Sebelum mendapatkan satu unit pemancut jet, penulis pernah cuba menyental dengan tangan untuk cuba membersihkan lantai kediaman penulis.
Namun kerjanya memerlukan masa yang sangat panjang dan hasilnya juga tak layak dikata memuaskan hati. Dengan pemancut jet, kotoran hilang senang tetapi kerjanya masih memerlukan ketelitian kerana setiap sudut lantai dan dinding perlu ditembak dengan sempurna.
BESARKAN TEKS A- A+
Kerja sebegini yang perlu dilakukan secara rutin memerlukan kita mengulangi perkara sama berulang-ulang yang rumit dan membosankan. Bukan semua orang gemar melakukannya.
Tetapi persoalan yang ingin kami ajukan kepada anda kali ini, kenapa ramai di antara kita tidak suka melakukan sesuatu seperti mencuci lantai dalam dunia nyata - tetapi apabila perkara sama diterjemah ke dalam dunia maya, ramai pula yang sanggup bersengkang mata melakukannya?
Simulasi-simulasi realiti dalam dunia fantasi
Judul permainan berasaskan simulasi dunia nyata merupakan salah satu genre yang cukup popular di kalangan peminat permainan video.
Usaha untuk membangunkan perisian simulasi dunia nyata dalam bentuk maya telah dimulakan sejak dekad 60-an lagi, dengan penciptaan The Sumerian Game - sebuah sistem simulasi ekonomi berasaskan teks.
Idea untuk mengambil elemen yang ada dalam dunia nyata untuk diolah dalam bentuk fantasi atau maya mencapai peringkat penting pertama, dengan penerbitan Fortune Builder pada tahun 1984.
Judul yang dibentuk untuk mendidik pemain dalam perniagaan hartanah ini menjadi simulasi pertama elektronik dunia yang benar-benar cuba mereka semula apa saja kesan pilihan atau keputusan yang dibuat pemain dalam permainan mirip apa yang berlaku dalam dunia nyata, memberi pemain risiko yang perlu diselenggara dan dipantau.
Beberapa judul simulasi berasaskan elemen dunia nyata dikeluarkan dalam dekad sama merangkumi budaya popular seperti penerbangan pesawat, aktiviti berbasikal, lumba kereta dan sebagainya.
Bagaimanapun penerbitan judul klasik SimCity pada tahun 1989 memperkenalkan dunia kepada simulasi yang jauh lebih kompleks, di mana pemain perlu mentadbir sebuah bandar dengan berkesan dan terpaksa menghadapi sendiri aspek positif atau negatif setiap keputusan yang mereka buat dalam judul itu.
Kemunculan SimCity bukan saja mengubah lanskap genre simulasi dalam permainan video, bahkan turut sama mendidik pemain-pemain tentang ilmu perancangan bandar serta pentadbiran kerajaan dengan lebih jelas dan yang penting, menghiburkan.
Berkembang menjadi genre yang popular
Bermula daripada penerimaan orang ramai terhadap SimCity, genre ini mula mengalami lonjakan peminat yang mahu lebih banyak elemen dunia nyata diterjemahkan ke bentuk maya yang bukan saja mendidik, bahkan turut sama seronok dimainkan.
Tidak cukup dengan itu, jangkaan peminat genre juga semakin meningkat dengan permintaan agar lebih realisme diterapkan ke dalam judul yang dibangunkan agar orang ramai dapat merasai sendiri pengalaman berbeza yang langsung tidak ada peluang untuk mereka rasai, dalam bentuk maya.
Penerbitan judul simulasi mula jadi semakin kompleks, dengan penawaran judul simulasi penerbangan pesawat, pemanduan kereta api, perlumbaan kereta berdasarkan dunia nyata, sukan dan ketenteraan menjadi pilihan utama.
Teknologi yang telah berkembang membolehkan grafik yang realistik serta mampu mengadaptasi apa yang ada, membantu genre simulasi terus kekal popular.
Apa yang agak menghairan, permintaan peminat mula beralih.
Jika sebelum itu judul-judul simulasi dimain untuk seseorang memenuhi fantasi mahu melakukan sesuatu yang sukar untuk dia lakukan sendiri, kini semakin ramai pula pemain yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya melakukan sesuatu yang sebenarnya rutin biasa kita pula.
Populariti simulasi yang mencipta semula rutin biasa orang biasa mula meningkat dan gelombang seperti ini seakan tak nampak ada kesudahannya.
Rajin dalam dunia maya, berat tulang di dunia nyata
Ketika ini ramai pemain permainan video sanggup meluangkan masa melakukan perkara yang boleh kita lakukan sendiri.
Peminat judul seperti Stardew Valley atau Harvest Moon mampu menghabiskan masa berjam untuk menanam sayur dan buah-buahan yang tidak wujud. Judul seperti The Sims pula memerlukan pemain mengawal bukan saja hidup seseorang, bahkan turut sama memastikan kediaman avatar mereka bersih dan terjaga setiap hari.
Dalam judul unik seperti Viscera Cleanup Detail, pemain akan menjadi seorang tukang cuci yang tugasnya adalah untuk membersih dan mengemas semula tapak-tapak pertempuran wira dengan penjahat sebersih mungkin.
Ada juga judul seperti 'Cooking Simulator', di mana seseorang pemain perlu memasak hidangan yang ditetapkan mengikut langkah sebenar, satu per satu. Bahan masakan yang ada juga perlu dipotong seperti bahan sebenar.
Lebih aneh, judul seperti Street Cleaning Simulator memerlukan pemain memandu sebuah kenderaan pembersih jalan dan mencuci jalan sama seperti seorang pencuci jalan sebenar.
Kenapa penulis cerita tentang pemancut air jet pada awal artikel? Rutin sebegitu pun sudah diolah untuk menjadi sebuah simulasi menerusi judul 'PowerWash Simulator', sebuah judul yang mereka semula kerja pembersihan yang sangat penulis benci lakukan dalam dunia nyata...
Tetapi ramai yang sanggup melakukannya dengan tekun dalam bentuk maya. Aneh kan? Lebih realistik, lebih memakan masa, lebih renyah, lagi leka pemain memainkannya.
Kenapa kita rajin kerja dalam dunia fantasi?
Ada sebab psikologi yang sangat jelas kenapa seseorang sanggup 'memasak' atau 'mengemas rumah' dalam dunia maya, jika dibandingkan dengan melakukan perkara serupa dalam realiti nyata.
Sebab utama kita merasa gembira dalam melakukan kerja-kerja rutin maya, adalah kerana semua judul permainan video yang dibangunkan memberikan pemain kawalan ke atas apa yang sedang dan berlaku. Walaupun dalam permainan ada risiko, risikonya secara sedar kita tahu tidak akan membahayakan kita.
Judul-judul permainan video daripada tajuk yang memberikan anda pengalaman memandu pesawat sehinggalah sekecil pengalaman seperti membasuh laman rumah, direkabentuk dalam persekitaran yang ideal yang tidak terikat dengan faktor-faktor tidak menentu seperti kerenah birokrasi, peraturan dan kekangan yang ada.
Dengan ketiadaan faktor-faktor penghalang ini, pemain mempunyai kebebasan untuk menentukan sendiri hala tuju serta fokus kenapa dia sanggup menghabiskan masa berjam mencuci lantai digital - jika dibandingkan dengan mencuci lantai sebenar.
Teori kenapa kita rajin dalam dunia maya
Dalam aspek psikologi, terdapat satu teori berkaitan kecenderungan manusia untuk tekun melakukan sesuatu perkara yang dinamakan sebagai 'teori kecenderungan kendiri.'
Model yang dibangunkan daripada teori ini berjaya menjelaskan sebab atau faktor yang mampu mengakibatkan seseorang itu sanggup menghabiskan masa melakukan sesuatu tanpa henti, dengan tekun dan penuh minat.
Menurut teori tersebut - seandainya seseorang dibekalkan 3 aspek utama dalam satu-satu perbuatan; autonomi yang memberikan kita pilihan secara peribadi, kesedaran bahawa melakukan sesuatu memperbaiki kemahiran kita dan hubungkait diri dengan perbuatan tersebut yang membuatkan kita rasa dihargai; kita boleh melakukan apa saja perkara dengan berkesan.
Malangnya rutin atau perbuatan dalam dunia nyata jarang dapat memenuhi ketiga-tiga aspek yang diperlukan, mengakibatkan kita merasa berat untuk melakukan sesuatu.
Sementara itu judul-judul permainan video dalam genre simulasi pula memang direka untuk memenuhi ketiga-tiga aspek yang disenaraikan.
Oleh kerana itulah ramai individu baik lelaki dan wanita, tua dan muda, terjebak malahan ada yang taksub untuk meluangkan masa mereka dalam dunia permainan video secara maya. Perbuatan sebegini tidaklah salah, asalkan anda tahu bagaimana hendak menguruskan masa.
Lebih penting, sekiranya kediaman anda bersih dan terjaga dalam dunia maya - pastikan rumah sebenar anda pun berada dalam suasana serupa.
Rujukan