Apa makanan yang paling pelik anda pernah makan? Penulis tak pernah lagi makan makanan yang pelik. Tak berani nak mencuba, boleh muntah dibuatnya. Tapi bagi mereka yang suka mencuba pasti pernah makan makanan yang agak ekstrem dan diluar norma.
Dan biasanya makanan yang pelik-pelik ini kebanyakannya berasal dari Asia, dan mereka yang suka makan makanan yang pelik ini adalah seperti di China, Kemboja, Laos dan banyak lagi. Ular, katak, kucing, boleh dikatakan apa saja yang boleh di makan, mereka akan makan. Cuma tolak kayu dan batu saja.
BESARKAN TEKS A- A+
Iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 10 makanan paling pelik yang anda tak sangka ia wujud!
1. Escamoles : Mexico
Di Mexico, ianya menjadi makanan biasa dan biasanya dimakan dengan dimasukkan ke dalam taco ataupun dimasak bersama telur dadar. Ia sebenarnya adalah larva atau telur sejenis semut yang sangat berbisa yang biasanya dijumpai dalam akar tumbuhan bernama agave atau maguey. Dikatakan rasanya seakan-akan keju cottage dan berasa agak pedas.
2. Shirako : Jepun
Sangat pelik, tapi tidak bagi orang Jepun. Maksud shirako dalam bahasa Jepun ia bermaksud "kanak-kanak putih" tapi ia sebenarnya terma bagi kantung sperma. Kantung sperma ini sama ada daripada ikan kod, ikan buntal atau ikan angler. Bentuknya tidak ubah seperti segumpal otak yang kecil dan dikatakan berasa seakan-akan kastad yang manis.
3. Balut : Filipina
Antara yang paling pelik dan menjijikkan, dan juga kejam, iaitu Balut, dari Filipina. Ia merupakan sebiji telur itik yang disenyawakan separuh jalan, yang mana telur itu telah berubah menjadi embrio. Kemudiannya direbus ketika embrio masih bernyawa. Cara makannya adalah dengan memecahkan hujung telur bagi mengeluarkan cecair di dalamnya. Dimakan bersama garam, cili dan juga cuka. Ada berani?
4. Tarantula goreng : Kemboja
Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia jika ternampak labah-labah ini, pasti akan terkejut beruk dan menjerit. Namun tidak bagi mereka di Kemboja. Bagi mereka mungkin mereka akan terasa lapar jika melihat haiwan ini. Jadi tak terkejutlah jika kalajengking dijadikan makanan oleh orang Kemboja ketika kelaparan dibawah pemerintahan rejim Khmer Rouge. Digoreng rangup-rangup dan dijadikan snek di seluruh Kemboja, dan rasanya adalah seperti ketam. Nyummy!
5. Sup telur semut putih : Laos
Berasal dari Laos, sup ini adalah antara sup yang paling pelik di dunia. Diberi nama Gaeng Kai Mot Daeng mempunyai rasa yang agak sedap bagi mereka, agak halus dan seakan-akan rasa udang. Ia merupakan gabungan daripada telur semut dan juga embrio semut putih. Sedikit bayi semut putih ditambah untuk memberikan rasa masam kepada sup ini. Berselera tak?
6. Bosintang : Korea Utara
Agak sukar untuk anda mendapatkannya di sekitar Korea zaman ini tetapi ia masih wujud dan sangat terkenal dalam kalangan generasi tua. Ia dikatakan mempunyai rasa yang lazat jika dibandingkan dengan baunya. Apa itu boshintang? Sup yang sihat dimasak menggunakan daun bawang, bunga dandelion, rempah ratus, dan juga bahan yang paling penting, iaitu daging anjing.
7. Huitlacoche : Mexico
Pastinya jika anda terlihat kulat tumbuh pada jagung, anda akan terus campakkan ke dalam tong sampah. Namun tidak bagi orang Mexico. Bagi mereka ia satu keistimewaan dalam masakan, yang dipanggil Huitlacoche yang bermaksud "najis yang sedang tidur". Ia digunakan dalam kebanyakan masakan mereka termasuklah enchilada dan juga sup. Penulis kalau roti naik kulat pun dah seram.
8. Black pudding : Eropah
Mesti anda terfikirkan tentang puding-puding yang sangat sedap, bila terbaca nama ini. Nanti dulu! Ia sebenarnya bukanlah sejenis puding. Ia sebenarnya dimasak atau di-grill menjadi seakan-akan "patty". Diperbuat daripada campuran darah khinzir dan lemaknya, bersama-sama oat. Cukuplah setakat itu mengenai puding hitam ini. Loya rasa.
9. Casu Marzu : Itali
Dihasilkan di Pulau Sardinia, Itali, keju ini dikenali sebagai "Keju reput". Agak menjijikkan, ia sebenarnya dihasilkan menggunakan sejenis keju Pecorino yang sudah rosak teruk. Keju Pecorino ini kemudiannya direnjiskan dengan telur-telur lalat yang dikenali sebagai lalat keju (piophila casei). Telur-telur lalat tersebut kemudiannya menetas di dalamnya dan mengorek lubang di bahagian dalam keju tersebut. Mereka akan memakan keju tersebut dan menghadamkannya.
10. Guinea Pig : Amerika Selatan
Ada di antara anda di sini yang mempunyai guinea pig sebagai haiwan peliharaan, namun ia merupakan salah satu makanan orang Amerika Selatan. Rasanya seakan-akan gabungan antara khinzir dan arnab adalah sangat sedap bagi mereka, dan ia juga dikatakan bagus untuk persekitaran. Kejamnya!