Sehingga ke hari ini manusia terus dibelenggu dengan satu persoalan klasik.
"Ayam atau telur, mana yang datang dahulu?" kekal menjadi topik perbincangan berabad-abad lamanya, menarik minat ahli falsafah dan teologi untuk membawakan sudut pandangan mereka selain penyelidikan yang dijalankan ahli sains, dalam cuba merungkai permasalahan ini.
Kali ini, jom kita bincangkan pilihan jawapan yang ada kepada soalan ini dari pelbagai sudut pandangan. Dah habis baca, anda pilihlah jawapan mana yang anda rasa sesuai untuk anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Telur dulu...mengikut teori evolusi
Menurut pendapat majoriti dalam bidang biologi evolusi, telur datang dahulu!
Andaian ini dibuat berdasarkan teori bahawa ayam moden yang ada sekarang, sebenarnya berasal daripada spesis burung purba berbeza yang bertelur...seterusnya menghasilkan ayam.
Burung purba itu diklasifikasikan sebagai nenek moyang kepada ayam yang sudah mempunyai kebolehan untuk bertelur sebagai cara pembiakan utama mereka.Pada suatu ketika, mutasi genetik berlaku dalam DNA burung purba ini dalam sel pembiakan mereka, yang membawa kepada pembentukan telur dengan ciri-ciri genetik yang berbeza.
Telur yang mengandungi mutasi menghasilkan ayam pertama yang kita kenali hari ini, menjadimedium yang selamat dan sesuai untuk perkembangan janin secara luar badan ibukemudiannya menetas menjadi ayam pertama.
Oleh itu, dari sudut pandangan evolusi, telur harus datang dahulu kerana hanya telur mampu mengandungi mutasi yang akhirnya menghasilkan ayam pertama secara semulajadi. PandanganIni selaras dengan prinsip pemilihan semula jadi (natural selection) dan variasi genetik.
Siapa yang percaya ayam datang dahulu?
Dalam sudut pandang berbeza, terdapat beberapa kajian yang mencadangkan teori bahawa ayam perlu wujud dahulu.
Pendapat ini dibuat berdasarkan penemuan protein tertentu yang dipanggil ovocleidin-17 (OC-17) yang penting untuk pembentukan kulit telur. Uniknya, protein ini hanya terdapat dalam ovari ayam. Bagaimana telur nak terhasil kalau ovari ayam tidak ada kan?
OC-17 adalah protein yang membentuk kulit telur, mempercepatkan proses penghabluran kalsium karbonat yang menghasilkan kulit telur yang secara fizikalnya agak keras. Tanpa protein ini, kulit telur akan gagal terbentuk.
Oleh kerana OC-17 hanya ada dalam ovari ayam, ini bermakna kulit telur hanya boleh terbentuk di dalam tubuh ayam betina sahaja. Jadi menggunakan kajian bagaimana kulit telur boleh terhasil, diandaikan ayam mesti wujud dahulu untuk menghasilkan telur dengan kulit yang sempurna.
Itu dua teori utama dalam lapangan saintifik yang ada.
Wujud juga pandangan lain yang menjelaskan persoalan
Selain daripada pandangan biologi evolusi dan teori protein OC-17, terdapat beberapa pandangan lain yang menarik untuk dipertimbangkan:
Ahli falsafah seperti Aristotle dan Plutarch telah membincangkan persoalan ini sebagai cara untuk meneroka konsep regresi infiniti dan masalah asal-usul. Aristotle menyimpulkan bahawa ayam dan telur telah wujud dalam proses kitaran yang berterusan.
Dalam aspek kepercayaan agama, soalan ini dijawab melalui cerita penciptaan. Masyarakat yang beragama percaya Tuhan yang maha berkuasa telah menciptakan haiwan termasuklah ayam, yang menyokong pendapat bahawa ayam wujud dahulu.
Sukar bukan sekiranya kita benar-benar cuba mendapatkan jawapan, untuk sesuatu yang realitinya tiada siapa manusia mampu menjawabnya.
Walaupun jawapan yang tepat mungkin di luar jangkauan pemikiran manusia secara amnya, kerana kita berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing, persoalan ini kekal menjadi topik perbincangan yang menarik dan merangsang pemikiran.
Kami tak kata kami mampu jawab persoalan ini. Tetapi kami percaya ada perkara tidak boleh diperjelaskan dengan pengetahuan saintifik semata-mata dan salah satu adalah topik yang telah kita bincang sekian lama.