alphonse bertillon

Pada masa kini, kewujudan sistem pengesanan cap jari memudahkan pihak polis atau penyiasat untuk mencari penjenayah dengan melakukan padanan cap jari suspek dan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian jenayah tersebut.

Penggunaan sistem cap jari juga sangat dipercayai kerana ketepatannya memandangkan tiada 2 manusia yang mempunnyai cap jari yang sama walaupn bagi pasangan kembar. Maka, amatlah sukar untuk menafikan sesuatu bukti yang ditemui di tempat kejadian jenayah.

Namun, pernahkah anda tertanya-tanya sebelum kewujudan sistem cap jari, apakah sistem yang digunakan oleh pasukan penyiasat untuk menjalankan siasatan dan menyimpan rekod penjenayah?

Jawapannya, sistem atau kaedah yang diperkenalkan oleh seorang individu bernama Alphonse Bertillon.

Kesukaran menjalankan penyiasatan ketika dahulu

sains forensik

Jabatan polis pertama yang dibiayai kerajaan dipercayai ditubuhkan pada awal abad ke-19. Pada ketika itu, penggunaan sistem cap jari, jenis darah dan DNA belum lagi wujud untuk membantu pasukan penyiasat menjalankan forensik untuk menyelesaikan sesuatu masalah jenayah.

Usaha mengesan suspek sangatlah sukar memandangkan mereka akan menukar nama, mengubah imej fizikal mereka dan sentiasa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat untuk mengelakkan jejak mereka dikesan oleh polis.

Kemudian, pada 1800-an, pihak polis mula menggunakan gambar untuk membuat pengecaman suspek. Mereka yang menyimpan galeri gambar setiap penjenayah terutamanya yang mempunyai rekod jenayah yang berulang.

Malangnya, tiada cara yang mudah untuk menyusun kesemua gambar yang ada dalam galeri tersebut. Para penyiasat pula terpaksa melihat setiap satu helaian gambar yang ada dan membandingkannya dengan penerangan fizikal mengenai diri suspek.

Lama-kelamaan, apabila gambar yang disimpan semakin banyak maka para penyiasat ini perlu mengambil masa yang lebih lama untuk membelek gambar-gambar tersebut. Pada 1879, jabatan polis di Paris dikatakan sudah menyimpan 80,000 keping gambar dan 5 juta maklumat bertulisan tangan mengenai data-data daripada penjenayah.

Rekod-rekod ini disusun mengeikut nama, menyebabkan penjenayah lebih mudah melarikan diri dengan hanya perlu menukar nama mereka. Pada zaman tersebut, kad pengenalan atau passport seperti digunakan sekarang mungkin belum wujud, jadi amat mudahlah penjenayah menukar nama dan identiti mereka.

Ketika itu, pihak polis memerlukan cara yang lebih baik untuk menyusun maklumat tersebut. Mereka juga memerlukan alat atau sistem baru untuk mengenal pasti seseorang individu sebelum kewujudan lesen memandu dan sistem cap jari.

Memanfaatkan ilmu antropometri 

ilmu antropometri

Seorang individu bernama Alphonse Bertillon, seorang pegawai rendah di jabatan polis Paris akhirnya hadir dengan solusinya tersendiri. Beliau secara peribadinya memang seorang individu yang sangat teliti dan sentiasa mahukan segala maklumat yang diperolehi tersusun dengan rapi.

Dilahirkan pada tahun 1853, Alphonse Bertillon adalah anak seorang doktor yang menerapkan kemahiran statistik dalam bidang perubatan. Ketika dewasa, Alphonse Bertillon turut menerapkan sifat disiplin dan teliti ayahnya ini ketika beliau menerapkan ilmu antropometri (atau pengukuran manusia) untuk menyelesaikan sesuatu kes jenayah.

Setelah dibuang dari sekolah, beliau telah bekerja di beberapa tempat untuk melakukan pelbagai jenis pekerjaan sebelum bapanya membantunya untuk mendapatkan pekerjaan di jabatan polis Paris pada tahun 1879.

Beliau yang ketika itu berusia 26 tahun itu memulakan kerjayanya di bahagian dokumentasi dan penyimpanan data dan ketika menghadap puluhan ribu gambar dan berjuta-juta rakaman yang tersimpan, beliau menyedari pasukan polis memerlukan sistem yang lebih berkesan untuk mengenal pasti dan menyusun atur maklumat-maklumat penjenayah yang dimiliki.

Oleh itu, beliau mula memanfaatkan ilmu sains pengukuran manusia. Beliau menyatakan bahawa tidak mungkin dua penjenayah memiliki ukuran fizikal yang sama (kebarangkalian besar lebih dari empat juta kepada satu). Penjenayah mungkin dapat menukar nama mereka, namun beliau berpendapat penjenayah tidak dapat mengubah fizikal mereka seperti panjang jari tengah atau kaki kiri mereka.

Dia memutuskan untuk memperhatikan 11 ukuran unik pada tubuh manusia termasuk lilitan kepala, jarak lengan dan panjang kaki dan jari. Setelah bahagian-bahagian ini dikategorikan, pihak polis akan dapat mengenal pasti pesalah berulang atau menyingkirkan suspek dengan lebih berkesan. 

Penggunaan fotografi dalam siasatan

fotografi sains forensik

Kaedah yang diperkenalkan olehnya tidak terhenti setakat itu sahaja. Beliau turut mengambil keputusan untuk menyertakan gambar setiap pesalah diiringi dengan penjelasan mengenai fizikal mereka. Gamba-gambar inilah yang dikenali sebagai "mugshot" yang akan turut memuatkan gambar dan profil setiap penjenayah.

Malangnya, ideanya ini pada awalnya hanya dianggap sebagai bahan jenaka oleh pihak polis. Mereka menganggapnya sesuatu yang melucukan apabila membayangkan bagaimana seseorang penjenayah itu boleh dikenalpasti melalui ukuran jari dan bahagian-bahagian tubuh badan. Selain itu, tugas mengambil ukuran-ukuran tersebut juga merumitkan.

Walaupun pihak polis pernah mengugut untuk memecatnya kerana memperkenalkan sistem yang agak rumit dan leceh ini, mereka akhirnya tetap menggunakan kaedah ini pada tahun 1883. Secara tidak langsung, Alphonse Bertillon telah merevolusi sistem penyiasatan polis.

Beliau mencipta gambar "mugshot", fotografi tempat kejadian, dan banyak sains forensik itu sendiri. Secara umumnya, beliaulah yang memperkenalkan banyak pembaharuan dalam bidang siasatan jenayah pada ketika itu.

Sejak itu, setiap kali polis menahan suspek di Paris, mereka mencatat ukuran fizikal suspek pada kad indeks. Polis kemudian mengatur kad tersebut dengan ukuran tertentu, yang memudahkan mereka menentukan sama ada individu tersebut adalah lelaki yang sama yang disabitkan atas sesuatu kesalahan atau orang lain.

Selain gambar dan mugshot, beliau turut mengembangkan kaedah yang tepat untuk mendokumentasikan tempat kejadian dengan menggunakan fotografi. Beliau memasang kamera pada tripod tinggi untuk merakam dan meninjau setiap pemandangan sebelum penyiasat mencemarkannya.

Dikenali sebagai "metrik fotografi," dalam kaedah ini beliau juga menggunakan grid untuk merakam dimensi tempat kejadian dan objek di dalamnya.

Kritikan terhadap sistem Bertillon

sistem alphonse bertillon

Walaupun sistem yang diperkenalkan dianggap telah merevolusi sistem penyiasatan ketika itu, ia tidaklah sempurna dan sukar untuk diaplikasikan setiap masa. Sebagai contoh, polis harus memastikan mereka mengkalibrasi semula alat ukur mereka secara berkala dan hanya seorang juruteknik terlatih yang dapat melakukan pengukuran yang tepat.

Kaedah ini mempunyai batasan lain juga. Ia tidak berfungsi dengan baik untuk pesalah remaja yang ukuran fizikal mereka berubah ketika mereka meningkat usia. Perkara yang sama berlaku untuk suspek yang lebih tua.

Pada awal abad ke-20, penggunaan kaedah antropometri Bertillon merosot dengan kewujudan sistem cap jari. Namun, penggunaan mugshot dan gambar tempat kejadian jenayah masih digunakan pada masa kini. Hari ini, Alphonse Bertillon masih diraikan sebagai salah seorang pengasas sains forensik.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. France Today


Hakcipta iluminasi.com (2017)