Penulis nak mengakui dulu - penulis sudah pastilah bukan seorang yang pernah merasai sebarang bentuk makanan eksotik, bagaimanapun kita semua tahu makanan eksotik mempunyai peminat yang tersendiri.
Dianggap ganjil dan ada kalanya menakutkan - makanan eksotik memerlukan seseorang memberanikan dan membiasakan diri, untuk menjamah sesuatu yang di luar kebiasaan dan malangnya; penulis memang gagal dalam bab ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun rasa ingin tahu apa sebenarnya rasa makanan-makanan pelik ini, tetap ada dalam diri penulis. Jadi di sini penulis kompilasikan penerangan dalam cuba menerangkan bagaimana rasanya makanan pelik ini - berdasarkan kepada keterangan mereka yang pernah merasainya.
Ular
Bagi mereka yang pernah merasainya, dikatakan rasa daging ular sama seperti sama ikan talapia yang lebih tawar. Bagaimanapun, daging ular agak liat dan sukar dimakan, serta mempunyai banyak tulang kecil yang agak sukar untuk diasingkan.
Dimakan oleh mereka yang percaya daging ular mampu menyihatkan badan, kesemua bahagian ular termasuklah darahnya digunakan dalam resipi masakan kecuali bahagian kepala dan sisik.
Katak
Bagaimana rasa daging katak? Pihak yang menggemarinya mengatakan daging katak ibarat kacukan daging ayam dan ikan berikutan tekstur dan rasanya yang lebih pejal seperti ayam, tetapi mempunyai rasa tawar ikan.
Sangat popular di Asia, daging katak turut sama menjadi pilihan ramai di beberapa negara Eropah seperti Perancis yang memakan 4,000 tan daging ini setiap tahun. Di negara itu dalam daerah Vittel, setiap tahun akan diadakan acara Foire aux Grenouilles - di mana komuniti setempat akan menjamah hidangan berunsurkan katak beramai-ramai.
Buaya
Bermula pada tahun 2016, buaya tidak lagi diletakkan di bawah kategori haiwan terancam dek kepupusan - menyebabkan permintaan terhadap produk berkaitan haiwan itu meningkat. Ini secara tak langsung turut sama menyebabkan bekalan daging buaya semakin mudah didapati - kalau anda mencarinya.
Buaya dikatakan mempunyai tekstur yang kenyal serta rasa seakan daging ayam, rendah kandungan lemak dan tinggi nilai protein. Di makan di seluruh dunia, masakan berasaskan daging buaya yang terkenal adalah masakan 'gumbo' dan di Amerika Syarikat, memang ada ladang ternakan khas untuk membekalkan daging-daging segar ke pasaraya yang menjualnya.
Anjing
Mempunyai rasa yang dikatakan manis selepas dimasak, daging anjing menjadi kegemaran beberapa komuniti di negara Vietnam, Korea Selatan dan China. Sekiranya ditanya bagaimana rasanya - daging anjing layak dikatakan gabungan di antara daging lembu dan daging kambing, dengan kandungan lemak yang lebih tinggi.
Boleh dimasak dengan pelbagai cara, negara paling cekap dalam menggunakan daging anjing dengan kewujudan pelbagai jenis resipi adalah Vietnam - dengan permintaan yang terlalu tinggi memaksa anjing-anjing diseludup masuk secara haram ke negara itu hanya untuk memastikan bekalan sentiasa ada.
Tikus
Bagi penduduk sebuah daerah yang terletak di bahagian timur laut negara India yang dikenali sebagai suku Adi, mereka akan meraikan apa yang dinamakan sebagai festival Unying-Aran di mana masakan pelbagai jenis akan dihidangkan kepada penduduk kampung - dengan masakan tikus menjadi hidangan utamanya.
Dikenali dengan nama bule-bulak-oying, resipi itu dibuat dengan menggunakan organ dalaman tikus iaitu perut, usus dan hati, yang digaulkan bersama kaki dan ekornya - dengan campuran garam, cili dan halia sebagai perasa. Bagi mereka, daging tikus tidak ada bandingannya apatah lagi bahagian ekor dan kakinya yang dikatakan bahagian terbaik antara semua. Nak cuba?
Kucing
Kembali pada negara Vietnam. Pemilik kucing di Vietnam senantiasa menghadapi satu masalah besar - kebimbangan haiwan peliharaan mereka hilang diculik untuk dijadikan santapan restoran-restoran di sana. Ini kerana hidangan kucing dikatakan mempunyai permintaan tinggi di sana kerana 'sedap' dijadikan snek semasa minum minuman beralkohol.
Walaupun larangan sudah dikeluarkan kerajaan terhadap penggunaan daging kucing dalam masakan, aktiviti ini gagal dikekang kerana berlaku dengan berleluasa dan sindiket penculikan juga bertindak licik. Bagi pemakannya, mereka menyebut daging kucing lebih manis dan lembut berbanding anjing - menyebabkan permintaan terhadap daging ini meningkat dek kesedapannya.
Setiap hidangan dijual agak mahal, sekitar harga RM200 ke RM350 satu hidangan bagi mereka yang ingin merasai sendiri keenakan daging kucing yang comel dan gebu.