungsi optimum peti sejuk akibat peningkatan suhu dan kelembapan secara mendadak.

Adakah selamat jika saya biar makanan lama-lama di luar?

Baiklah, sekarang anda sudah mengetahui apa yang akan berlaku sekiranya kita terus menyimpan makanan yang masih panas ke dalam peti ais. Tapi, apa pula yang akan terjadi jika dibiar makanan tersebut 'menyejuk' di luar? Berapa lamakah anda perlu tunggu dan berapakah suhu optimum sebelum makanan itu dimasukkan ke dalam peti?

Menurut panduan perlindungan dan keselamatan makanan CDC, mana-mana makanan boleh dibiarkan di luar sehingga tempoh dua jam selepas dimasak. Selepas tempoh ini, bakteria akan mula membiak (dan boleh menjadi punca keracunan makanan dalam beberapa situasi).

Untuk menyejukkan makanan panas sehingga bersuhu bilik, dua jam sebenarnya adalah jangka masa yang mencukupi.

Lamanya nak tunggu?

Sekiranya anda baru selesai memasak namun tergesa-gesa perlu ke tempat lain dan tidak mempunyai masa untuk menunggu sehingga dua jam, anda boleh membahagikan makanan panas tersebut ke dalam bekas-bekas yang lebih kecil.

bahagikan makanan panas ke dalam bekas kecil

Semasa menyimpan di dalam peti sejuk, pastikan terdapat ruang di antara makanan supaya udara sejuk dapat melalui di celah-celah dengan mudah sekali gus mempercepat proses penyejukan. Dengan cara ini, anda dapat mengurangkan segala kesan negatif yang telah dijelaskan di atas.

Rujukan

1. Food Waste and Domestic Refrigeration: A material and visceral approach

2. Food Safety–Related Refrigeration and Freezer Practices and Attitudes of Consumers in Peoria and Surrounding Counties

3. Domestic Refrigeration Practices with Emphasis on Hygiene: Analysis of a Survey and Consumer Recommendations

4. CDC




Hakcipta iluminasi.com (2017)